[Update : 16 September 2024]
LARIANNYA dilajukan. Rasa sakit pada tapak kaki yang tidak beralas apa-apa gara-gara seliparnya tercicir entah di mana tadi terpaksa ditolak ke tepi.Yang penting dia kena selamatkan diri. Kalau tidak, terlambat sedikit sahaja, boleh musnah masa depannya. Silap-silap masa depan pun dia tak sempat nak melihat.
Tiba di satu jalan yang terbahagi kepada tiga simpang, langkahnya terhenti. Dalili buntu. Tidak tahu mana satu jalan yang patut dimbil. Dia bukannya mahir tentang jalan ni.
Keluar ke bandar pun cuma sebulan sekali. Itu pun tumpang kereta jiran. Jadi, dia kurang tahu simpang-simpang yang harus dilalui untuk sampai ke rumah.
Sesekali dia tertinjau-tinjau ke arah jalan yang membawanya ke sini tadi. Risau penjahat-penjahat tadi semakin menghampiri, dia berlari mengambil simpang kedua.
Hanya mampu bertawakal seandainya dia tersalah jalan. Tapi rasanya macam dah betul jalan ini menghala ke kampung tempat tinggalnya.
Ketika kakinya laju berlari untuk menyeberang jalan, entah macam mana ada sebuah kereta laju meluncur dari arah kanan. Langkahnya terhenti. Jasadnya kaku memerhati kereta itu semakin menghampirinya.
Sreeetttttttt!
Bunyi tayar berdecit bergesel dengan permukaan tar jalan kuat membelah suasana sebelum Dalili dihentam bahagian depan sebuah Chevrolet Cruze. Tubuhnya terhumban sedikit ke depan lalu tergolek.
"Arghhhh!" Dalili terjerit menahan rasa sakit di sekitar tubuhnya.
Kereta berwarna biru gelap itu mengundur sedikit dan berhenti di bahu jalan. Seorang lelaki keluar dari bahagian pemandu, laju menghampiri Dalili yang sedang meringis kesakitan.
"Ya Allah, cik! Saya minta maaf. Saya betul-betul tak perasan ada orang nak melintas. Saya ingat jalan ni tak ada orang lalu." Lelaki itu terus bertinggung untuk membantu Dalili bangun.
"Sa... sakit..." Terketar-ketar Dalili bersuara. Sedang berusaha bangun sambil menahan rasa sakit di kaki dan tangannya akibat hentakan kuat di atas tar jalan tadi.
"Ya Allah, tangan awak luka ni." Lelaki itu bantu membangunkan Dalili yang masih terbaring di tengah jalan. Nasib baik tak ada kenderaan yang lalu ketika itu.
"Aduh!" Dalili terjerit kecil ketika tubuhnya diangkat lelaki tidak dikenali tersebut.
"Sakit ke? Sakit dekat mana?" soal lelaki itu cemas.
"Paha saya..." Lemah suara Dalili.
Bahagian tepi pahanya terasa sangat sakit. Mungkin kesan akibat hentaman tadi.
"Teruk juga keadaan awak ni. Saya bawa awak pergi kliniklah. Tengok, lengan awak dah mula berdarah ni." Lelaki itu membelek tubuh Dalili, cuba mencari luka di bahagian lain.
YOU ARE READING
UMMAR DZAKIR : Lelaki Terbaik
RomanceSeorang diperguna, seorang lagi diperdaya. Kerana ketamakan dan kerakusan keluarga, mereka menjadi mangsa dalam satu perjanjian rahsia. "Goda Ummar sampai kau mengandung. Lepas kau mengandung dan lahirkan anak tu, serah pada aku. Lepas tu kerja kau...