BAB 1

25K 595 11
                                    

ZAREEN  tekun menyiapkan slide untuk pembentangan projek di Putrajaya minggu hadapan. Setengah tahun dia berkhidmat sebagai pembantu peribadi Tuan Syed Amin, rutin hariannya berubah 180 darjah. Sangat sibuk. Hujung minggu pun sibuk. Ruang untuk diri sendiri pun tiada. Tetapi untungnya kontrak bersama Bina Karisma Holding ini hanya berbaki enam bulan lagi. Tidak sabar rasanya hendak berehat daripada rutin yang memenatkan ini.

Bina Karisma Holding merupakan syarikat kedua Zareen berkhidmat sebagai pembantu peribadi di bawah seliaan Asra Legacy. Benar ianya sangat memenatkan, berpindah-randah ke syarikat yang berbeza. Tetapi nilai pengalaman itu sendiri sangat mahal bagi Zareen Abdullah. Dan dia sangat cinta akan pekerjaannya yang satu ini.

"Zareen , masuk bilik saya sekejap." Suara Tuan Syed Amin yang berkumandang di corong interkom mengalihkan fokusnya.

"Baik Tuan Syed. Saya masuk sekarang." Zareen akur. Pantas kerusi ditolak ke belakang lalu segera meninggalkan tempat duduknya. Langkah dihayun laju ke arah pejabat Tuan Syed Amin yang berada di laluan utama aras bangunan itu.

Pintu bilik diketuk dari luar.

"Masuk." Tidak menunggu lama, Zareen terus masuk ke bilik itu. Wajahnya dimaniskan di depan majikan yang budiman itu. Masing-masing saling berbalas senyuman untuk menyapa.

"Zareen , have a seat."

"Terima kasih, Tuan Syed." Zareen duduk di kerusi. Badan diselesakan pada dinding kerusi itu.

"Saya minta awak masuk sini sebab ada benda penting yang saya nak beritahu awak," ujar Tuan Syed Amin bersama senyuman yang masih terlorek di bibir. Zareen mengangguk perlahan walaupun hatinya sedikit risau.

Kata-kata Tuan Syed Amin itu membuatkan dia gusar. Bunyi seperti hal serius. Dia ada buat apa-apa kesalahankah?

"Tuan Syed nak beritahu saya fasal apa?"

"Saya perlu tamatkan kontrak awak minggu hadapan. Selesai sahaja urusan Bina Karisma di Putrajaya minggu hadapan, tugas awak di sini pun selesai." Tutur kata lelaki tua itu sangat tenang namun tetap tidak mampu mengurangkan kegusaran yang bertapak di hati Zareen. Rasa gusarnya kian hebat. Semakin dia tertanya-tanya akan tindakan Tuan Syed Amin terhadapnya.

Dia buat salah apa?

Mata Zareen sedikit membuntang. Liur ditelan payah. Namun pada wajahnya masih tidak hilang senyuman.

"Tapi kenapa ya, Tuan Syed? Saya ada buat salah apa-apa ke? Kalau saya ada buat salah, Tuan Syed boleh beritahu. Saya boleh betulkan apa yang salah." Zareen perlukan jawapan. Dia memang tidak senang duduk saat ini.

"Zareen , awak jangan salah faham. Awak tak ada buat apa-apa kesalahan pun. Sebenarnya ini adalah permintaan daripada boss awak, Asra Legacy. Ada sebuah company yang perlukan pembantu peribadi terbaik daripada Asra Legacy. Dan Asra nakkan awak untuk ambil tugas di syarikat tu. Saya dah kenal Asra lama, kami memang berkawan rapat. Jadi tak ada sebab untuk saya tolak permintaan Asra," terang Tuan Syed Amin teratur.

Zareen faham semua penerangan yang dijelaskan oleh figura di depannya itu. Tetapi yang menjadi persoalan sekarang adalah kenapa harus dia? Asra Legacy masih ada ramai staf terbaik selain dia.

"Dan Tuan Syed setuju? Tapi saya dah breach kontrak kalau macam ni." Tiba-tiba pula Zareen teringat akan persetujuan kontrak yang telah dia tandatangani enam bulan lepas.

Tuan Syed Amin mengulum senyum. Dia kenal sangat akan karakter pembantu peribadi di depannya ini. Sangat profesional orangnya. Setiap hal akan diteliti sebaiknya.

"Zareen , jangan risau sangat tentang kontrak tu. Awak masih tak breach kontrak, Zareen . Masih sempat untuk awak hantar notis berhenti ikut tempoh kontrak. Lagi pun staf lain daripada Asra Legacy akan gantikan position awak di sini mengikut tempoh kontrak baru nanti. Dah, jangan risau sangat." Tuan Syed Amin cuba memujuk hati Zareen .

Tempat PulangWhere stories live. Discover now