"Astaghfirullah...kenapa sampai berdarah-darah ni Ajid?" Ibunya bising sambil membelek-belek kepala dan muka Ajid mencari punca.
"Ya Allah anak aku!"
Ajid tidak menangis, dia hanya diam sahaja. Memang kepalanya berlumuran darah, bajunya koyak rabak. Dastar birunya hilang entah kemana. Lengannya pula habis calar balar. Kaki yang sudah tidak bercapal dipenuhi lumpur yang sudah kering.
"Baik kau ceritakan pada mak Ajid, kalau tidak nanti mak adukan pada bapak kau. Kau mahu begitu?"
Ajid diam lagi. Matanya hanya memandang ke bawah. Dia tidak mahu berpanjang-panjang dengan ibunya kerana memang tidak akan habis. Dan dia tidak peduli pun jika ibunya melaporkan kepada bapaknya. Ini bukanlah kali pertama.
"Kau berkelahi lagikan? Hari ini dengan siapa pula Ajid?"
"Hai Ajid tidak serik-serik kau ni asyik mahu bergaduh sahaja." Sambil mengomel si ibu mengambil sehelai kain perca, dibasahkan lalu disapunya pada kepala Ajid yang berdarah. Darah kering yang sudah melekat di kulit kepala dan rambut disental bersih ibunya menyebabkan Ajid kepedihan.
"Anak hulubalang tak akan menangis!" bentak Ajid dalam hati.
"Sudah. Pergi buang pakaian kau tu dan salin yang baru. Pergi mandi, solat dan turun ke dapur makan. Mak dah siapkan semuanya. Tapi bila bapak kau pulang nanti pandai-pandailah kau menjawab. Mak malas hendak masuk campur!"
Malam tersebut, selesai solat Maghrib dan makan malam, Ajid terus ke bilik. Dia tak mahu bersemuka dengan bapaknya. Kalau boleh biarlah luka, lebam dan sengal di badannya hilang dahulu.
Tetapi si bapak lebih pantas menghidu bau darah. Atau bau orang bersalah.
"Ajid. Ke mari!" Bapaknya memanggil dari ruang tamu. Perlahan sahaja suaranya tetapi cukup tegas. Bapak sedang bersila diatas tikar mengkuang, tangannya sibuk meracip pinang. Gobek sireh sudah dicuci. Cembul-cembul tembaga berisi kapur, gambir, tembakau dan cengkih juga telah diisi kembali oleh isterinya yang memang arif akan kehendak suami. Beberapa helai daun sireh yang segar dan molek sudah dibersihkan dan disusun diatas tepak sireh. Memang sudah menjadi kebiasaan bapak Ajid menyediakan sireh pada malam hari, agar lebih mudah untuk dikunyah atau dijamu pada tetamu keesokannya. Cuma kebelakangan ini tetamu bapak sudah berkurangan.
Ibu dan adik-beradik perempuannya yang lain sedang didapur mengemas. Abangnya Tun Guna masih belum pulang dari bersuluk di Muar. Rasanya sudah tiga purnama dia merantau.
"Bapak dengar kau berkelahi lagi siang tadi." Ajid tidak tahu bagaimana mahu menjawab, lalu didiamkan sahaja. Kadang-kadang diam itu lebih selamat.
"Mengapa kau diam? Berapa kali sudah aku bilang kalau ditanya kau mesti jawab."
Ajid terus membatu memandang lantai. Dia cuba mengingat kembali pergaduhannya siang tadi. Dia seorang berdepan lima budak-budak kampung yang memang suka cari pasal. Ajid tak gentar, tetapi dia tak tahan betul mendengar cacian mereka.
Ajid tidak lagi marah pada budak-budak yang memukulnya. Ajid hanya geram pada lelaki yang dihadapannya sekarang. Mata Ajid kini beralih kepada bapaknya.
"Ajid!" Bentak si bapak. Tangan yang tadi sibuk meracip terhenti. Diletakkannya kacip pinang ke lantai sambil matanya membalas tenungan Ajid. Tenungan bapak bukan sebarang. Sudah berapa ramai musuh yang lari lintang-pukang kerana tenungan bapak yang menggerunkan.
"Sekali lagi bapak tanya...kalau kau masih degil tak mahu jawab, malam ini kau tidur di reban ayam!"
"Bapak yang salah!" jerkah Ajid.
YOU ARE READING
MELAKA 1498
Ficção HistóricaKekayaan dan kegemilangan Melaka sebagai kuasa nusantara mulai dicemburui ramai. Kekayaan yang melimpah-ruah itu juga mulai merosakkan kerajaan apabila fitnah, caras-mencaras, rasuah, dan amalan kufur terus bermaharajalela. Hang Tuah yang kehilang...