Bab 2

4.6K 107 1
                                    

ADAT hidup di rumah orang, kena pandai bawa diri. Tapi Arlina bersyukur, walau diri terasa diabaikan suami tapi nasib lagi mertua ambil peduli.

Di rumah ini, dia belajar banyak benda. Dari tak tahu masak, tak tahu apa-apa tentang dapur, dia sudah pandai banyak perkara, banyak resipi menarik yang diajar mertuanya.

Hari ini, dia belajar buat cucur udang. Dari bancuh tepung hinggalah ke sambalnya.

"Pergilah solat asar dulu. Nanti kita boleh minum sama-sama." Arahan dari mertuanya setelah semuanya selesai.

Arlina melangkah ke arah pintu belakang sebaik mertuanya keluar dari ruang dapur. Hajat di hati mahu memngangkat kain diampaian sebelum ke bilik bersolat asar.

Tapi, langkahnya terhenti tatkala melepasi pintu apabila matanya terpandangkan Zarief yang sedang duduk di kerusi taman yang terdapat di belakang rumah.

Saat yang sama, Zarief berpaling dan buat seketika mereka hanya saling berpandangan tanpa suara. Waktu itulah hati Arlina terdetik mahu bertanyakan sesuatu. Mungkin inilah masanya.

"Along.... "Langkah dihampiri.

Zarief masih diam di kerusi, tidak menjawab mahupun berganjak. Hanya memerhati Langkah Arlina menuju ke arahnya.

Hampir di tempat Zarief duduk, Arlina hentikan langkah. Sesaat dia kumpul suara, mencari kekuatan. Yalah! Selama dia 'masuk' ke dalam keluarga ini, dia mana pernah berbicara dengan lelaki ini. Hari ini dalam sejarah, dia beranikan diri untuk berbicara.

"Boleh tak... kalau saya nak minta nombor telefon Hafif?" Permintaan diluahkan.

Mata Zarief yang memamah wajahnya buat Arlina menunduk.

Adakah dia akan dimarah? Atau mungkinkah permintaanya keterlaluan?

Dia bukan tidak berani untuk meminta nombor tersebut dari mertuanya tetapi dia sudah terlanjur menipu mengatakan Hafif ada menghubunginya apabila mertuanya bertanya. Jadi, jika dia meminta nombor telefon Hafif, pastilah penipuannya akan terbongkar.

Dia tidak mahu masalah rumah tangganya diketahui oleh mertuanya.

Dari ekor mata, Arlina nampak Zarief mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Tanpa suara, telefon di tangan ditekan-tekan kemudian dihulurkan ke arahnya.

Arlina menunduk, mahu melihat nombor yang tertera di skrin dengan lebih dekat. Lama juga dia cuba mengingat nombor-nombor tersebut dengan mulut terkumat kamit.

"Guna phone ni, dia akan angkat call." Suara Zarief yang membuat tawaran istimewa itu buat Arlina tegak badan. Mata memandang Zarief meminta kepastian.

Telefon yang dihulurkan makin dekat ke arahnya. Tapi Arlina masih teragak-agak mahu menyambutnya. Tergamam sebenarnya. Bagai tak percaya, lelaki yang selama ini dilihat bagai sangat tak menyukainya boleh memberi tawaran tersebut.

Tiba-tiba Zarief bangkit. IPhone 7 makin dekat dihulurkan ke arah Arlina.

"Password 2246."

Arlina telan liur. Tak tahu kenapa dia jadi gabra begini. Walhal dia bukan jenis yang begini sebenarnya.

"Nak ke tak nak Kalau tak nak, saya tarik balik tawaran." Zarief bagai mengugut.

"Tapi, saya nak buat call dalam bilik."

Zarief angguk tanpa banyak soal dengan permintaan kedua Arlina. Tak tahu kenapa dia jadi mudah begini sedang dengan adik sendiri pun dia tak pernah buat perkara yang sama.

"Tak takut saya tengok benda-benda lain dalam telefon ni ke?" Arlina menduga.

"Berani ke nak tengok?" Soalan dibalas dengan soalan mencabar.

Sekali lagi Arlina telan liur. Kenapalah dia nak cari penyakit bersoal jawab dengan lelaki dingin ini? Tak mahu menyoal lagi, huluran disambut.

"Tahu gunakan?"

Arlina angguk. Hafif dan dia juga guna iPhone. Bodoh la kalau tak pandai.

"Terima kasih. Dah siap saya pulang balik."

Tak membalas apa-apa, Zarief terus berlalu masuk ke dalam rumah.

Arlina yang berdiri di situ membelek telefon di tangan sebelum turut melangkah masuk. Angkat kain sudah menjadi perkara kedua. Yang penting sekarang, solat dan call Hafif.

BENAR kata Zarief, tiga kali deringan, talian sudah bersambung.

"Abang...." Hanya itu yang keluar dari bibir Arlina. Saat itu dia sudah mahu menangis.

"Sayang??" Nada terkejut suara sang suami kedengaran di hujung sana.

"Ni phone along kan?"

Arlina angguk, seolah Hafif sedang melihatnya. Apabila sedar mereka hanya sedang berhubung melalui telefon barulah dia bersuara mengiakan.

"Macam mana Linn boleh guna phone along?"Masih nada pelik Hafif bersuara.

Arlina yang mendengar sudah terasa berat dalam dada. Lama tidak bertemu. Lama tidak berbicara, kenapa soal telefon along yang mahu diambil tahu? Adalah telefon itu lebih penting dari dirinya?

"Kalau Linn guna nombor lain, abang akan angkat ke?" soalan balas Arlina buat sang suami terdiam beberapa detik. Kedengaran nafas berat terlepas di hujung talian

"Linnn...

"Baliklah bang. Kita bincang. Apa silap yang abang dah buat tu, Linn maafkan." Arlina memintas. Matanya sudah berkaca.

"Tolong bagi abang masa Linn. Kan hari tu abang minta Linn tunggu dan beri abang masa?"

"Ya! Tapi sampai bila? Sampai keluarga semua tahu?"

Sekali lagi satu keluhan berat terlepas di hujung sana.

"Abang, please... Abang dah janji dengan Linn kan? Abang dah janji untuk jadi suami yang baik dan perbetulkan semuanya." Arlina cuba untuk merayu. Mengingatkan Hafif apa yang telah dijanjikan.

"Linn dah tak ada siapa-siapa bang. Linn dah tinggalkan keluarga. Sekarang ni Linn cuma ada abang. Kalau abang rasa Linn ni membebankan, abang kena berterus terang. Kalau abang diam macam ni, Linn tak tahu apa sebenarnya yang abang mahu."

"Sayang.... bagi abang masa, okey?"

"Abang baliklah. Kita bincang."

"Nanti abang balik. Abang kena pergi sekarang, orang dah panggil tu. Assalamualaikaum...."

Belum sempat Arlina bersuara membalas, talian telah diputuskan. Buat beberapa detik, dia hanya terduduk kaku.

Mata jatuh pada cincin di jari manis. Cincin kahwin yang disarungkan Hafif saat mereka sah bergelar suami isteri. Disarung bersama janji dengan nama DIA. Tapi saat ini, Arlina rasa Hafif sudah melupakan semua janji-jani tersebut.

Tak tahu kenapa, hati berat mengatakan Hafif sudah melupakan semua janjinya.

"Tuhan... jika benar rasa cinta yang KAU wujudkan dihatiku ini bukan satu kesalahan, tunjukkan aku jalan kebenaran."

Mata dikelip-kelipkan beberapa kali, menahan ari jernih dari gugur ke pipi.

Lantas dia bangkit. Dia harus keluar untuk memulangkah telefon milik along.

SENTUHAN KECUNDANGWhere stories live. Discover now