Prolog

209 6 0
                                    

RASA sakit seakan-akan gigitan semut terasa di lengan kanan. Beberapa saat kemudian, dia berasa sesuatu seperti bendalir sejuk mengalir melalui saluran darah di situ.

"Tony, dah selesai."

"Bagus! Kemaskan tempat ni. Aku tak nak polis dapat kesan kehadiran kita di sini."

Suara beberapa orang singgah di pendengaran. Fakri cuba untuk melihat, tetapi kelopak mata sangat berat untuk digerakkan. Dia cuba mengangkat kedua-dua tangannya. Keadaan tetap sama. Seluruh badannya kaku. Deria bau terhidu suatu bau hanyir yang amat dekat dengan hidung.

Seseorang mengangkat tubuh Fakri. Diseret ke satu arah. Bau hanyir tadi semakin kuat dan pekat. Fakri cuba buka matanya lagi. Dalam cahaya samar lampu bilik tersebut, dia hanya dapat melihat kelibat beberapa orang di sekitar, namun wajah mereka kurang jelas.

Kedengaran suara beberapa lelaki. "Macam mana keadaan dia?"

"Dia dah mula lali. Dalam dua jam, dia akan sedar semula. Masa tu, semuanya akan berjalan seperti yang kita dah aturkan."

"Perempuan tu?"

"Bersih."

"Err... Tony, kalau kita tambah lagi dos, mungkin kesannya akan lebih kuat."

"Tak payah. Kita cuba dengan dos sikit dulu. Lagipun kita tak tahu kesannya kalau disuntik berlebihan. Tuan tak nak dia mati. Dia mesti hidup. Kita lihat berapa lama dos Alfa-X sebanyak ni akan bertahan. Habiskan kerja cepat."

Fakri menggerakkan bibir ingin bersuara, namun lidah terasa keras dan kebas yang pelik. Dia cuba menjerit, tapi tak berjaya. Seluruh badannya kaku.

Apa yang berlaku ni? Siapa Tony? Siapa dia orang ni? soal Fakri bermonolog.

"Kita gerak sekarang!"

Bunyi tapak kaki kedengaran. Bunyi daun pintu ditutup bergema. Fakri masih cuba untuk bergerak. Dia berusaha menggerakkan kepala ke kanan. Fakri amat terkejut apabila terlihat sesusuk tubuh perempuan terbaring di sebelahnya. Mata perempuan itu terbuka luas dan memandang tepat ke arah Fakri. Kaku tidak bergerak.

Arianna? Fakri masih tak berdaya untuk bersuara.

Terdapat kesan kelar pada leher Arianna. Darah merah pekat berlumuran pada pakaiannya dan mengalir diserap permaidani hijau. Fakri cuba menggerakkan tangan kanannya. Tiba-tiba dia terasa sesuatu di dalam genggaman. Mata Fakri membulat sebaik melihat apa yang ada dalam genggaman tangannya.

Pisau? Gamamnya. Sebilah pisau penuh dengan kesan darah. Fakri terpejam. Fikirannya mula menerawang. Dan dia tidak sedarkan diri lagi.

FAKRI mengeluh perlahan. Sejak lebih kurang empat jam yang lalu, soalan sama diajukan kepadanya dan jawapan sama yang dia berikan. Namun, dua anggota polis itu seakan-akan tidak mahu percaya. Mereka masih menyoal siasat dia di dalam bilik gelap itu.

"Bukti tak menyebelahi kamu. Kamu akan dihukum penjara, Fakri." Salah seorang anggota polis berpangkat inspektor berkata lagi.

"Saya memang tak tahu, tuan. Saya pengsan. Saya tak tahu apa dah jadi. Saya sedar bila polis sampai." Buat ke sekian kali, Fakri berikan jawapan yang sama. Dia mula berasa bosan.

"Macam mana pisau ni boleh ada dalam tangan kamu?" soal seorang lagi anggota polis berpangkat sarjan.

Fakri mengetap bibir. "Saya tak tahu, tuan..."

"Macam mana kamu boleh tak tahu? Cap jari kamu ada pada pisau ni. Kesan kelar di leher Arianna adalah daripada pisau ni. Kamu masih tak nak mengaku?"

Fakri semakin bosan. Dia berasa sangat letih dan kerap menguap. Kepala terasa berat dan jika disorongkan bantal, dia tentu akan terlelap. Entah apa yang telah disuntik oleh mereka ke dalam badannya.

"Muka kamu dah macam mat gian. Hisap dadah ya?" soal inspektor bernama Kamarul itu.

Fakri memandang dua anggota polis tersebut. Kemudian dia tersenyum sinis.

"Jawab, Fakri!" Inspektor Kamarul menyergah.

"Saya tak pernah sentuh benda tu. Saya bukan penagih." Fakri berkata dengan nada menahan marah. Dia mula terasa berang. Tangan kanannya menggenggam penumbuk dengan kejap untuk cuba menahan sabar.

"Kamu hisap dadah, lepas tu bunuh orang! Lebih baik mengaku!" Inspektor Kamarul yang pada awalnya berlemah lembut mula menunjukkan wajah bengis.

Sarjan Amin geleng kepala. "Apa nak jadi?"

"Saya tak buat semua tu, tuan. Tolong percayakan saya. Saya pengsan. Ada orang pengsankan saya. Dia orang yang bunuh Arianna..."

"Siapa dia orang?" soal Inspektor Kamarul.

Fakri terdiam. Dia langsung tidak mengenali mereka. Dia juga tidak dapat mengecam wajah mereka.

"Ada... sorang tu namanya... Tony," jawab Fakri teragak-agak.

"Tony?" Dua orang polis itu saling berpandangan.

"Siapa Tony?" soal Inspektor Kamarul lagi.

"Saya tak tahu dia siapa. Saya tak kenal. Saya tak nampak muka dia orang. Dia orang..." Fakri terhenti berkata-kata. Perlukah dia menyebut tentang benda yang telah disuntik ke dalam badannya? "Saya tak tahu, tuan..."

"Atau kamu hanya mereka cerita?" duga Inspektor Kamarul.

"Saya tak tipu. Dia orang yang bunuh Arianna. Dia orang pengsankan saya lepas Arianna dibunuh. Percaya cakap saya, tuan."

"Macam mana kamu tahu Arianna dibunuh sebelum tu? Kamu sendiri yang kelar leher dia." Buat ke sekian kali, Inspektor Kamarul masih dengan pertanyaan yang sama.

"Saya tak buat. Saya berani bersumpah..."

"Siapa pun boleh bersumpah. Tak payah nak guna kata-kata sumpah. Dalam bilik ni, kata-kata sumpah tak ada nilai..." Sarjan bernama Amin terhenti apabila dihalang Inspektor Kamarul.

Inspektor Kamarul diam seketika. Meneliti helaian kertas di dalam folder di atas meja di hadapan mereka. Kemudian menggeleng perlahan.

"Bukti di sini tak seperti apa yang kamu katakan. Kesemuanya bercanggah dengan keterangan kamu. Saya mungkin percaya kepada kamu, tapi hakim menentukan hukuman berdasarkan bukti. Kamu tak dapat lari," jelas Inspektor Kamarul.

"Buat apa saya nak lari, tuan? Saya memang tak bersalah. Kenapa saya nak bunuh Arianna? Dia bos saya. Hidup saya bergantung kepada dia. Kalau dia mati, saya hilang kerja, tuan. Saya tak mungkin akan bunuh dia..." Fakri tersandar.

"Kalau dah bukti menunjukkan kau bersalah, apa guna kau berdalih lagi? Mengaku ajelah." Sarjan Amin mencelah.

Mengaku? Bodoh kalau dia mengaku bersalah sedangkan dia tak buat. Sekarang, peguam pun tak dapat buktikan yang dia tidak bersalah.

"Kalau macam tu, kami terpaksa serahkan kamu untuk dibicara. Rasanya, keputusan takkan berpihak kepada kamu, Fakri," tegas Inspektor Kamarul.

Fakri diam. Sudah tentu pintu penjara memang sedang menanti kedatangannya. Dia tak punya wang untuk mengupah peguam atau membuat sebarang rayuan. Fakri sudah mula membayangkan kehidupan dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Di dalam penjara. 

SuntikWhere stories live. Discover now