BUNYI bising hidupan rimba di keliling rumah langsung tak mengganggu tumpuan Munah untuk menonton siaran berita di kaca televisyen. Perutnya senak menampung kekenyangan selepas menikmati makan malam bersama ibu tercinta.
Ingatan terhadap insiden petang tadi perlahan-lahan menjadi kabut yang kian pudar dan akhirnya terus menghilang. Hanya kerana keasyikan Munah menikmati lauk kegemaran yang dihidang Mak Imah, sambal tempoyak ikan bilis dan petai!
Di penghujung siaran berita, Mak Imah menatang dulang berisi air panas dan sepiring biskut kering. Aroma kopi pekat terus menerjah hidung Munah. Kembang kempis derianya menikmati bau yang sudah lama tak dihidu.
Mak Imah mengambil tempat di sisi Munah. Matanya terus terarah ke kaca televisyen. "Ada berita menarik?" soalnya sekadar berbasa-basi.
Munah menggeleng. "Apa saja berita dalam negara kita ni mak. Kalau tak politik, politik dan politik," gumam Munah.
Dia sudah jemu dengan berita politik yang dihidangkan. Bukan bermakna tidak suka, dia sebenarnya langsung tak pandai hal ehwal politik. Tapi itulah hakikat hidup dalam negara berkerajaan.
"Kita ni, kalau duduk dalam hutan pun tetap ada politiknya. Politik hukum rimba pulak," balas ibunya sinis.
Munah hanya tersengih. "Mak, kalau macam ni hari-hari memang cepatlah Munah gemuk. Nanti raya tak dapat pakai kebaya," Munah bersuara cuba mengalih topik. Diambilnya biskut, segera dicelup ke dalam cawan berisi air kopi yang berwarna hitam pekat dengan kepulan asap halus masih menerawang ke udara.
"Bukan selalu. Apa yang ada di dapur aje mak hidangkan. Dua tiga hari lagi lepas hilang sengal badan kau tu, giliran kau pulak layan mak," jawab ibunya.
Munah mengangguk setuju.
"Mak ni dah lama teringin nak makan masakan air tangan kau, Munah. Kau masak sedap-sedap belaka," pancing Mak Imah.
"Eh! Yalah mak ni. Tak ada masakan yang lebih sedap selain daripada air tangan mak. Munah teringin nak makan pais ikanlah mak. Esok boleh buat?" pinta Munah. Perlahan dia menelan liur yang tiba-tiba membanjiri mulutnya.
"Bahan pais tu ada, ikannya tak ada. Tak apalah, pagi esok mesti Hadi datang sini. Mak tanyakan dia kalau boleh dia bawakan," balas ibunya.
"Hadi, mak? Siapa Hadi tu? Dari petang tadi Munah tertanya-tanya. Cara mak cakap macamlah Munah kenal dia." Berkerut dahi Munah penuh tanda tanya.
Mak Imah tersengih panjang. "Alah... budak kampung seberang. Kau dah lupa agaknya, masa kecil dulu kau memang berkawan rapat dengan dia. Lebih kurang baya kau jugaklah agaknya."
"Kampung seberang? Maksud mak, belakang rumah kita ni? Bila pulak Munah ada kawan daripada kampung seberang?" Bertalu soalan dilontar. Seingatnya seberang anak sungai di belakang rumahnya itu hanya hutan tebal!
"Ada... masa kau kecil sangat lagi, dalam umur tiga ke lima tahun macam tulah," jawab Mak Imah selamba.
Munah kerutkan dahi. Siapa pulak Hadi ni? getus hatinya.
Baru saja diintai misteri kelibat Uwan Konah, sekarang ni Hadi pula. Munah berkira-kira dalam hati. Apa lagi yang aku akan hadapi selepas ni?
Munah mengalih pandang ke wajah ibunya, wajah yang sangat dirindui. Riak jernih terbias daripada kedutan kulit tanda kematangan usia. Saat itu juga Munah rasakan seperti mahu memeluk erat ibunya. Rasa rindu yang tak terungkap terus menyelubungi seluruh hati Munah.
Mak Imah terus bersahaja menghadap televisyen tanpa menyedari perubahan kelakuan anaknya itu. Separa sedar, rasa sebak menjalari seluruh jiwa Munah. Dia memalingkan wajah, tidak mahu Mak Imah sedar riak wajahnya bertukar.
YOU ARE READING
Uwan Konah
HorrorUNTUK MELANGGAN www.dearnovels.my Jimat RM3.00 dengan setiap pembelian Penghantaran PERCUMA ke Seluruh Malaysia TAJUK: UWAN KONAH PENULIS: HAIDA HASSAN ISBN: 978-967-14675-8-9 HARGA: RM23/RM26 Munah sering diganggu makhluk halus yang ingin berdampin...