TGMS 11

19.4K 877 8
                                    

ZACHARY masuk ke dalam kereta dan melabuhkan tubuhnya pada tempat duduk pemandu. Dalam diam, dia membuka penutup botol air mineral lalu menghulurkannya kepada Irina di sebelah.

Irina menoleh, memandang botol mineral yang dihulurkan. Tatapan matanya kosong sebelum beralih ke wajah lelaki di sebelahnya. Wajah itu, seperti biasa, tidak menzahirkan apa-apa selain dingin yang sukar ditembusi.

Dia mengambil botol itu tanpa sepatah kata. Saat Irina meneguk air dari botol tersebut, mata Zachary tertumpu pada lingkaran merah samar di leher wanita itu. Tanda itu masih jelas, kesan daripada kejadian yang baru berlaku. Namun, Irina langsung tidak menunjukkan tanda kesakitan, apatah lagi mengadu.

Zachary tidak tahu apa yang merasuknya, tetapi tangannya secara refleks terangkat, mendekati leher Irina, ingin menyentuh bekas luka itu.

Irina, yang menyedari pergerakan itu, pantas mengelak. Zachary terhenti. Tangannya kembali jatuh ke riba.

Irina, seolah-olah tidak terkesan dengan tindakan Zachary, hanya mengusap lehernya dengan lembut.

"Kau patut jaga diri kau," Zachary akhirnya bersuara, nada suaranya mendatar tetapi penuh maksud.

"Kau tahu tak majlis kita cuma tinggal beberapa hari lagi? Aku tak nak orang tuduh aku sebagai tunang yang kaki pukul. Walaupun bukan aku yang buat semua ni."

Dia mengambil botol dari tangan Irina, menutupnya rapat, dan meletakkannya kembali di konsol.

Irina tidak menjawab. Sebaliknya, dia membuka ikatan rambutnya. Rambut panjangnya yang terlepas jatuh menutupi lehernya, menyembunyikan tanda merah yang membuat Zachary tadi tidak senang.

"Kau tak perlu risau. Aku tahu macam mana nak handle perempuan tu," tutur Irina dengan tenang tetapi penuh sindiran.

Zachary menoleh ke arahnya, tetapi kali ini pandangan matanya tertahan. Ini adalah kali pertama dia melihat Irina dengan rambut panjang terurai seperti itu. Dia cepat-cepat memalingkan wajahnya ke arah lain, cuba menyembunyikan sesuatu yang dia sendiri tidak faham.

"Esok akan ada satu lagi artikel keluar," kata Zachary selepas beberapa saat sunyi.

Irina mengangkat kening, memandang lelaki itu dengan rasa ingin tahu. "Apa yang kau cuba buat kali ni?" soalnya.

"Aku cuma bagi apa yang orang nak tahu," jawab Zachary, matanya memandang kosong pada stereng keretanya.

"Orang nak tahu siapa perempuan yang berjaya masuk dalam hidup aku."

Irina tersenyum tipis, senyum yang penuh makna tetapi juga kepahitan.

"Malangnya, apa yang kau sampaikan dekat orang tak sama dengan apa yang sebenarnya berlaku antara kita. Fantasi dan realitinya jauh berbeza. Tapi aku yakin... orang akan lebih suka dengar fantasi tu daripada melihat realitinya. Kita ni tak ubah macam pelakon dalam drama yang kita sendiri tak suka."

Kata-kata itu membuatkan Zachary terdiam.

Irina memegang pemegang pintu kereta, bersedia untuk keluar. Namun sebelum melangkah keluar, dia berkata perlahan tetapi tajam, "Kau tak perlu cuba hancurkan apa-apa, Zachary, sebab apa yang kau tengok sekarang... ialah Irina Dalisha yang dah lama hancur. Jiwa aku kosong. Aku ni ibarat robot, bila-bila masa je boleh shut down serta-merta. Jadi abaikan apa yang kau dah tengok selama ni. Jangan fikir lebih."

Dia membuka pintu dan melangkah keluar, meninggalkan Zachary yang masih diam membisu.

Dari tempat duduknya, Zachary memerhati tubuh Irina berjalan perlahan menuju ke arah kereta Audi RS7 yang sudah menunggunya di depan lobi. Ben sudah membukakan pintu buat wanita itu.

The Greatest Marriage SecretWhere stories live. Discover now