ZAREEN menebarkan pandangannya pada Najeeha yang mula bangkit daripada kerusi, menghayun langkah meninggalkan meja mereka itu. Wanita itu menuju ke tandas. Sebaik sahaja Najeeha berlalu, suasana di meja makan itu menjadi sunyi sepi. Dua pasang mata yang masih tinggal di meja itu saling bertatapan dengan pandangan kosong.
Dan kali ini Zareen benar-benar rasa tidak senang duduk.
'Kak Jee janganlah pergi tandas lama sangat.' Zareen rasa tidak tentu arah. Tidak tahu mengapa pertemuan pertama dengan majikan barunya ini membuatkan dia rasa tidak selesa. Walaupun dia sangat profesional dan sudah beberapa kali menjadi staf terbaik di syarikat ternama, tetapi aura lelaki yang berhadapan dengannya kali ini sangat berbeza.
Terasa meremang mengalahkan filem-filem seram.
"Kenapa Kak Jee beria sangat nak temukan kita? Dekat office pun boleh jumpa, kan?" Satu suara tiba-tiba menegur, menghilangkan suasana sunyi di meja makan itu. Spontan kening Zareen bertaut.
Ini ke perwatakan sebenar pengarah urusan Sinergi Group? Sangat dingin dan angkuh. Tak gentleman langsung!
"Saya tak tahu apa-apa. Kak Jee yang ajak saya jumpa dengan Encik Ahsan. Mungkin nak saya kenal-kenal dengan majikan baru saya? Bukan ke benda tu bagus?" jawab Zareen sopan. Mujur dia sejenis yang pandai mengawal emosi. Walaupun di dalam hati menahan geram, tetap dia menjaga tutur bicaranya.
Tetapi harus dia akui mulut lelaki bernama Ahsan Hawari itu boleh tahan laser mengalahkan perempuan.
Lelaki di depannya itu mendengus perlahan.
"Aku ambil kau bekerja sebagai pembantu peribadi. Bukan bakal isteri. Tak perlu rasanya nak kenal-kenal bagai. Boleh jumpa terus dekat office je," tutur pemilik nama Ahsan Bin Hawari itu. Mata dijatuhkan pada skrin telefon, tidak berminat untuk meneruskan perbualan dengan gadis di depannya itu.
Zareen ketap bibir bawahnya. Belum mula kerja lagi sudah ajak dia bergaduh mulut. Lelaki di hadapannya itu benar-benar menguji kesabaran.
"Saya tahu tu. Saya pun apply jawatan sebagai pembantu peribadi. Bukan sebagai bakal isteri. Kalau Tuan Ahsan tak suka position saya ini di Sinergi Group, Tuan Ahsan boleh cari pembantu peribadi lain. Saya tak ada masalah." Zareen menayang senyum. Sengaja hendak menyakitkan hati lelaki kerek itu.
Ahsan tarik senyum senget. Telefon diletakkan di meja. Pandangannya kini berpusat pada gadis di depan matanya itu.
"Kak Jee yang recommend kau untuk aku. Well, dia cakap yang kau ni staf terbaik daripada Asra Legacy. Aku tahu macam mana potensi Asra Legacy. Tak pernah hampakan client. Tapi potensi kau, aku masih ragu-ragu." Ahsan melontar kata-kata kaca ke kalbu.
Zareen kepal buku limanya rapat di bawah meja itu. Riak muka masih dikawal untuk terlihat tenang walaupun kepala sudah panas menahan amarah. Perlahan-lahan senyuman diukir. Dia betulkan ton suara.
"Jadi Engku nak test potensi saya?" Bersama soalan itu, kening dijongket ke arah majikannya.
Ahsan tergelak kecil. Tetapi nada yang dilontar cukup sinis.
"Itu pun kalau kau berani," balas Ahsan bersahaja. Sengaja menambah bara api dalam hati Zareen.
Zareen senyum paksa. Nafas dihembus perlahan. Bercakap dengan lelaki di hadapannya itu buat dia rasa tidak cukup nafas. Baru berapa patah sahaja ayat yang dilontar lelaki itu, tetapi tiada satu pun yang menenangkan hati.
Semua perkataannya menyakitkan hati.
Sebelum sempat Zareen membalas, Najeeha muncul kembali. Tidak mahu Najeeha tahu tentang perdebatan mulut mereka, Zareen memilih untuk diam. Nampaknya dia perlu kentalkan hati. Tidak senang untuk mengurus perangai Tuan Ahsan Hawari ini.
YOU ARE READING
Tempat Pulang
RomanceYa, Zareen Abdullah ini pembantu peribadi kerjanya. Ke hulur ke hilir mengikut arahan si majikan. Dahulu kerjanya dengan Tuan Syed Amin yang baik hati dan budiman. Masa berjalan, keadaan berubah. Kontrak kerja bersama Tuan Syed Amin ditamatkan lalu...