Bab 1

298 14 1
                                    

BAU tengik dan kepam memenuhi rongga hidung. Pandangan pula terbatas dek suasana kelam berkabus. Munah terpinga-pinga, seperti berada dalam ruang bilik yang tertutup tanpa tingkap dan lampu. Dia berpeluh kepanasan.

Bola mata dilirik ke kiri dan kanan, risau dia tidak sendirian. Paling risau jika dia didatangi makhluk atau entiti yang tak diingini. Kabus yang pada awalnya tipis kini menjadi asap tebal. Matanya semakin perit. Bau tidak enak menusuk hidung. Seperti bangkai!

Fikirannya buntu seketika sebelum terlintas untuk membacakan ayat suci al-Quran. Lantas ayatul Kursi dialunkan. Namun, asakan asap tebal menyekat tumpuannya.

"Kau mesti terima!" Bergema suara kasar dan kuat mengganggu bacaan Munah.

Munah berpaling ke arah datangnya suara itu, kosong. Dia semakin tidak seimbang, badannya ringan bagai terapung di udara. Kakinya longlai, kepala pula terasa pening. Visual terpamer berputar ligat seperti kipas.

Tidak semena-mena bahunya ditepuk, serentak suara sopan menyapa. "Assalamualaikum."

Munah bingkas bangun! Degup jantung berlari kencang seiring turun naik nafas yang tidak sekata. Matanya ligat memandang sekeliling. Peluh merenik di dahi, buat seketika dia tidak dapat berfikir secara normal. Semua paparan di layar ingatannya berlumba-lumba menerjah ruang pemproses data dalam otaknya. Sakit dirasakan.

Hampir lima minit berlalu, nafas Munah mula stabil. Dia meraup wajah yang jelas kepenatan.

Nasib baik cuma mimpi, desis hatinya. Munah kembali baring. Matanya memanah tepat ke arah siling. Seperti kaca televisyen pula jadinya ketika pelbagai gambaran terpamer di layar minda.

Ah... dah penat dengan mimpi macam ni. Tak pernah sepi. Tapi kenapa sejak akhir-akhir ni makin kerap pulak bermimpi buruk? omel Munah dalam hati.

Dia meletakkan lengan kanan ke atas dahi, hatinya terusik tatkala memikirkan dua situasi berbeza yang sering menghiasi mimpinya. Seperti ada sisi gelap dan terang dalam satu masa. Ketika dia teruk diserang entiti yang tidak diketahui asalnya, pasti ada entiti satu lagi seolah-olah cuba melindunginya pula.

Lebih pelik, ketika didatangi suara dan entiti dengan aura menyenangkan, dia seakan-akan dapat merasai kemesraan. Hati dan jiwanya seperti mengatakan dia selamat dan dilindungi. Dia senang dengan kehadiran entiti itu.

Terkebil-kebil Munah memikirkan rasional di sebalik mimpi yang menghantui tidurnya. Dia bangun semula. Melangkah keluar bilik untuk ke dapur bagi mendapatkan segelas air. Suasana panas menjadikan tekaknya kering, dahaga.

Sebaik melewati bilik Amy yang masih terang, Munah menduga pasti sahabatnya itu berjaga sepanjang malam untuk siapkan baki kerja sebelum pulang ke kampung. Sedikit sebanyak, kurang takutnya ketika itu.

Tiba-tiba meremang bulu roma, suara kasar yang hadir dalam mimpinya tadi terngiang-ngiang. Dia pasti suara itu milik seorang wanita tua, tetapi ia agak garau. Belum sempat sampai ke dapur, Munah segera berpusing dan melangkah semula ke biliknya yang terletak paling hujung di apartmen tiga bilik itu.

Rasa seram yang datang menyerang menjadikan Munah lupa niatnya untuk minum air. Dia terus berkelubung dalam selimut tebal dan cuba memaksa matanya untuk tidur. Pada masa sama hatinya tertanya-tanya, siapa pemilik suara menyeramkan tadi? Entah apa yang disuruh terima? Nak terima apa kalau tak tahu pokok pangkal cerita?

SIAPA pulak yang selalu muncul setiap kali aku lalui saat genting dalam mimpi tu? Munah perhalusi soalan yang terus bermain di minda. Badan pula terasa sengal dan lesu, jelas terkesan dengan rehat yang tidak cukup. Tambahan pula hatinya tidak tenteram selepas tidurnya sering terganggu.

"Apa yang kau menungkan?"

Teguran Amy menyentak lamunan Munah. Dia berpaling ke sisi. Amy memandang terus ke depan memberi tumpuan penuh terhadap pemanduan. Perjalanan baru satu jam berlalu, anggaran lagi dua jam perlu ditempuh. Munah lepaskan keluhan perlahan.

"Aku bingunglah, Amy. Hampir sebulan aku asyik bermimpi buruk. Kalau dulu, ada jugak mimpi yang tak seronok. Tapi, kali ni tiap-tiap malam, penat aku," luah Munah. Matanya dipejamkan, cuba untuk memupuk rasa santai dalam hati.

"Hmm... aku nampak perubahan kau, Mona. Badan makin susut, muka kusam, cengkung tak berseri dan mata kau paling ketara. Merah dan lebam," respons Amy.

Munah angguk sambil cuba membetulkan duduknya yang mula terasa lenguh.

Panggilan Amy dan Mona diguna sejak mereka menjejak kaki ke kota. Padahal jika di kampung memang semua orang kenal sahabat karib bernama Aminah dan Maimunah ini. Mereka bagaikan kembar tak seiras dengan gelaran Minah dan Munah, ke mana sahaja pergi tak pernah berenggang.

"Kau tak cuba ambil supplement? Sekurang-kurangnya untuk tampung antibodi kau. Kalau dibiar lama-lama, mudarat kesihatan kau nanti," sambung Amy. Munah mengeluh sekali lagi.

"Aku ada ambil vitamin. Tapi jadi makin teruk pulak rasanya, padahal selera makan aku tak pernah berkurang," jawab Munah.

Amy menjeling sekilas sebelum kembali melabuhkan pandangan ke dada jalan. "Aku rasa kau kena ikhtiar cara lain. Balik ni kau rehatkan betul-betul badan dan minda, lepas tu kau mintak ikhtiar mak ayah kau. Aku rasa sempat dengan tempoh cuti kita ni," cadang Amy.

"Itulah yang aku harapkan. Mula-mula aku nak siasat punca aku bermimpi buruk, lepas tu aku nak tahu apa atau siapa entiti yang selalu muncul dalam mimpi aku. Asing tapi menyenangkan. Kemudian aku nak ikhtiar pendinding diri, bimbang ada orang berniat tak baik mahu sihirkan aku." Munah bersuara nekad.

Berkerut dahi Amy mendengarnya. "Maksudnya, sekarang ni ada dua perkara yang selalu ganggu tidur kau?"

"Macam tulah nampaknya, Amy. Naik rimas aku jadinya. Aku percaya, jawapan tu ada di kampung. Harap lepas ni tak ada gangguan dah, aku penat." Perlahan Munah membalas.

Amy hanya jongket bahu. Masih banyak persoalan menerpa mindanya. Tapi, dibiarkan sahabatnya itu bersuara sendiri meluahkan permasalahan yang dihadapi. Jika Munah tak cerita, rela dia ambil jalan mendiamkan diri.

"Kau ada syak sesiapa, Mona? Aku rasa sepanjang kita berkawan dari kecil, tak ada pulak kau mencari pasal. Tapi tak tahulah hati orang yang mungkin suka bermusuh dengan kau," kata Amy.

"Entahlah, aku pun tak dapat nak gambarkan sesiapa dalam kepala aku ni. Kalau disebabkan cara berkawan, aku rasa kau pun mesti dapat gangguan serupa. Kita tak pernah berenggang dari kecil."

"Setakat ni, aku tak pernah lagi diganggu, Mona. Selera makan aku pun tak pernah surut, badan aku ni jadi saksi," jawab Amy sambil menggerak-gerakkan badannya yang agak gempal.

Munah hanya tersenyum hambar.

"Aku bimbang kalau Uwan Konah punya angkara saja ni. Kalau ya, memang naya aku." Tiba-tiba Munah bersuara semula.

Amy mengerutkan dahinya. Uwan Konah?

Uwan KonahWhere stories live. Discover now