TGMS 45

18.5K 956 42
                                    

ZACHARY melangkah keluar dari kereta selepas Liam membukakan pintu untuknya. Kilauan cahaya kamera langsung menyilaukan matanya, tetapi dia tetap melangkah dengan wajah dingin seperti biasa. Di belakang keretanya, sebuah lagi kereta berhenti... kereta Adif.

Adif dan Aaron keluar dari kenderaan itu, pantas menghampiri Zachary. Mereka berjalan beriringan menuju ke bangunan convention center tempat acara penting bidding projek Pentagon akan berlangsung.

Wartawan di sekitar terus menyerbu dengan pelbagai soalan:

"Di mana Tengku Irina?"

"Mengapa dia tidak bersama Tengku Zachary?"

Zachary tidak memberikan sebarang jawapan. Wajahnya tetap tenang, tetapi dalam diam, dia sendiri tidak tahu di mana Irina. Wanita itu seolah-olah hilang dari radar selama dua hari, dengan telefonnya dimatikan. Liam sudah cuba menghubungi Ben untuk mendapatkan maklumat, tetapi Ben juga memberikan jawapan yang sama... mengunci mulut.

Mereka berempat melangkah masuk ke dalam lif. Liam menekan butang untuk tingkat sepuluh. Namun, sebelum pintu lif sempat tertutup sepenuhnya, ia terbuka kembali.

Dua figura muncul di hadapan mereka, ingin masuk ke dalam lif.

Mata Zachary jatuh tepat pada pemilik sepasang mata hazel gelap yang kosong tanpa ekspresi. Irina.

Irina melangkah masuk bersama Ben, wajahnya tenang tetapi dingin. Suasana di dalam lif menjadi tegang, dingin dan penuh keheningan. Aaron melirik ke arah Adif, dan kedua-duanya berbalas pandangan seolah-olah memahami sesuatu yang tidak terungkap.

Tiga tahun.

Selepas Zachary mengarahkan mereka menggali semula maklumat mengenai kemalangan Anna, tiada siapa yang berani membantah secara terang-terangan. Namun, mereka tahu ini adalah langkah yang penuh risiko. Zachary sendiri menyaksikan kereta Anna meletup dan terbakar di hadapannya. Apa lagi kebenaran yang dia cuba cari?

Ting!

Pintu lif terbuka di tingkat sepuluh. Saat Irina melangkah keluar, lengannya tiba-tiba ditarik oleh Zachary.

Irina menoleh, matanya bertemu dengan Zachary. Wajahnya tetap dingin, tidak memberikan sebarang reaksi.

"You know what you're supposed to do," kata Zachary dingin, suaranya rendah tetapi tegas.

Irina menghela nafas perlahan. Dia tahu apa yang Zachary mahukan daripadanya. Dengan tenang, dia melilitkan lengannya ke lengan Zachary, memeluk lelaki itu seperti yang selalu mereka lakukan untuk menjaga imej.

Mereka melangkah keluar dari lif bersama-sama, meninggalkan suasana tegang di belakang. Semua mata tertumpu kepada pasangan itu saat mereka memasuki dewan utama. Aura dingin mereka jelas terasa, seolah-olah memenuhi setiap ruang di dalam dewan itu.

Di belakang mereka, Adif, Aaron, Ben, dan Liam mengekori dengan langkah senada.

"Tengku Zachary Ares," satu suara memanggil, memecah keheningan.

Langkah Zachary dan Irina terhenti.

"And... Tengku Irina Dalisha," tambah suara itu lagi, kali ini memandang terus ke arah Irina.

Irina menoleh sedikit, wajahnya tetap tanpa ekspresi.

"Raja Raden, in case both of you forgot," kata lelaki itu, bibirnya melukis senyuman sinis.

Irina meneliti lelaki itu. Dua hari lalu, Ben ada memberikan laporan mengenai lelaki ini. Perjalanannya memang menarik... dari seorang CFO hingga menjadi CEO di sebuah syarikat antarabangsa. Namun, tiada apa yang benar-benar luar biasa pada pandangan Irina.

The Greatest Marriage SecretWhere stories live. Discover now