ALAMAT yang tertera di skrin telefon bimbit kutatap dengan perasaan yang sukar digambarkan. Tidak wujud! Sudah puas aku tanya pada orang-orang di sini, malahan pada polis, mereka semua mengatakan bahawa tiada rumah dengan alamat ini. Buat kesekian kali, aku dihempap rasa bingung. Juga, tidak sedap hati. Kalau alamat ini tidak pernah wujud, jadi kenapa ini yang diberikan oleh Badri?
Aku menghela nafas dan mengeluh panjang. Cuaca sejuk membolehkan aku melihat wap yang keluar dari mulut. Kemudian, aku meliarkan pandangan ke sekeliling. Aku sekarang berada di kawasan perumahan dengan jalan yang agak sempit dan bersimpang-siur. Kebanyakan rumah di sini dikelilingi tembok pagar berwarna kelabu. Di halaman pula, terpacak pokok bonzai yang pelbagai bentuk. Kawasan perumahan ini sangat bersih. Sukar sekali mahu menemui secebis sampah. Maka benarlah reputasi orang-orang Korea yang sangat pembersih.
Di beberapa sudut jalan, kelihatan kelibat orang sedang mengayuh basikal. Satu yang aku perasan sejak berada di sini, orang-orangnya gemar sekali berbasikal.
Setelah beberapa saat berdiri umpama manikin di tepi jalan, aku mengangkat langkah. Hajatku mahu membeli makanan. Soal Badri, kuletak ke tepi. Perut yang berkeroncong harus diisi terlebih dahulu. Kedua-dua belah tangan dimasukkan ke celah saku jaket. Sejuk!
Usai berjalan selama sepuluh minit, aku akhirnya selamat keluar ke jalan besar. Di seberang jalan raya, tersergam bangunan-bangunan tinggi yang kukira sebagai pejabat tempat orang bekerja. Berbeza sekali dengan kawasan perumahan tadi. Aku berjalan menuju ke arah lampu isyarat dan menanti simbol pejalan kaki bertukar hijau. Pada masa yang sama, aku menalakan pandangan ke arah bertentangan.
Tidak semena-mena...
“Adam” getus bibirku. Di kalangan mereka yang sedang berjalan, kelibat seorang lelaki menarik perhatian. Berambut hitam, kulit sawo matang, tinggi, sasa dan berkot coklat. Adam. Itu memang Adam!
Di luar sedar, aku mengangkat kaki.
Ponnnn!!!
Bunyi hon bergema. Lenganku tiba-tiba ditarik dari belakang. Aku terpusing pada skala tiga ratus enam puluh darjah. Semuanya berlaku dengan pantas sekali. Sedar-sedar sahaja aku sudah pun tersembam dalam pelukan seseorang. Dalam keadaan terkejut, aku menengadah muka.
Oh. My. God.
Dia ini…lelaki semalam! Bukan Big Boss, tetapi pembantunya yang menjemputku masuk ke dalam kereta. Kami saling berpandangan. Mulut masing-masing terkatup rapat.
“Kim…”
Satu suara menyentak kami. Cepat-cepat, tubuhku dilepaskan. Kemudian dia mengundurkan diri setapak ke belakang. Bagaikan memberi ruang.
Dan sekarang ruang itu terisi dengan sekujur tubuh tegap yang terpacak betul-betul di hadapan mukaku. Bukan lagi dibaluti kimono, tetapi sudah digantikan dengan single-breasted suit beserta kot musim sejuk yang labuh hingga ke lutut. Kedua-duanya berwarna hitam. Wajah seriusnya pula tampak segak dengan rambut stail pomade. Kemas sekali.
“Stupid lady…”
Air liurku tertelan sendiri. Seperti semalam, suaranya masih dengan intonasi keras dan memerintah.
“Ye…yes?” Lambat-lambat aku menjawab. Cuak.
“Apa yang patut aku buat dengan kau?”
HAH?” Mulutku terlopong luas. Telingaku seperti baru sahaja disogokkan dengan bahasa ibunda. Tetapi...takkanlah?
“Kau memang tak reti jaga diri sendiri, kan?”
Mata terkelip-kelip. Masih sukar mempercayai telinga sendiri.
“Kenapa tengok aku macam tu?”
Diam. Aku masih pegun.
“Hei, helo! Excuse me. Sumimasen...”Dia memetik jari dia hadapan mukaku, lantas membuatkan aku tersedar.
“Awak...cakap melayu.”
“Yeah, so?” akuinya dengan muka selamba lagak tiada apa-apa yang pelik. “Kau dari Malaysia, kan? Aku cakaplah melayu.”
“Tapi...”
“Itu bukan pointnya sekarang. Yang lebih penting, apa yang kau fikirkan tadi? Tak cukup hampir mati semalam, kau nak kena langgar pula?”
Aku tersentap. Nafas sejuk dihembus kuat. Dia ni tak ubah macam semalam, suka membebel marahkan aku. Harapkan muka sahaja seperti orang berhati dingin dan pendiam, tetapi rupa-rupanya mak nenek sangat.
“Kalau Kim tak ada tadi, kau dah mati, tahu tak?”
“Saya tahu. Sebab tu...” Aku melirik ke arah lelaki yang berdiri tidak jauh dari kami. “Kim? Nama dia Kim, kan?”
“Huh?”
Tanpa menunggu lagi, aku meninggalkan dia. Kim, kurapati. Lelaki itu tampak serba-salah. Matanya dilirik pada ketuanya, seakan-akan menyoal apa yang patut dibuat.
“Kim-shi?” Aku menegurnya.
“Yes.”
Aku tarik senyum paling manis dan kemudian, menundukkan kepala. “Thank you.”
“Err...”
Masih dengan kepala yang tertunduk, aku dapat melihat Kim yang tidak tahu mahu buat apa. Setelah beberapa saat, dia turut menundukkan badan. Perkara yang biasa dibuat oleh orang-orang Korea.
Sesudah itu, aku mengangkat kembali tubuh dan menapak ke arah Big Boss
“Apa kau buat?” Terus dia menyoal.
“Awak betul. Entah apa yang tak kena dengan saya. Baru beberapa hari di sini, berkali-kali hampir mati. Kalau tak kerana awak dan dia, saya mungkin dah tak ada. Jadi saya berterima kasih pada dia,” ucapku bersahaja.
Inilah yang selalu aku buat kala berhadapan dengan manusia-manusia yang kufikir tidak penting. Tamatkan apa-apa yang ada antara kami, dan selepas itu, jangan jumpa lagi. Tidak akan ada kekusutan. Tiada drama. Dan aku boleh buat tidak peduli selepas itu.
“Lagi satu, semalam saya terlalu terkejut. Langsung terlupa untuk berterima kasih pada awak. Jadi, terima kasih sebab selamatkan saya.”
Dia tidak mengatakan apa-apa, kecuali menatapku. Muka tenang, mata tajam macam X-ray. Aku mula rasa tidak selesa.
“Oh, saya hampir terlupa.” Aku menepuk dahi. Poket kot diseluk, lalu aku mengeluarkan sapu tangannya. “This is yours. Lupa nak bagi balik semalam.”
Jari-jemari yang berbalut dengan sarung tangan hitam, menyambutnya.
“Saya dah boleh pergilah, kan? Sebab, semalam awak sendiri cakap. Awak tak kenal saya. Saya tak kenal awak. Jadi, saya pergi dulu.” Laju aku bercakap seraya mengundur diri ke belakang. Kemudian aku memusing tubuh dan berjalan pergi. Namun...
Leherku tersekat. Langkah terhenti. Sedikit-sedikit, aku melirikkan mata ke belakang. Penutup kepala jaketku sedang elok ditarik oleh A.L. Dia masih seperti biasa, menayang muka tanpa emosi.
“Apa ni?” tempelakku.
Dia melepaskan pegangan dan mendekatiku. Usai terpacak menghadap, dia bersuara. “Stay away from him"
Adam tapi kenapa A.L
YOU ARE READING
the secrets
ActionSatu amanah yang diberikan untuk aku iaitu membawa pulang Adam ke pangkuan ibunya tetapi persoalannya berjaya kah aku memujuknya pulang atau aku terhimpit bersama alasannya untuk tidak dapat pulang selama ini? "Makcik nak Dee tolong makcik, please n...