Hang Kasturi sedang tekun mengasap kerisnya apabila dikejutkan dengan pukulan canang. Dia faham sangat bunyi tersebut serta maksudnya. Kasturi membuat keputusan untuk tidak mengendahkan dan menyambung kembali kerjanya. Dia menambah serbuk kemenyan, gaharu dan setanggi diatas bara. Asap kemenyan mulai memenuhi bilik tidurnya. Kasturi sangat sukakan bau asap yang banyak sekali khasiatnya. Disamping memastikan mata kerisnya terus tajam, terus berdamar dan tidak berkarat, adunan asap itu juga boleh mengharumkan seluruh isi rumah serta pakaiannya.
Diluar kedengaran orang-ramai yang sudah berhimpun dan rancak bisik-membisik di antara mereka. Setiap kali canang dipukul begitulah keadaannya, dan anak-anaklah yang paling terkinja-kinja sekali kerana teruja melihat kuda-kuda istana yang dihias cantik bersama pasukan Datuk Bentara yang berpakaian serba lengkap. Ia bukanlah pemandangan biasa-biasa untuk orang kampung.
Kasturi memasang telinga.
"Dengar sini orang-orang kampung. Ini adalah titah ke Bawah Duli Sultan. Seorang dayang raja bernama Saruja telah melarikan diri beberapa hari lalu. Barangsiapa yang berjaya mengembalikannya, Tuanku akan menghadiahkan sebidang tanah. Tetapi barangsiapa yang bersubahat menyembunyikan harta Istana Melaka ini, rumahnya akan diratakan, tanahnya dirampas. Dia dan seluruh ahli keluarganya akan dihukum buang daerah, mengikut undang-undang tubuh negeri Melaka ini."
Canang dipukul lagi menandakan titah Sultan telah disempurnakan. Orang kampung yang tadi hanya berani berbisik kini sudah tidak keruan lagi. Bunyi tapak kuda pasukan Datuk Bentara semakin menjauh dan akhirnya tenggelam ditelan riuh-rendah orang kampung.
Hang Kasturi menghentikan kerjanya. Keris diletakkan diatas lantai yang beralas kain putih. Jika disorot kembali kisah-kisah lama, memang dialah orang pertama yang akan disyaki oleh Sultan setiap kali dayang istana membuat onar. Rumahnya pasti akan digeledah oleh para pengawal Temenggung Mutahir yang memang sudah lama menunggu saat untuk menangkapnya.
Kasturi berharap agar Saruja selamat di tempat persembunyiannya, dan tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan. Dia tahu jika dayang kesayangan raja itu tertangkap sudah tentulah hukuman sula yang bakal menanti mereka berdua.
Hang Kasturi sudah tidak sabar lagi untuk menemui kekasihnya Dang Saruja. Tetapi dia mesti selesaikan dahulu hutangnya dengan si Tuah.
YOU ARE READING
MELAKA 1498
Historical FictionKekayaan dan kegemilangan Melaka sebagai kuasa nusantara mulai dicemburui ramai. Kekayaan yang melimpah-ruah itu juga mulai merosakkan kerajaan apabila fitnah, caras-mencaras, rasuah, dan amalan kufur terus bermaharajalela. Hang Tuah yang kehilang...