kembalikan merah cintaku

1K 12 0
                                    

MUKTASIM memerhatikan kedua-dua orang anak muda yang hampir sebaya di hadapannya ini. Haydar dan Harraz, kedua-duanya nampak hampir serupa namun berbeza pada mata. Mata Haydar lebih tajam dan berkening lebat berbanding mata Harraz yang nampak redup walaupun berkening lebat seperti Haydar. Sangat menakjubkan apabila kedua-duanya nampak hampir serupa walaupun berlainan ibu.
Dia ingin kedua-duanya mewarisi semangat wajanya dalam meneraju syarikat. Dia mahu kedua-duanya ghairah merebut peluang sepetimana dirinya. Menyedari yang usianya kian lanjut dan penting untuk dia mewariskan syarikatnya kepada calon yang sesuai, Dato’ Muktasim mengadakan pertemuan itu. Haydar dan Harraz selalu bersaing diantara satu sama lain, dia tidak mahu kedua-duanya merebut jawatan tertinggi di syarikat, oleh hal yang demikian, dia perlu melantik seorang. Seorang yang dia rasakan boleh dan layak untuk mengepalai syarikat mereka nanti, dan keputusannya nanti, muktamad!.
“Ada hal apa papa?” Soal Harraz terlebih dahulu, agresif dan tegas bunyinya. Jika dilihat pada caranya, memang nampak lebih berkeyakinan berbanding Haydar.
“Ethusiasisme, I like.” Puji Dato’ Muktasim kepada Harraz, namun keterujaan semata-mata tidak akan berjaya jika tidak disusuli dengan usaha kerana dia tahu sejauh mana kesungguhan Harraz bila melibatkan hal kerja.
Harraz tersenyum. Senang hati dengan pujian bapanya.
“Dar, duduk sebelah Raz.” Arah Dato’ Muktasim apabila Haydar lebih selesa duduk jauh dari Harraz. Bukan dia tidak tahu, hubungan Haydar dan Harraz tidak mesra sejak mereka kecil. Selalunya tentang persaingan antara mereka. Bersaing di sekolah, bersaing di syarikat, memang nampak jelas kedua-duanya tidak sebulu kecuali bab bersaing berkaitan perempuan. Harraz lebih nakal jika dibandingkan dengan Haydar. Dan ada satu bab lagi yang Haydar tidak bersaing dengan Harraz, bab merebut kasih sayang Nirmala. Haydar lebih suka mengalah. Tidak dapat dinafikan, Muktasim sukakan semangat persaingan begitu namun dengan cara yang sihat dan ke arah tujuan yang betul. Tambahan lagi dia tidak mahu kedua-duanya dingin sehinggalah saat dia menutup mata.
Hendak dibandingkan nasib kedua-duanya, nasib Harraz lebih baik berbanding Haydar. Harraz disayangi isterinya namun Haydar dinafikan hak sebagai anak oleh Nirmala, bermula saat pertama Haydar melangkah masuk ke Villa mereka. Namun dia sudahpun menjangkakan hal itu.
“Papa ada nak sampaikan apa-apa?” Tegur Haydar apabila sejak tadi bapanya senyap tanpa bicara. Dia tidak mahu duduk membuang masa jika Dato’ Muktasim tidak ada perkara penting yang hendak dibincangkan. Dia ada perkara yang harus dilakukan di pejabat. Banyak kerjanya yang harus diselesaikan kerana sejak kebelakangan ini, keadaan syarikatnya tidak kukuh.
Tersentak Dato’ Muktasim, jauh kepalanya melayang sehingga lupa akan tujuan dia memanggil anak-anak bujangnya duduk bersama.
“Macam mana dengan syarikat?” Soalnya kembali. Sudah seminggu dia dimasukkan ke KPJ kerana masalah jantung bengkak. Dia perlu tahu apa yang berlaku, maklumlah sejak setahun kebelakangan ini, keuntungan syarikat sudah semakin merudum. Sudah tidak ramai pelanggan yang percaya dengan kewibawaan mereka selepas kes Harraz menipu dahulu.
Haydar helakan nafas sementara Harraz hanya berwajah selamba.
“Kalau tak ada suntikan modal, kita mungkin terpaksa gulung tikar, satu lagi projek mega kita ditarik balik.” Sahut Haydar dalam nada kecewa. Memang dia kecewa, kerana Harraz mempertaruhkan nasib syarikat apabila adik lelakinya itu menipu pelanggan. Harraz mengambil tender membuat banglo tiga tingkat seorang kenamaan namun bahan yang digunakan, semuanya tidak berkualiti, dan akibatnya, banglo mewah yang separa siap itu rebah menyembah bumi. Hancur projek syarikat yang bernilai hampir 2  juta itu.
Sejak kes itu juga, syarikat mereka di saman. Dek kerana terpaksa naik turun mahkamah, mereka kerugian besar kerana terpaksa membayar ganti rugi dan pelanggan pula semakin berkurang. Dan dalam masa yang sama, Dato’ Muktasim pula didiagnos menghidap sakit jantung dan memerlukan rawatan demi rawatan.
Dato’ Muktasim mengeluh.
“Apa tindakan Raz nak atasi masalah ni?”  Soal Muktasim memandang anak lelaki yang menjadi punca kepada semua itu. Harraz dilihatnya sangat sambil lewa dan langsung tidak ambil berat.
Mendengar saja soalan bapanya, Haydar berwajah sinis. Apa tindakan Raz? Mimpi sajalah kalau bapanya benar-benar mengharapkan penyelesaian adiknya itu. Harraz cuma pandai mengayat perempuan, bukannya menyelesaikan masalah syarikat.
Seperti dijangka, Harraz hanya mengangkat bahu sebagai jawapan kepada soalan bapanya.
“Papa nak buat pinjaman?” Usul Haydar.
Dato’ Muktasim hanya menggeleng. Hutang yang ada pun belum tentu mereka dapat bayar, inikan pula nak menambah pinjaman. Badan mana yang nak berikan mereka pinjaman dengan sejarah kewangan syarikat yang semakin hari semakin susut.
“Syarikat takkan survive kalau tak dapat suntikan modal.” Kata Haydar sambil menunduk memandang jari jemari sendiri.
Pening kepala Dato’ Muktasim memikirkan penyelesaian kepada permasalah mereka. Banyak perkara yang kabur dalam kepalanya namun satu yang jelas, Harraz bukanlah calon yang sesuai untuk dia serahkan syarikatnya nanti-nanti. Dari perbincangan itu saja sudah nampak yang Harraz memang lepas tangan. Tidak seperti Haydar.

“Pang!.” Satu tamparan padu dilayangkan pada wajah lelaki itu. Nyata riak wajah kacak itu mempamerkan rasa terkejut namun mimik mukanya di kawal sebaik mungkin. Pelanggan restoren di sekeliling sudah berpaling memandang mereka.
“You memang tak guna!.” Ditujah muka lelaki itu dalam rasa marah yang sarat namun lelaki itu hanya tersenyum sinis memandangnya.
“You’re not worth it Ava. I nak cari wife, bukan mistress.” Jawab lelaki itu sambil berdiri. Sinis senyuman di bibirnya. Dia kemudiannya melekapkan dua jarinya di bibir dan kemudian melekapkan pula jari itu ke bibir Ava, membuatkan Ava terus menepis kasar jari jemarinya.
“You memang cantik, memang menawan tapi bukan untuk dijadikan isteri.” Lanjut lelaki itu dalam ketawa sambil berlalu meninggalkan Ava sendirian di ruang itu.
Jantan celaka!, sumpahnya dalam hati. Harraz menghinanya. Memang dia tidak nampak seperti perempuan baik, yang sempurna menutup aurat dan bertudung litup tapi setakat ini, dia belum lagi menjual maruahnya kepada sebarangan lelaki. Memang dia nampak liar, tapi belum ada lelaki yang berjaya menakhlukinya! Dan dia kesal kerana percaya kepada Harraz. Percaya pada cinta Harraz!
Tiga tahun!, Tiga tahun dia menjalin hubungan dengan Harraz, bukan sehari dua, selama ini dia sangka Harrazlah lelaki itu, lelaki yang menyemarakkan merah cintanya. Lelaki yang akan mengakhiri hubungan mereka dijinjang pelamin. Mungkin Harraz bukan lelaki sempurna, namun dia sudah curahkan segala rasa hatinya kepada lelaki itu. Namun pertemuan kali itu benar-benar buatkan dia terngadah, hubungan yang dia sangka merah menyala dengan cinta itu rupanya palsu belaka. Pudarnya hanya Harraz yang tahu.
Ava perhatikan sekeliling, pandangan sinis semua membuatkan dia tidak jadi hendak menangis. Harraz memang lelaki tak guna, menabur janji yang macam-macam namun akhirnya meninggalkan dia terkontang kanting sendirian. Selama ini bukan main lagi bermain cinta dengannya. Untung dia masih belum menyerahkan mahkotanya kepada Harraz walaupun acapkali Harraz merayunya.
“Lelaki celaka!, kalau kau boleh mainkan aku, aku pun boleh mainkan kau.” Tekad Ava dek kerana marah walaupun sebenar-sebenarnya dia sendiri tidak pasti dengan kata-katanya.
“Aku bukan perempuan lemah Raz, kau tunggu dan lihat!.” Bisiknya jauh di sudut hati. Dalam rasa hati yang membungkam, Ava raih tas tangannya dan berlalu.
Tiba di rumah Ava hempaskan tas tangannya ke atas meja, betul-betul di hadapan daddynya yang sedang santai membaca akhbar.
“Kenapa ni?” Tegur Dato’ Hasni.
Ava merengus, dia pandang sekilas pada bapanya. Bapa yang sering sibuk dan kurang memberi perhatian kepadanya. Kebetulan pula malam ini bapanya tidak ke mana-mana, selalunya tidak lekat di rumah. Umur sudah masuk ke angka 50 namun hidup mengalahkan orang muda!. Rasa hendak dihambur segala rasa di dada namun tahu yang semua itu sia-sia saja.
“Daddy  tak keluar?” Soalan di balas soalan. Kalaulah ibunya ada, tentu saja hidupnya tidak begini. Dato’ Hasni mungkin cakna dalam memberi kasih sayang kepadanya namun bapanya itu tidak pernah mengabaikan keinginannya yang lain. Sebut saja apa yang dia mahu, pasti Dato’ Hasni akan adakan. Semua boleh disediakan oleh bapanya kecuali memanjai dirinya.
“Tak ada teman malam ni.” Jawabnya tanpa mengalihkan tumpuan pada dada akhbar. Reaksi yang menyebabkan Ava hanya menjeling wajah lelaki yang bergelar bapa hanya pada nama.
“Ava naik dulu.” Katanya yang malas bersoal lanjut. Melayan bapanya berbual samalah seperti melayan pakcik menjual nasi lemak seberang jalan syarikat bapanya. Buah cerita tu ada namun kemesraan langsung tiada. Jadi apa gunanya dia bersembang lama-lama.
“Khairy nak balik Malaysia.” Kata-kata Dato’ Hasni membuatkan kaki Ava kaku di mana dia berdiri. Berdebar-debar dengan nama yang disebut oleh bapanya dan selebihnya terkejut dengan berita itu.
“Bukan ke Ery sibuk di sana.” Khairy abangnya, belajar di Australia dan sambung menjalankan bisnes di sana dengan berbekalkan modal yang diberikan Dato’ Hasni. Selama pergi 8 tahun lepas, tidak pernah sekalipun abangnya pulang. Berita hanya di kirim melalui panggilan telefon sahaja.
“Dia nak balik bantu daddy, bisnes di sana dia nak tutup.” Lanjut Dato’ Hasni. Dan kali ini kata-kata Dato’ Hasni benar-benar membuatkan Ava bertambah terkejut.
“Maksudnya Ery nak menetap di Malaysia?”
Dato’ Hasni mengangguk. Anggukan yang membuatkan debaran di dada Ava makin melonjak. Tidak dapat berfikir dengan tenang, Ava teruskan langkah kakinya menuju ke atas.
Tiba saja dalam bilik Ava hempaskan tubuhnya ke dada katil, syiling  bilik yang dihiasi chandelier terasa menenangkan hati yang sedang merusuh. Khairi dan Harraz…kedua-dua nama lelaki itu berjaya membuatkan jiwanya merusuh malam itu. Harraz lelaki pertama yang berjaya mengetuk hatinya, walau baru 3 tahun berkawan namun dia sukakan Harraz. Harraz yang agresif dan tahu apa yang dimahukan, Harraz yang tegas dan Harraz yang pandai mengambil hatinya namun makan malam sebentar tadi baru saja membuktikan Harraz yang selama ini dia kenal rupa-rupanya lelaki tak guna.
Dan….Khairy, satu-satunya ahli keluarga yang dia ada selain bapanya. Darah dagingnya namun kenapa mendengar berita abangnya ingin kembali, dia tidak teruja dan gembira…

Kembalikan Merah CintakuWhere stories live. Discover now