Pintu dapur dibuka, terbentang pemandangan suasana petang yang agak redup dan mendamaikan jiwa. Minda yang selama ini rengsa dengan kehidupan kalut di kota, sedikit terubat. Munah menyedut nafas dalam-dalam, menghayati keindahan ciptaan Allah. Walaupun hanya menyaksikan panorama di belakang rumah, baginya ia tetap anugerah yang tak ternilai.
Tiada yang luar biasa, cuma tanah sekangkang kera. Sedikit ruang lapang menjadi laman taburan makanan ayam, beberapa batas sayur diusahakan ibunya dan telaga yang masih boleh diguna. Sumber mata air di telaga itu tidak pernah kering sejak ditemui ayahnya kira-kira 25 tahun lalu.
Munah menghela nafas perlahan, rasa sengal badan masih bersisa. Perjalanan semalam dari kota mengambil masa kira-kira tiga jam. Dua jam di atas jalan utama dan satu jam penuh dugaan kerana jalan yang masih belum dinaik taraf, tidak sekata serta berlubang sana sini. Munah melepaskan keluhan.
Kalau dapat urut satu badan ni, memang nikmat. Hati Munah berbicara.
Tangan kanannya mengurut perlahan belakang tengkuk. Sesekali dia gerakkan bahu dan kepala ke kiri kanan, cuba untuk kurangkan tekanan.
Mata Munah masih lagi melihat kehijauan pemandangan yang terhidang. Beberapa langkah melepasi kebun sayur, terdapat anak sungai yang masih jernih terpelihara. Maklumlah, rumah itu terletak jauh di hujung kampung. Terpencil dikelilingi hutan, menjadikan semua yang ada di sekitarnya masih segar tanpa sebarang pencemaran.
Agak lama juga Munah bersandar di pintu dapur, seperti tidak cukup masa untuk dia tatap semua yang terpamer di depan mata. Kakinya mula terasa sengal, dia berkira-kira mahu menutup daun pintu. Baru sebentar berpaling ke kiri, tiba-tiba ekor matanya tertangkap kelibat seperti susuk tubuh seseorang.
Berderau darah Munah! Dia berpaling semula ke arah kelibat tersebut. Sebaik yakin dengan entiti yang dilihatnya, Munah membulatkan mata. Makin luas seperti mahu terjojol!
Munah terkaku. Tidak satu pun anggota badannya dapat digerakkan. Mulutnya terlopong. Selang beberapa saat, barulah matanya boleh dikerdipkan beberapa kali. Dia cuba menelan liur yang dirasakan kesat melalui rongga tekaknya.
"Buat apa kat situ?" desis Munah.
Suaranya keluar antara dengar dengan tidak. Dia cuba mengecilkan mata, agar dapat memberi tumpuan pada entiti yang berdiri tidak jauh di hujung tiang pagar kebun sayur. Hanya sekelip mata terpejam, entiti itu sudah tidak kelihatan. Munah keliru, menggaru kepala yang tidak gatal. Dia cuba mengingati, rasanya itu entiti yang dikenalinya.
Tiba-tiba dadanya berombak kencang. Debaran makin ketara saat kotak memorinya ligat mempamerkan beberapa tayangan yang mengaitkan dia dengan entiti itu. Munah menutup pintu dalam keadaan tergesa-gesa dan berjalan pantas meninggalkan ruang dapur.
Anak tangga yang dipanjat terasa lembut seolah-olah menenggelamkan tapak kakinya. Munah beristighfar beberapa kali. Satu per satu ingatan terhadap entiti yang baru dilihatnya tadi bermain di layar mata.
Janganlah dia. Kalau boleh aku tak mahu jumpa dia. Tolonglah! Munah bermonolog sendirian. Sebaik tiba di hadapan biliknya yang terletak bersebelahan ruang tamu, Munah menguak daun pintu dan menutupnya kembali dengan pantas.
Baru sehari balik kampung, dah diduga macam ni. Munah mengomel.
Peluh kecil merenik di dahi, Munah jadi tak keruan. Duduk di birai katil rasa tak selesa, bangun mundar-mandir juga tak nyaman. Dia cuba baring atas katil bujang yang dibeli ayahnya sejak dia berusia 10 tahun lagi. Tetap tak mendatangkan ketenangan.
Munah mengerling tangan kirinya, jam baru menunjukkan pukul 6:00 petang. Takkan nak terus terperuk dalam bilik? bentaknya, seolah-olah tak logik dia hanya berkurung dan membiarkan ibunya keseorangan di luar.
YOU ARE READING
Uwan Konah
HorrorUNTUK MELANGGAN www.dearnovels.my Jimat RM3.00 dengan setiap pembelian Penghantaran PERCUMA ke Seluruh Malaysia TAJUK: UWAN KONAH PENULIS: HAIDA HASSAN ISBN: 978-967-14675-8-9 HARGA: RM23/RM26 Munah sering diganggu makhluk halus yang ingin berdampin...