Prolog

8K 116 5
                                    

MATANYA sudah sembab. Sejak semalam air jernih tak mahu mendengar kata. Sudah berkali dilarang keluar, tapi tetap juga degil mahu menyentuh pipi.

"Sayang janganlah menangis begini. Abang nak pergi pun tak senang hati." Suara sang suami sudah berkali-kali masuk ke telinganya.

Arlina kesat pipinya yang basah.

"Maaf sebab buat abang susah hati." Jemari sang suami dicapai dan dicium lama. Dan air jernih gugur lagi.

Wajah mendongak, mata sang suami ditenung. Belum pun berpisah, dia sudah rindu akan sinar mata itu. Terus tubuh tegap sang suami dipeluk.

"Hafif!" Suara si abang ipar memanggil nama sang suami buat Arlina cepat-cepat leraikan pelukan. Pipi dilap dengan belakang tangan.

"Sorry....ganggu..."

Arlina menunduk. Hanya ekor mata mengerling si abang ipar yang tercegat di muka pintu bilik. Serius, dia segan. Tiga bulan menjadi ahli keluarga ini, dia tak pernah nampak pun lelaki yang dipanggil along itu tersenyum padanya.

"Along tunggu kat kereta."

"Okey. Lima minit." Hafif angkat lima jari dan si abang terus berlalu pergi.

Kini perhatian diberi pada si isteri. Wajah Arlina dipegang.

"Abang pergi demi untuk kita, sayang. Bila abang dah stabil di sana nanti, abang janji akan bawa sayang sekali. Sekarang ni sebab abang tumpang rumah along dulu, susah sikit."

Arlina angguk tanda faham. Yalah! Dia memang faham. Suaminya ke KL menumpang rumah alongnya. Dia juga faham, sampai bila mereka nak hidup dengan cara begini, menumpang di rumah keluarga mertua.

Memanglah mertuanya bukan orang susah. Memanglah rumah mertuanya agak besar. Tapi sampai bila nak mengharap belas ehsan mertua jika dia dan suami tak bekerja?

"Jom!" Hafif bangkit dan tarik tangan si isteri. Sebelah lagi menarik beg pakaian.

Melangkah ke depan, suara ibu mertuanya galak menasihati si anak teruna kesayangan.

"Zarief, kamu tolong tengok-tengokkan juga adik kamu tu."

Arlina kerling sang suami di sebelah. Adik yang dimaksudkan haruslah suaminya.

"Umi...Hafif tu dah besar la." Suara Zarief membalas. Mata bersilih ganti memandang si adik dan adik iparnya yang sudha muncul di belakang mamanya.

"Sebab dah besar la umi suruh kamu tolong tengokkan. Dulu, umi hantar pergi belajar, dia bawa balik ijazah dan isteri sekali. Sekarang pergi KL cari kerja, jangan pula balik bawa isteri lagi sorang."

Kali ini Arlina terus berpaling memandang sang suami.

"Itu umi kena cakap dengan anak umi tu." Zarief memuncungkan mulut ke arah pasangan suami isteri yang sedang saling berpandangan.

Hafif angkat tangan bagai orang berikrar.

"Abang janji, hanya sayang di hati abang. Dan sayang kena janji, tunggu abang."

Arlina senyum menyambut janji sang suami. Sekali lagi tangan bersalaman sebelum Hafif menarik luggage menuju ke bonet kereta si abang.

Mahu dihantar sang suami hingga ke kereta. Tapi entah bagaimana, selipar jepun yang disarung tersangkut di kaki sendiri dan Arlina hilang imbangan badan.

"Arrghh..." Serentak jeritannya, dia sudah terpeluk seseorang.

Tiba-tiba suasana jadi sunyi sepi dan detik bagai terhenti.

"Ma....af." Arlina tergagap. Badan cepat saja dijauhkan dan tangan yang terpeluk si abang ipar itu diangkat.

Namun, orang yang dipeluk hanya mengangguk bisu sebelum berlalu menuju ke pintu kereta sebelah pemandu.

Hafif yang melihat Arlina kaku berdiri kembali mendapatkan si isteri.

"Jaga diri." Pesanan diberi sebelum satu ciuman singgah di pipi.

Tapi, Arlina hanya diam.

Tak tahu kenapa, mata tidak terarah pada sang suami sebaliknya lurus ke arah kereta Audi di depan sana. Kereta milik si abang ipar yang di dalamnya sudah duduk tuan empunya kereta. 

SENTUHAN KECUNDANGWhere stories live. Discover now