Sentimen

249 3 0
                                    

Jam menundingkan jarinya kearah tujuh, aku bangun dan temenung. Fikiran aku kosong, lebih kosong dari tin biskut. Kipas angin sedang memerhatikan perbuatan aku sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Aku tak hiraukan perbuatannya malah pandangan aku lebih tertarik kepada tingkap yang menyiarkan sebuah atmosfera yang sedang keriangan dibasahi embun pagi.

“Belon kelabu?” Sebiji belon sedang melintas keawan menerusi tingkap bilikku.

*pap*

Kedengaran bunyi belon pecah dan telefon bimbit aku berdering. Nama ‘Sayang’
terpapar pada skrin telefon. Aku picit punat hijau dan menjawab panggilannya.

“Selamat pagi sayang.” Ucapan pagi darinya membuatkan aku tersenyum pada skala
langit.

“Selamat pagi sayang.”

“Saya ada belikan awak pakaian yang cantik, jangan lupa pakai hari ini dan hari-hari seterusnya.” Katanya.

“Pakaian? Bila masa pula awak ada belikan saya pakaian?” Kenyataannya membuatkan
aku keliru.

“Ya, saya belikan awak senyuman, jangan pernah tanggalkan senyuman awak.”

“Ya, saya janji tak akan terlupa dan tercicirkan pakaian yang awak hadiahkan ini. Jangan lupa sarapan, sayang awak.” Aku jueteru tersenyum setelah mendengar kenyataannya tadi.

“Sayang awak juga.” Panggilan dimatikan lalu aku mencampak telefon bimbitku ketepi.

Bunyi pesanan rigkas masuk tapi aku tak hiraukan.

*pap*

Sekali lagi kedengaran bunyi belon pecah, kali ini ia berada dipenjuru bilik tidurku. Aku memandang serpihan belon tadi.

“Belon jingga?” Kepala aku kembali kosong.

Aku bangun dari katil dan menanggalkan
baju tidurku lalu menyarung kemeja-T kosong berwarna kelabu.

Aku mendaki anak-anak tangga untuk ke loteng rumah tempat dimana aku melepaskan nafsu pagiku tapi kali ini pendakianku terasa aneh. Langkah aku terhenti pada anak tangga terakhir dan aku pejamkan mataku. Fikiran aku memainkan imej seorang wanita ayu, dia sedang
berdiri tenang dihadapan aku sambil menghulurkan sebiji belon merah. Aku mengambil belon tersebut lantas memecahkannya.

Aku terus berjalan ke tingkap loteng yang sedang menayangkan Kuala Lumpur. Suasana yang tidak cantik, tidak tenang, tidak segalanya ironinya aku masih tidur dikota yang sama bertopengkan keikhlasan walhal muka sebenar aku bermisaikan hipokrit.

“Belon biru?” Aku cuba untuk menangkap belon tersebut, tapi lagu angin seakan
mengeras menolak-nolak belon tersebut dengan laju.

Aku nyalakan sebatang ilham dan duduk bersandar ke dinding lalu memejamkan mata.

Sekumpulan rama-rama yang bercahaya terbang melintas dari mata kiri ke mata kananku dan menghilang dalam kegelapan. Lantas, aku nyalakan mataku. Asap menutupi ruang kedudukan aku. Lalu aku sedut kekosongan dari batang ilham tadi
dan menghembuskan kepulan keserabutan. Menari-nari asap dari puntung dan aku coretkan nama seseorang pada papan angin berkapurkan mata puntung tadi. Sedih, nama yang aku letak berhadapan dengan paras penglihatan aku, lesap menyepi
cuma dalam masa satu saat.

“Belon ungu?” kelihatan burung-burung sedang berlumba-lumba mengejar belon tadi.

*pap*

Belon berwarna ungu tadi pecah dan sesekali telah menghampakan harapan burung-burung tadi.

*Bzzz bzz*

Telefon bimbit aku bergetar. Aku mengambil telefon bimbitku dari kocek seluar pendekku dan melihat pada skrin, terpapar nama “Ibu”. Aku meletakkannya ke lantai dan membiarkan getarannya hilang.

*Bzzz bzz*

Sekali lagi ia bergetar. Aku tahu ianya masih dari pemanggil yang sama dan aku biarkan saja telefon itu mengerang sendirian.

“Belon hijau?” Belon yang melintas kali ini tidak pecah dan ia terus ke udara dengan
riangnya.

Aku bangun, dan mengambil tiga batang lilin yang terletak diatas meja kecil di sebuah sudut loteng. Lalu aku nyalakan dan membiarkan mereka berdiri ditengah-tengah ruang bilik loteng. Aku melemparkan pandangan pada tingkap tadi.
Tiada belon.

Aku duduk bersila dihadapan lilin dan aku pejamkan mataku. Seorang tua berjubah dan berkopiah putih sedang melintas dari mata kiri ke mata kanan aku. orang tua tadi berjalan sambil matanya memandang kearah aku dan tersenyum. Aku membuka kelopak mataku. Lalu aku tidur mengiring meniru gaya fetus besebelahan lilin-lilin tadi sambil melihat cahaya jingga yang membakar gulungan tali yang terletak ditengah-tengah sebatang lilin yang
mencair kesedihan.

“Belon merah?” Anak mataku mengikut gerakkan sebiji belon merah yang sedang
melintas disebalik batang-batang lilin dan berhenti disebelah botol air yang terisi tiga batang bunga ros yang sudah kering melayu.

Bunga itu, bunga yang aku dapat dari seseorang. Seorang lelaki yang pernah menjadi sebahagian dari diri aku satu masa dahulu.

*pap*

Belon yang mendampingi botol yang memegang tiga batang bunga ros layu tadi pecah.

Tiba-tiba imej seseorang yang telah sekian lama aku kurung di dalam sebuah bilik besi dalam istana hati aku muncul.

Senyumannya masih tidak berubah, masih manis seperti sebelumnya.

“Sayang, saya ada bawakan sesuatu untuk awak.” Dia menghulurkan sebiji belon
berwarna kuning.

“Kenapa awak sedih? Bukankah awak yang membuat keputusan untuk meninggalkan saya?” Katanya lagi.

“Sudahlah, saya maafkan awak tapi saya tak boleh kembali mendampingi awak. Awak
masih layak bernafas untuk hari esok, jadi awak harus kuat dan terima kenyataan ini.” Lalu imej tadi terus menghilang tanpa sempat aku berkata apa-apa.

Aku bangun dan menyandarkan badan aku pada dinding sambil memeluk kedua-dua
belah lututku. Perasaan aku seperti kucar-kacir dan kepala aku sudah tidak terurus.

Aku perhatikan suasana diluar tingkap. Warna langit yang tadinya ceria sudah bertukar menjadi muram. Ia menggelap dan tiba-tiba memberontak melemparkan guruh ke tanah.

“Belon putih?” sebiji belon terbang laju mengikut lagu angin sebelum langit menangis kecewa.

Aku tunduk menangis. Aku takut jika Tuhan menolak aku neraka walaupun aku kembali kepada kaum asalku semula.

“Nama aku Harris tapi Harris sudah mati dibunuh oleh aku sendiri. Hari ini aku digelar Rissa kerana aku berasa lebih selesa dan selamat dengan gelaran ini.”

Cerita KontotWhere stories live. Discover now