Aku Harus Memilih - Prolog

4.4K 94 3
                                    

AMELIA diam dan kaku. Jika ditanya tentang sakit, dia tiada jawapan kerana semua rasa yang dia ada sudah lama hilang.

"Macam mana boleh jadi macam ni?" Soalan mamanya menerjah telinga.

"Kenapa tak cakap dengan mama masuk hospital?" Masih berbentuk soalan tapi Amelia masih diam mematung.

"Haqif tahu?"

Kali ini Amelia geleng kepala.

Dan satu keluhan keluar dari bibir Puan Hawani. Jika degil si anak boleh dileburkan bagai meleburkan bijih timah, mudah untuk dia uruskan.

"Jadinya, Haqif tak tahu Mel mengandung?"

Sekali lagi Amelia menggeleng.

"Mel...dalam rumah tangga ni, kena ada tolak ansur. Lebih-lebih lagi kita sebagai isteri. Kalau dua-dua ego dan degil, sampai bila pun tak ada perkataan damai."

Puan Hawani keluarkan telefon bimbit.

"Call dia."

"Ma... kami kan dah berpisah. Dah jatuh talak pun. Mama lupa ke?" Amelia membantah. Telefon yang dihulurkan tak bersambut.

"Tapi waktu tu dia tak tahu Mel mengandung kan?"

"Tahu atau tak, ia tak akan merubah apa-apa ma."

"Isk! Degil." Puan Hawani angkat punggung dan berlalu keluar.

Tak lama selepas itu, Amelia nampak mamanya masuk kembali.

"Mama dah call mertua kamu."

"Bekas mertua, ma." Dibetulkan ayat mamanya.

"Dia akan datang dengan Haqif."

Pantas saja Amelia berkalih pandang. Wajah mamanya yang tanpa riak itu direnung. Mahu dimarah tetapi dia yakin marah itu akan berbalik padanya semula.

Bukan dia tak tahu, Haqif itu menantu kesayangan mamanya. Bukan menantu, tapi bekas menantu.

Waktu mamanya tahu yang rumah tangganya sudah runtuh, mamalah orang yang paling bising. Haruslah dia orang utama yang dipersalahkan. Walhal mama tak tahu, Haqif itu bukannya menantu, tetapi hantu jembalang.

Malas berbalas cakap, Amelia diam mematung sehingga ada suara memberi salam muncul di muka pintu.

Mata Amelia terhala pada sekujur tubuh yang muncul bersama sejambak bunga di tangan.

"Masuklah Haqif." Puan Hawani mempelawa apabila melihat si anak hanya membisu.

Haqif melangkah masuk mendekati katil pesakit dan bungan dihulur tetapi tidak bersambut.

"Hakif datang sorang ke?" Puan Hawani bersuara menghilangkan suasana canggung.

"Mama on the way. Qif dari pejabat tadi." Haqif menoleh sekilas ke arah bekas mertuanya sebelum beralih pada Amelia yang beku.

"You sihat?" Soalan ditanya. Jambangan bunga yang tidak disambut, diletakkan di tepi meja.

Pun begitu, soalannya juga tidak berjawab.

Beberapa detik diam, Puan Hawani meminta diri untuk keluar, bagi memberi ruang dua manusia yang sama-sama degil itu berbicara.

"Sorry....." Itu yang terluah di bibir Haqif sebaik pintu tertutup dan hanya tinggal mereka berdua di ruang tersebut.

"You boleh balik." Senada saja suara Amelia menghalau.

"Mel..." Bicara Haqif mati apabila Amelia menghantar pandangan maut.

"You dah dapat apa yang you mahu. You nak I menderita, nak I terseksa, nak I sengsara dan tak bahagia. Dan apa yang you nak tu dah tercapai semuanya. Apa lagi yang you mahu dengan munculkan diri di sini?"

Haqif terdiam. Teringat di hari pertama perkahwinan mereka, semua itu dia yang luahkan. Liur ditelan. Pahit.

"I tak bermaksud..."

"Kata-kata tu satu doa, Haqif. Dan doa you termakbul." Amelia memintas.

Pandangan dihala jauh ke depan. Dia mahu menjadi kuat. Tidak mahu air matanya tumpah di depan lelaki ini walau yang sebenarnya, sejak hari mereka disahkan bukan lagi sebagai suami isteri, matanya cepat benar meragam.

"Mel..." Bicara Haqif terhenti lagi dek ketukan di pintu dan suara orang memberi salam.

Dan lelaki yang muncul bersama jambangan bunga di tangan itu buat Haqif kurang senang. Apatah lagi bila melihat bibir Amelia mula melakar senyum.

"Masuklah." Ramah Amelia menjemput si teman merangkap bosnya, Zafri Ilham.

Si lelaki hulur tangan pada Haqif sebelum jambangan bunga dihulur pada Amelia. Dan Amelia sambut dengan ucapan terima kasih. Tanpa sedar, hati orang di sebelahnya sudah terasa.

"Aku mengganggu ke?" Soalan diaju pada Haqif tetapi mata menatap Amelia.

"Zaf, you jangan berlagak yang you tak tahu apa-apa." Pantas saja Amelia memberi amaran. Zafri bukan tak tahu antara dia dan Haqif sudah tidak punya apa-apa hubungan lagi.

"I keluar dululah. Tunggu mama kat luar." Haqif bersuara tiba-tiba. Tapi Amelia pekakkan telinga.

Datang tak berjemput, nak keluar, pandailah sendiri.

Langkah Haqif yang keluar dihantar oleh dua pasang mata.

"You dengan dia..."

"I dengan dia sudah menjadi satu sejarah."

Zafri terus geleng kepala apabila bicaranya dipintas begitu. Degil kedua sahabatnya ini sukarnya untuk dilembutkan.

rIu

AKU HARUS MEMILIHWhere stories live. Discover now