Bab 34

5.2K 253 6
                                    

Sudah 3 hari peristiwa malang itu berlaku kepada aku. Kata putus masih belum dapat dicapai kerana pertentangan kenyataan yang diberi oleh aku dan Salman serta Sumaiyyah. Oleh kerana tiada bukti yang kukuh daripada kedua-dua pihak, Ustaz Harun dan Ustazah Fauziah membuat keputusan untuk menggantung kes ini buat masa sekarang.

Dan selama 3 hari itulah Umar langsung tidak menghubungi aku. Mesej whatsapp, e-mel dan panggilan telefon aku semuanya tidak berjawab. Kesedihan di hati aku sudah tidak dapat dibendung lagi. Pada saat ini, hanya Nora dan Kina yang menjadi pendengar setia aku.

Walaupun aku cuba untuk menggagahi hati, tumpah juga air mata aku ini beberapa kali apabila mengenangkan perhubungan aku dan Umar yang seakan sudah putus di pertengahan jalan. Kenangan aku bersamanya, walaupun sebentar sering bermain di kotak fikiranku. E-mel daripadanya aku baca berulang kali. Hanya itu pengubat rindu aku kepadanya.

"Hana fikirkan apa tu?" suara Nora yang lembut mematikan lamunan aku. Aku mengesat air mata yang sering bertamu kini.

"Hana fikirkan Umar lagi ye?" Kina pula menggosok-gosok bahu aku dengan perlahan.

Mendengar namanya disebut, air mataku mengalir laju.

"Hana, sabarlah. Jangan diikutkan sangat perasaan. Nanti Hana jatuh sakit pula" Nora memujuk aku. Nora yang perisau memang sudah beberapa kali mengingatkan aku untuk menjaga kesihatan.

"Saya sedih Nora." Kata aku dalam esakan yang berlarut-larutan. Bahunya ku rangkul erat.

"Sampai sinikah pertunangan saya dengan Umar? Kenapa dia langsung tidak menghubungi saya?" aku menangis teresak-esak di bahu Nora. Sudah penat rasanya aku menangis, tapi entah mengapa air mata ini masih belum mahu kering.

"Hana, hal jodoh ni kan bukan dalam tangan kita. Semuanya sudah ditentukan Allah. Kalau memang ada jodoh Hana dengan Umar, pasti kalian akan berbaik semula. Namun kalau memang sudah tiada jodoh.."

Nora tidak menghabiskan ayatnya namun memandang kepada Kina yang sedang memegang tangan aku dengan erat.

"Hana, kami tahu yang Hana memang sayang dengan Umar. Dan kami mungkin tidak dapat betul-betul memahami betapa peritnya perasaan yang Hana lalui kini. Tapi Hana kena ingat - kasih, cinta dan sayang semuanya milik Allah jua. Allah yang beri perasaan cinta kepada kita. Dan Allah juga boleh tarik perasaan itu pada bila-bila masa saja"

"Kina rasa Allah dah tarik balik ke perasaan Umar terhadap saya?" aku bertanya dalam sedu sedanku.

"Hanya Allah yang mengetahuinya Hana" Kina menjawab dengan lembut. Tangannya masih erat memegang tanganku dan menepuk-nepuknya perlahan seperti cuba memberikan aku kekuatan.

Ya Allah perit sekali rasa di hati ini bila mengenangkan yang Umar mungkin sudah tiada perasaan kepada aku lagi. Terasa bagai hendak pecah dadaku menahan perasaan hiba yang menerpa. Aku urut-urut dada ku yang bergelombang bagai dilanda ombak yang ganas.

Aku menghela nafas dalam-dalam untuk menenangkan diriku. Aku cuba menghadirkan kesedaran tentang hakikat kuasa mutlak Allah dalam persoalan jodoh ke dalam hati aku.

Memang benar apa yang Nora dan Kina katakan. Soal jodoh ini memang sudah tertulis sejak azali. Banyak mana sekalipun aku menangis, kalau memang sudah tertulis bukan Umar jodoh aku - dia tetap tidak akan menjadi suamiku.

Aku harus menguatkan hati aku. Kerana aku ini 'Muslim', iaitu orang yang berserah sepenuhnya kepada Allah. Muslim yang sejati adalah orang yang sabar dengan segala dugaan yang Allah berikan. Orang yang tetap percaya bahawa di sebalik segala keperitan ujian hidup, pasti ada hikmah yang Allah berikan kepada hambaNya. Mungkin aku belum nampak lagi apa hikmah yang Allah cuba tunjukkan kepada aku kini kerana hati aku masih terlalu fokus kepada kesakitan. Aku harus memberi ruang kepada hati aku untuk pulih kembali.

Aku teringat tulisan Yasmin Mogahed yang pernah aku baca suatu ketika dulu. Dia menulis tentang hakikat hati manusia. Hati manusia ini akan sentiasa sakit dan perit sekiranya ia diisi oleh perkara yang tidak sepatutnya.

Apakah perkara yang tidak sepatutnya diisi di dalam hati? Perkara seperti cinta manusia, cinta kepada harta benda, cinta kepada status dan nama. Ini kerana hati itu tujuannya hanya satu - untuk mengisi cinta yang Satu.

"..Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati akan tenang." (Ar-Ra'd:28). Mengingati Allah bukanlah bererti seperti angin lalu. Sekejap datang, sekejap berlalu. Allah harus ada tempat yang diam di dalam hati aku. Namun, tempat itu telah aku gantikan dengan cinta Umar. Dan kini, bila cinta itu semakin pergi, padanlah hati aku rasa perit tidak terperi.

Aku menangis lagi apabila tersedar akan hakikat ini. Sesungguhnya aku sudah lalai selama ini. Aku terlalu fokus kepada cinta makhluk hingga melupakan cinta kepada Pencipta makhluk. Dan akibatnya kini, aku sendiri yang merana.

Sayup-sayup kedengaran pangggilan azan. Waktu Maghrib sudah masuk. Nora dan Kina bersiap-siap untuk ke Surau Solihin. Aku menyarung telekung unguku dan bersiap sedia untuk bersama-sama mereka ke surau.

Aku diam sepanjang perjalanan. Mata aku masih terasa sembab dek banyaknya menangis. Kaki aku terasa berat bagai diikat dengan batu. Sampai saja di surau aku terus mengambil wudhu'. Air wudhu' menyegarkan aku kembali. Kesejukan air yang mengalir seakan terus meresap ke dalam hati.

Solat Maghrib pada malam ini diimamkan pula oleh Umar. Apabila terdengar saja suaranya, sekali lagi perasaan hiba menghinggapi hati. Namun kali ini, aku tepis perasaan itu dengan niat yang baru.

Sudah Hana, sudah. Waktu ini waktu untuk Allah. Ini pula rumah Allah. Jangan dilayan sangat perasaan bahan permainan syaitan. Tetapkan hati untuk khusyuk mengadap Ilahi.

Apabila takbir diangkat dan niat kulafaz, terasa fikiranku yang berserabut menjadi kosong dan lapang. Yang ada hanya aku dan Allah. Berdiriku hanya untuk mengadap Allah. Rukukku hanya untuk menyembah Allah. Sujudku hanya untuk merendahkan diriku di hadapan Allah. Tuhan yang Maha Agung, Maha Berkuasa. Alhamdulillah aku berjaya solat dengan khusyuk sampai salam diberi.

Selepas tamat solat Maghrib, jemaah keluar beramai- ramai. Aku menungggu Nora dan Kina di anjung surau. Pada ketika itu aku ternampak kelibat Umar di ruang solat lelaki. Dia berbaju melayu putih dan berkopiah biru. Wajahnya masih nampak tenang seperti biasa. Hati aku bergetar sedikit apabila terpandang akan wajahnya dan lantas aku memalingkan mukaku. Aku panjatkan doa di dalam hati kecilku.

"Ya Allah, Kau pulihkanlah kembali hatiku. Kau isilah hatiku yang kehilangan ini dengan cintaMu kembali. Kau hiasilah jiwaku dengan cahaya kasih dan sayangMu. Kau lindungilah hambaMu yang lemah ini daripada tipu daya dunia dan fitnah manusia. Ameen Ya Rabbal Alameen." 

Nak Kahwin Imam Muda!Where stories live. Discover now