Aku Harus Memilih - Bab 3

5K 121 13
                                    

MASUK ke rumah, suasana sudah gelap. Kereta Haqif ada di laman, pastilah lelaki itu sudah tidur.

Tapi saat tangannya menekan suis lampu, kelihatan Haqif sedang berdiri tercegat di tengah ruang sambil berpeluk tubuh, bagai menanti dia pulang.

"You pergi mana jam sebegini baru balik?" Dingin suara itu seperti selalu. Tak kira di mana, bila hanya tinggal mereka berdua saja, suara Haqif akan berubah dingin seperti sekarang ini.

Walau terkejut dengan teguran tersebut, Amelia teruskan juga langkah untuk naik ke atas.

"Amelia Azzahra!!"

Langkah Amelia terhenti di anak tangga kedua.

"Zafri dah kahwin dan I tak rasa you habiskan masa dengan dia...."

"Kenapa tak boleh?" Soalan mencabar Amelia berikan, memintas bicara si suami.

"Kalau malam pertama kita you boleh habiskan dengan perempuan lain, kenapa Zafri tak boleh habiskan masa di malam pertama dia dengan I?" Amelia senyum sinis.

Haqif terus terdiam dengan soalan balas si isteri yang sangat berani itu.

Amelia berpusing, melangkah setapak menghampiri Haqif.

"Satu I nak ingatkan. You jangan lihat rambut kita semua sama hitam bermaksud hati kita semua sama. You jangan fikir orang lain semua sama perangai macam you." Sehabis berkata-kata, Amelia mahu kembali bergerak ke tangga tetapi suara Haqif yang memanggil namanya sekali lagi membantutkan langkah kakinya.

"You pergi mana?"

"Tak penting untuk you tahu." Jawapan diberi tanpa menoleh ke belakang.

"I ni suami you, Mel." Haqif cuba berlembut kata. Berkeras dengan Amelia tak memberi apa-apa yang positif.

"Oh! Suami ya?" Amelia berpusing buat kali kedua menghadap sang suami yang masih tercegat di tempat yang sama.

"Dan you nak cakap I kena jaga nama baik you, status kita dan bla.. bla.. bla.., begitu?" Senyum sinis sekali lagi terlakar di bibir Amelia.

Tapi Haqif hanya diam mematung.

"Jangan pandai mengajar kalau diri sendiri tak pernah mahu belajar. Jangan minta orang lain jaga air muka you kalau you sendiri yang sibuk menconteng muka sendiri." Sehabis berkata, dia kembali berpusing mahu melangkah naik ke atas.

Tapi tangannya disentap kasar sehingga dia terdorong ke belakang dan tubuh Haqif yang tegap menjadi tempat untuk dia mengawal imbangan badan.

Memeluk tubuh tegap milik suami sendiri adalah sesuatu yang dia ingin lakukan sejak lama dulu tapi bukan dalam keadaan begini.

"Kita belum habis." Suara Haqif buatkan Amelia cepat saja menjarakkan diri. Nafasnya yang sudah tidak teratur ditarik panjang.

"Apa lagi ni, Haqif!" Amelia sudah mula berang. Dia tak suka kalau Haqif mendesak begini.

Sejak mereka berkahwin, Haqif tidak pernah begini. Sebab Haqif sendiri yang kata mereka boleh bawa haluan masing-masing kecuali di depan keluarga. Mereka boleh buat hal sendiri tanpa meminta izin. Kenapa pula malam ini Haqif mula mahu tahu ke mana dia pergi dan apa yang dia lakukan?

"Baru tiga bulan, Mel. You sudah buat perangai. Dah tunjuk your true colour." Haqif tentang mata si isteri.

Dan Amelia hela nafas panjang.

"I dah penat, Haqif. Penat sangat-sangat." Bibir yang mula bergetar Amelia gigit kuat. Bergaduh dengan Haqif adalah sesuatu yang cuba dia elak. Tapi malam ini, dia sudah tidak mampu untuk mengelak dan menganggap segalanya baik-baik saja.

"I mengaku kalah." Nafas ditarik. Lengan yang masih digenggam Haqif cuba dileraikan. Kalau boleh, dia cuba elak untuk bersentuhan kulit ke kulit dengan Haqif walau yang sebenarnya mereka halal untuk duduk dalam keadaan begitu.

"Kahwinlah dengan Nana dan lepaskan I. Itu lebih baik dari you terus melakukan dosa dan I terus mengumpul dosa." Permintaan yang sangat melukakan hati sendiri akhirnya keluar juga dari bibirnya.

Walau dia rasa masih terlalu awal untuk meluahkan, tetapi dia tidak berupaya lagi untuk menyimpannya. Cukuplah Haqif cincang lumat hatinya untuk tempoh tiga bulan ini.

"Maknanya, you betul-betul mahu mengalah?" Haqif masih mahukan kepastian. Tidak menyangka Amelia akan mengalah dengan begitu mudah. Sebab usaha Amelia agar mereka bersatu dalam perkahwinan ini bukan sedikit. Walau keras dia membantah, Amelia tetap mahu teruskan juga.

"I dah lama kalah, Haqif. Kegagalan ni buat I belajar sesuatu. Tak semua apa yang kita mahu akan menjadi milik kita walau yang sebenarnya sudah pun kita miliki." Tangis yang mahu pecah ditahan kuat menjadikan dadanya sangat ketat.

Dia tahu ini ujian. Tapi bagaimana dia mahu tenang dengan ujian ini jika hatinya tak ikhlas?

Apabila melihat Haqif mendekatinya, Amelia berlari laju menaiki anak tangga.

Nak cepat punya pasal, entah macam mana kakinya tersalah pijak, terus saja dia jatuh meniarap di anak tangga.

"Auch!!!"

"Melll!!" Serentak itu Haqif menjerit dan cepat saja dia menerpa ke arah si isteri yang sudah terduduk di anak tangga.

Lutut yang menghentak bucu anak tangga Amelia gosok dengan mulut berdesis sakit.

Haqif yang duduk di anak tangga sedikit bawah cuba menyelak dress yang si isteri pakai untuk melihat keadaan tetapi cepat saja tangannya ditepis Amelia.

"Apa ni??" Mencerlung mata Amelia memandang sang suami. Rasa sakit serta-merta hilang.

"Bagi I tengok."

"Tak payah!" Amelia membantah dan cuba bangkit. Tapi rasa sakit yang menyengat di kaki dan lutut buat dia kembali duduk.

"Itulah, degilll!." Bersama ayat itu, Haqif bangkit. Tanpa amaran, dia mencempung tubuh si isteri dan dibawa turun.

Amelia yang tergamam dengan tindakan Haqif itu terus jadi bisu dan kaku. Walau sudah didudukkan di sofa dan dressnya sudah diselak Haqif hingga menampakkan lutut, dia masih lagi tidak mampu berbuat apa-apa.

"Arrghhh!!!" Terus Amelia terjerit apabila Haqif cuba menekan lututnya yang masih tersangat sakit.

Dan reaksi Amelia itu mengundang senyum di bibir Haqif. Mata jatuh pada betis putih bersih milik isteri, liurnya tertelan terus. Hati lelakinya memberontak mahu melihat lebih dari itu.

'Seluruh tubuh dia memang hak kau, halal untuk kau tengok dan sentuh Haqif. Jika kau ragu tentang kehendak hati sendiri, sentuh dan rasa. Kau akan tahu jawapannya. Kerana nikmat Tuhan yang satu itu, tidak terzahir dengan kata-kata, ia adalah rasa yang tak pernah punya rupa.' Satu suara bagai berbisik di telinganya tetapi Haqif cepat saja bangkit berdiri. Hatinya mahu tetapi egonya menolak.

"Duduk sini, I ambilkan ais." Arahan diberi sebelum dia berlalu ke dapur.

Hilangnya kelibat Haqif, Amelia turut bangkit dan dengan terhinjut-hinjut, dia melangkah menaiki anak tangga untuk ke bilik. Mahu lari dari Haqif sebenarnya.

Pintu dikunci rapat dan badan dihumban ke tilam.

Tak lama selepas itu, kedengaran pintu biliknya diketuk dan suara Haqif memanggil namanya diluar sana buat dadanya bergolak hebat.

"I bawa ais ni, tuam kat lutut you tu."

Amelia menggeleng laju.

'Tak perlu, Haqif. I tak perlukan ais tu. I cuma perlukan cinta dan kasih sayang you. Tapi kalau itu you tak mampu berikan, tak perlu jadi baik begini, Haqif. Tak perlu jadi baik dengan I kerana kebaikan you itu akan membakar hati I.'

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 22, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

AKU HARUS MEMILIHWhere stories live. Discover now