PAGI yang hening digemparkan dengan berita kematian Tuan Mahadi. Seluruh rumah banglo milik Tuan Mahadi disita. Tidak kira siapa yang tinggal di dalam rumah tersebut, kesemuanya ditahan untuk disoal siasat.
Dan sudah tentu suspek yang paling disyaki adalah Fakri.
Buat kali kedua, Fakri berdepan dengan Inspektor Kamarul. Dengan senyuman sinis, anggota polis muda itu berkata, "Apa lagi ni, Fakri?"
Sebuah fail diletakkan di hadapan Fakri. "Jelaskan," pinta Inspektor Kamarul.
"Saya nak jelaskan apa? Memang dari awal saya dianggap bersalah."
"Macam mana kau boleh terlibat dengan Tuan Mahadi? Dia peniaga kaya, jutawan. Aku tak faham."
"Kalau tuan nak penjarakan saya, silakan. Tapi, saya tetap takkan mengaku salah."
Inspektor Kamarul diam seketika. Kemudian memandang Fakri. "Alibi kau tak dapat bantu kau. Tak ada saksi..."
"Saya dah kata, kalau tuan nak penjarakan saya, silakan!" Fakri mengetap gigi menahan marah.
Dia sudah dapat mengagak. Kes yang terdahulu juga berkeadaan sama. Puas disoal siasat, akhirnya ke penjara juga tempatnya. Sekarang, dia tidak perlu jelaskan lagi.
"Aku tahu Tuan Mahadi yang bayar untuk bebaskan kau dari penjara," kata Inspektor Kamarul.
"Jadi?"
"Apa kaitan kau dengan Tuan Mahadi? Anak saudara dia? Anak luar nikah dia?"
Fakri tertawa sinis. "Tuan boleh siasat. Kenapa tanya saya? Bukan ke kerja menyiasat tu kerja polis?"
"Kalau kau benci tinggal di dalam penjara, kenapa tak bela diri sendiri?"
"Nak bela apa? Memang jelas ada orang cuba aniaya saya. Tak payah cakap banyak. Hantar saja saya ke penjara. Mudah kerja tuan." Nada suaranya tenang, mendatar, tidak ada langsung rasa takut atau gementar. Dia bersedia untuk dihukum lagi.
"Bagus juga duduk dalam penjara. Dapat makan free," katanya lagi disusuli senyuman sinis.
"Bukan mudah untuk kau mulakan hidup baru. Siapa yang nak aniaya kau sebenarnya?"
Fakri pandang Inspektor Kamarul. Berbanding lima tahun lalu, lelaki itu pada hari ini kelihatan lebih tenang. Setiap pertanyaan yang diajukan tidak ada provokasi untuk membuatkan Fakri mengakui kesalahan. Hari ini, Inspektor Kamarul bersendirian menyoal siasat Fakri.
Inspektor Kamarul meletakkan sekeping foto di hadapan Fakri. "Kau kenal lelaki ni?"
Fakri melihat foto tersebut. Wajah seorang lelaki berambut panjang mencecah ke bahu, bermata besar, serta berjambang.
"Tak kenal," jawab Fakri sambil berkerut dahi memikirkan siapa lelaki itu.
"Betul kau tak kenal?"
Fakri sekadar menggeleng.
"Ini?" Inspektor Kamarul letak sekeping lagi foto. Juga terdapat wajah seorang lelaki berambut pendek dan bermata sepet.
"Saya tak tahu."
"Kalau macam tu, aku tak dapat tolong kau."
Kening Fakri berkerut, tidak memahami maksud kata-kata Inspektor Kamarul.
"Bukti tak menyebelahi kau." Fail yang dipegang ditutup rapat. Dua keping foto tadi diambil dan disimpan. Inspektor Kamarul bangun daripada duduk.
"Kau akan balik ke penjara semula, Fakri."
JIP polis bergerak meninggalkan pekarangan mahkamah. Buat kali kedua, kakinya akan menjejak lantai penjara. Kali ini, entah manusia jenis apa yang akan ditemuinya.
YOU ARE READING
Suntik
Mystery / ThrillerUNTUK MELANGGAN www.dearnovels.my Jimat RM3.00 dengan setiap pembelian Penghantaran PERCUMA ke Seluruh Malaysia TAJUK: SUNTIK PENULIS: ZARINI MANSOR ISBN: 978-967-14675-7-2 HARGA: RM24/RM27 Hidup Fakri tiba-tiba menjadi kucar-kacir apabila disabitka...