Musim berubah. Hati membeku. Angin menyambar bagai beribu-ribu mayat halimunan, dingin.
Di sebuah tanah perkuburan, Karim cuba bangkit perlahan-lahan, cuba untuk belajar bernafas kembali setelah dua tahun lima bulan meninggal.
Dari kejauhan ada cahaya neon samar-samar memperlihatkan sebuah pondok telefon. Karim merasakan ia macam dalam sebuah filem. Cahaya neon itu seolah-olah memang sudah dirancang untuk spot pada pondok telefon dan Karim juga seolah-olah memang sengaja dihidupkan semula untuk pergi ke pondok telefon itu. Seperti filem horror kebanyakan, set pengambaran suram, ada kepulan asap rambang dan siluet manusia yang hanya dapat dilihat dari kejauhan. Karim gagahkan juga dirinya ke pondok telefon walaupun dia macam sudah boleh agak plot filem ini.
Perlahan, seperti baru memiliki tubuh badan yang sempurna, dia melangkah ke arah pondok telefon itu. Ketika sedang melangkah dengan agak awkward, siluet manusia yang samar-samar tadi menjadi semakin jelas.
Karim tidak lagi melangkah. Dia membatu di satu sudut yang mana hanya ada Karim dan siluet manusia yang jelas dilihat Karim sahaja. Karim mungkin sahaja lebih molek menjadi mayat kerana dia kelihatan begitu canggung sekali menjadi batu di situ. Macam dalam filem, muzik backgorund akan dimatikan. Audiens akan menikmati kebingitan di dalam sunyi dua karakter filem bertemu. Gelap, sunyi dan kaku.
Malam itu menjadi kaku. Bintang-bintang pulang ke kampung. Bulan pula mengambil cuti sakit. Lalu dengan tidak sengaja, hujan dan petir menari-nari di tanah perkuburan itu. Dan mungkin kerana tidak selesa melihat Karim menjadi batu, hujan perlahan-lahan membuatkan Karim yang kaku membatu tadi menjadi cair.
Karim yang baru sahaja menikmati tubuh badannya itu, berduka lara semula. Dia sudah menjadi cecair dan kini dia mengalir ke sisi jalan dan menuju ke dalam longkang besar di tepi tanah perkuburan itu. Karim larut bersama air bewarna coklat teh ais di dalam longkang.
Karim yang sedang pantas meluncur di dalam longkang membebel seorang diri.
"Fuck, plot twist rupanya. Ingatkan filem horror tadi."
Di pondok telefon, ada seorang wanita menunggu Karim. Wanita itu kelihatan agak ganas tapi sebenarnya dia berhati emas. Dia wanita yang mempunyai senyuman paling menawan sekali di sub-urb itu. Dia adalah wanita kegemaran Karim yang telah memohon pada kuasa alam agar Karim dihidupkan semula. Malangnya, dia terlupa yang Karim memang akan cair setiap kali dia tertawa. Dan tadi, ketika melihat Karim kaku membatu dengan agak canggung, dia tertawa dan Karim pun mencair.
"Memang takde dalam filem."
Bentak wanita ganas berhati emas itu seorang diri.