FAKRI terjelepok di atas simen yang dingin.
"Kau nak apa ha?!" Nada suaranya bergetar dek terlampau takut.
"Bodoh juga kau ni asyik tanya soalan yang sama. Nak apa lagi? Nak belasah kaulah!" Suara itu berkata dengan bengis disusuli bunyi ketawa oleh beberapa lagi suara lelaki.
"Tolong jangan pukul aku lagi. Tolonglah..." Dia merayu bersungguh-sungguh. Seluruh badannya mula menggigil.
"Tak guna kau minta tolong. Kami tetap akan belasah kau!"
Tubuh badan Fakri dilanyak. Kepalanya dihentak ke dinding. Perutnya ditendang. Dia mula berasa mual. Otot perutnya teramat sakit. Seluruh anggota badannya semakin lesu untuk digerakkan. Bahagian tulang rusuknya terasa ngilu.
"Bangunlah lawan! Penakut betul kau ni! Lawanlah! Lawanlah dengan kami!"
"Pengecut! Bangunlah woi! Lawan dengan kami!"
"Lembiklah kau ni! Adik perempuan aku lagi kuat daripada kau!"
"Kau ni betul ke anak jantan? Bangunlah lawan, woi!"
Segala kata-kata maki hamun itu umpama pembakar semangat buat Fakri. Berkali-kali dibelasah membuatkan dia mula hilang sabar. Sampai bila dia perlu beralah? Dikeji dengan panggilan pengecut dan lembik?
"Arghhh!" Fakri merangkul kaki salah seorang daripada mereka yang sedang menendang perutnya tanpa henti. Menarik dan menjatuhkan lelaki tersebut sehingga terlentang di atas lantai.
Bersusah payah Fakri bangun daripada baringan dan menekup muka seorang lagi, menumbuk perutnya dan menendang lelaki itu menyebabkannya terhantuk ke dinding. Tangan kirinya sempat melibas kepala lelaki ketiga sehingga terdorong ke belakang beberapa langkah.
Fakri tersandar ke dinding, tercungap-cungap menahan kesakitan. Tiga lelaki yang membelasahnya bangun berdiri. Masing-masing berdarah di mulut dan kepala.
"Dah berani nampaknya dia..."
"Tunggu apa lagi? Belasahlah!"
Serangan demi serangan Fakri sambut dengan pantas. Entah dari mana datangnya kekuatan itu, dia terus menahan pukulan daripada mereka. Tiba-tiba salah seorangnya mengeluarkan sebilah pisau belati dan menoreh lengan Fakri. Fakri hampir terjatuh, namun sempat bersandar pada dinding. Dia memegang lengan kirinya yang berdarah terkena torehan pisau tersebut.
Salah seorang daripada lelaki itu ketawa kuat. "Dekat lagi! Dekat! Kau nampak ni? Masuklah. Masuk!"
Fakri berjaga-jaga dengan setiap langkah mereka. Pandangan matanya mengawal setiap pergerakan mereka. Bersedia untuk menangkis sebarang pukulan. Tidak kira pisau atau pistol, dia akan hadap. Mati di dalam penjara mungkin lebih baik daripada bebas sebagai banduan yang dipandang hina oleh masyarakat di luar.
"Masuklah! Tunggu apa lagi?! Kau orang nak bunuh aku kan?" Fakri mengetap gigi menahan sakit di pipi yang mulai membengkak.
Tiba-tiba dua daripada mereka memegang kejap kedua-dua tangan Fakri. Manakala seorang lagi terus menikam perutnya.
FAKRI terjaga daripada tidur.
"Astaghfirullah..." Muka yang dibasahi peluh diraup. Nafas kencang segera ditenangkan. Fakri tersandar di kepala katil. Mimpi yang seakan-akan nyata. Wajah tiga manusia yang akan terus menghantui hidupnya.
Fakri melihat parut yang terdapat di bahagian kanan perutnya. Sampai bila-bila pun dia tidak akan lupa bagaimana kesan parut itu wujud di situ. Namun, walau seluruh badannya pernah berdarah dan meninggalkan banyak parut kerana teruk dibelasah di dalam penjara, kesakitan itu langsung tidak dirasai. Seolah-olah tubuh badannya kebal terhadap sebarang kesan pukulan.
YOU ARE READING
Suntik
Mystery / ThrillerUNTUK MELANGGAN www.dearnovels.my Jimat RM3.00 dengan setiap pembelian Penghantaran PERCUMA ke Seluruh Malaysia TAJUK: SUNTIK PENULIS: ZARINI MANSOR ISBN: 978-967-14675-7-2 HARGA: RM24/RM27 Hidup Fakri tiba-tiba menjadi kucar-kacir apabila disabitka...