"MUNAH, bangun nak. Matahari dah tegak ni," laung Mak Imah dari dapur.
Namun, suara itu kedengaran amat perlahan di telinga Munah. Dia menggeliat sebelum memusingkan badan ke kiri dan kanan. Sengal masih terasa, ditambah pula lesu akibat kejadian ditindih makhluk hitam awal pagi tadi. Perut Munah terasa bisa bagai ada luka tikaman yang dalam.
Terkenangkan perkara itu, Munah bingkas bangun! Mata masih belum boleh dibuka luas. Dia meluruskan kaki dan tangannya dengan harapan agar dapat menghilangkan rasa kantuk yang masih bersisa. Dipegang bawah dagu, masih terasa sakit mulutnya. Seperti benar-benar berlaku mulutnya disiat!
"Munah..." laung ibunya lagi. Tapi, kali ini lebih jelas. Mungkin sudah berada hampir dengan biliknya.
Munah menjawab lemah, "Ya Mak. Munah dah bangun."
Pintu biliknya terkuak, terjengul kepala Mak Imah. Tiada riak luar biasa, hanya senyum meleret dipamerkan. "Kau tahu dah pukul berapa sekarang ni? Sikit lagi nak masuk zohor. Puas kau tidur?"
"Hah, lamanya Munah tidur! Kenapa mak tak kejut sarapan?" respons Munah, separa jerit. Bulat matanya sambil beralih pandang ke arah jam di atas meja.
"Pagi tadi mak bangun nak solat subuh, tengok kau dah tak ada kat sebelah. Mak jenguk sini, ada kau tidur ternganga. Meleleh air liur basi!"
"Eh, mak ni... ada-ada saja," balas Munah malu.
"Mak tak tipu," sambung Mak Imah. Dia sudah pun duduk di sebelah Munah.
"Mak tengok nyenyak sangat kau tidur, mak pun solat. Lepas tu buatkan sarapan. Tak adalah beria-ia sangat, ubi getuk aje dengan air kopi. Ada lagi sepiring untuk kau. Bila mak naik sini balik, mak tengok kau menangis teresak-esak. Mak kejutkan kau, berhentilah menangisnya tu. Lepas tu, kau buka mata. Mak tanya, tapi kau tak jawab. Geleng-geleng, lepas tu kau sambung tidur semula." Panjang penjelasan Mak Imah.
Munah terlopong mendengarnya, seperti tidak percaya!
"Dah, kau pergi mandi. Masam bau. Tidur dengan kipas tak pasang, berpeluh sakanlah kalau sampai ke tengah hari. Lepas kau mandi, kita makan. Mak dah siapkan semuanya termasuk pais ikan baung." Mak Imah bangun, berhasrat untuk keluar dari bilik anak daranya itu.
Munah hanya terkebil-kebil. Masih mamai lagi.
"Oh ya, kau mimpi apa sampai menangis beria-ia sangat tu?" soal Mak Imah sebaik berpaling semula memandang Munah.
Tapi, Munah langsung tak ingat apa-apa. Dia hanya menggeleng.
"Tak apalah, mainan tidur. Mak nak ke depan sekejap. Lepas mandi nanti, panggil mak di pangkin, ya?" pinta Mak Imah sebelum berlalu.
Munah masih mendiamkan diri seperti orang bingung.
LAUK yang dihidang Mak Imah memang berjaya membuatkan air liur Munah seakan-akan mahu melimpah dari mulut, banjir!
"Sedapnya, mak..."
"Makan dulu, baru tahu sedap ke tidak. Pais ni mak guna ikan baung, itu saja yang Hadi hantar tadi. Ada jugak ikan keli empat ekor, kita buat lauk esoklah." Muncung mulut Mak Imah menunjukkan lauk yang terhidang. Tangannya ligat mengaut nasi dari periuk dan dicedok ke pinggan.
Munah memejam mata sambil hidung menghidu aroma lazat di depannya. "Munah takkan dapat lauk macam ni di kota. Pais ikan ni dah tentu tak ada, sayur kangkung ni dah tentu segar tanpa racun dan sambal ikan bilis mentah ni, air tangan mak aje yang kena dengan selera Munah."
"Ini haaa, masak lemak cili api ikan salai. Letak pulak nanas, emmmppphhh... pecah selera!" sambung Munah sambil tangan mencapai pinggan berisi nasi yang dihulur ibunya.
YOU ARE READING
Uwan Konah
HorrorUNTUK MELANGGAN www.dearnovels.my Jimat RM3.00 dengan setiap pembelian Penghantaran PERCUMA ke Seluruh Malaysia TAJUK: UWAN KONAH PENULIS: HAIDA HASSAN ISBN: 978-967-14675-8-9 HARGA: RM23/RM26 Munah sering diganggu makhluk halus yang ingin berdampin...