2. Paduka Raja

735 39 17
                                    

"Apa hajat datang ke rumah saya ni Datuk Paduka?" Hang Tuah musykil, tetapi nadanya tetap mesra.  Tetamu sudahpun bersila di serambi rumah sebelum sempat menjawab soalannya.

"Hai Datuk Laksamana, macam tak sudi pula dengan kedatangan kita ni", tetamunya mengusik.

Hang Tuah tersenyum.  "Bukan begitu Datuk, saya segan menyambut Datuk tanpa sebarang persiapan.  Datuk orang besar istana datang mengejut, berjalan kaki pula tidak seperti kebiasaan bertandu-berpengiring.  Nanti jadi buah mulut orang kampung pula Datuk. Almaklumlah..."  

Hang Tuah tidak mahu menyebut kisah lama; dan dia juga tidak mahu tetamunya menjawab, lantas menukar cerita.  "Apa pun marilah kita bersireh dulu Datuk Paduka sambil-sambil menjamu apa yang ada.  Sireh ini kebetulan baru dibalut pagi tadi.  Macam tahu-tahu pula Datuk hendak bertandang."

Tetamu istimewa terus merapatkan duduknya ke tepak sireh.  "Kau tahu memang aku paling suka sireh kamu Datuk Laksamana.  Sampai hari ini aku masih belum berjumpa sireh yang lebih baik buatannya." Datuk Bendahara Paduka Raja Tun Perak seperti sudah tidak sabar-sabar mahu menerkam sireh dihadapannya.

"Tiada apa yang istimewanya Datuk. Sireh ini santapan berinang tok nenek kita juga.  Cuma   ketika bermukim di benua Keling dahulu, saya perhatikan mereka gemar meletak garam.  Yang lain saya hanya pastikan ramuannya segar dan saya hanya gunakan tembakau dari Terengganu." Hang Tuah cuba menjelaskan, cuma tidak dikongsikannya ilmu bersireh-jampi yang pernah diajar oleh gurunya Adi Putera.  Hang Tuah tiba-tiba terkenangkan sireh jampi yang terpaksa digunakan untuk melembutkan hati Tun Teja dan al-marhum Hang Jebat.   

Tun Perak tergelak sambil mengambil seketul sireh yang sudah terhidang.  Terpejam matanya menikmati sireh adunan Hang Tuah setelah sekian lama.  

Hang Tuah membiarkan Bendahara Melaka itu khayal sekejap sambil menghirup teh yang telah terhidang. Rumahnya senyap sunyi, walhal dia tahu seluruh ahli keluarganya ada didapur.   Mereka amat menghormati tetamu istimewa yang pernah mengabdikan dirinya sebagai Bendahara kepada empat orang Sultan itu dan tidak akan mengganggu. 

"Apa khabar  Datuk Laksamana sekarang?  tanya Tun Perak.  "Sudah lebih setahun istana Melaka Datuk tinggalkan membawa diri ke mari.  Tetapi aku tengok Datuk langsung tidak berubah.  Masih gagah dan tampan seperti dahulu."  Ketawanya sehingga menampakkan barisan gigi hadapan yang mulai kemerahan kesan campuran gambir dan daun sireh.  

"Apa sebenarnya tujuan Bendahara Melaka ini mahu bertemu aku?" tanya Tuah dalam hati.  Dia tidak suka omong-omong kosong sahaja, dan dia tahu Tun Perak juga jenis yang tidak suka membuang masa.  

Hang Tuah terus membuka gelanggang bicara.

"Datuk Bendahara, maafkan saya jika pertanyaan ini menyinggung Datuk.  Saya mendengar khabar kematian Tun Besar.  Cerita sebenar tentunya Datuk lebih arif, maklumlah kami jauh dari istana, hanya dapat bau-baunya sahaja."  

Tun Perak terhenti mengunyah lalu meludah air sireh ke dalam ketur yang telah disediakan. Diambilnya gelas tembaga berisi teh Cina.  Itu satu lagi keistimewaan apabila bertandang ke rumah Hang Tuah. 

"Beginilah Datuk Laksamana...aku..."

"Datuk Bendahara tak usahlah berDatuk-Datuk lagi dengan saya.  Saya lebih senang dipanggil Tuah sahaja."  

"Begini Tuah anakku.  Musibah yang menimpa Tun Besar telah aku lupakan, anggaplah itu takdir Ilahi, walaupun hakikatnya Tuhan sahaja yang tahu betapa hancur-luluhnya hati ini."

"Apapun Tuanku Sultan juga telah bersetuju mengirim Raja Muhammad ke Pahang sebagai hukuman.  Namun perkara yang lebih merunsingkan aku ialah keadaan negeri Melaka yang semakin tidak keruan ini Tuah." 

MELAKA 1498Where stories live. Discover now