BAB 4

1K 31 10
                                    

Laban Rata, Kaki Kinabalu

FEDOR membuka matanya tatkala dipanah sinaran matahari. Puncak Kinabalu serta-merta wujud indah dalam pandangannya. Di celah puncak itulah matahari itu muncul setelah menyinsing mengikut ketetapan penciptanya. Kinabalu, satu tanda kemegahan masyarakat Sabah yang dikenali di seluruh dunia. Hatta, mempunyai pelbagai kisah silam yang dianggap cerita lagenda masyarakat negeri di bawah bayu itu.

Lelaki itu menarik nafas dalam-dalam. Terasa bayu pagi yang sejuk, mengalir ke rengkungannya. Kesejukan di kawasan tinggi seperti itu langsung tidak lut pada dirinya. Baginya, kesakitan akibat kehilangan Kamelia lebih dahsyat dan meninggalkan kesan luka tersendiri di dasar hatinya.

"Kamelia..." Fedor membisikkan nama itu perlahan. Terasa dirinya didhambat memori silam antara mereka berdua. Perlahan dia memalingkan wajahnya di sebelah kanan. Maka, kelihatan satu kalimah yang sengaja dia tuliskan di atas batu yang agak leper.

'Kau cinta matiku, Kamelia.' Fedor membaca semula kalimah hatinya yang dia tulis di atas batu itu petang semalam. Fedor sengaja mengabadikan perasaan itu melalui tulisan yang melambangkan kesalan atas perpisahan mereka.

'Ikau kalangadanku...' (Kau kerinduanku...) Fedor tersentak apabila terdengar suara Kamelia. Seolah-olah ingin membalas bisikan hatinya walaupun gadis itu sudah berada di alam sebelah.

"Sundung do kopinsodu, poinsomok sid ginawo." (Biarpun berjauhan, tetapi sentiasa dekat di hati) Bisiknya perlahan. Dia sengaja menggunakan bahasa sukunya iaitu bahasa Dusun sebagai penyampai makna hatinya.

Fedor bangkit perlahan. Langkahnya sedikit goyah menuju ke arah kalimah yang ditulisnya di permukaan batu itu. Tangannya mengusap perlahan lekuk-lekuk tulisan itu sambil matanya membaca lalu diterjemahkan di dalam hatinya dalam bentuk perasaan dan penghayatan.

"Hanya hujan yang dapat menghakis rinduku ini, Kamelia. Cintaku, tidak akan hilang ditelan zaman selagi Kinabalu ini utuh." Lafaz Fedor yang masih mengusap tulisan itu. Ternyata, cintanya terhadap gadis Dusun itu terlalu mendalam sehingga meninggalkan bekas yang begitu hebat.

'Sampai bila begini?' Satu bisikan suara bergema di telinganya.

Fedor mengelus nafasnya perlahan. Itu merupakan suara masa lalu. Terasa kepanasan di dalam lubuk hatinya mula reda walaupun masih terasa kelat membalut rasa. Dalam beberapa hari ini, hatinya sukar benar berpisah dengan bayangan wajah Kamelia yang sentiasa memenuhi ruang sedarnya.

"Aku tidak boleh terus begini... aku kena hidup. Aku tidak rela mati hanya kerana cinta." Gumam Fedor. Dia pantas mencapai seketul batu, lalu menulis tarikh dia melakar kalimah di batu itu. Dan angka yang ditulisnya tepat pada 17 Disember 1992. Baginya, itu tarikh keramat. Tarikh di mana negeri itu mengalami musim tengkujuh. Musim yang begitu sejuk saban tahun.

'Tapi ke mana?' Perlahan hatinya berbisik. Hatinya menjadi buntu.

Lembah Perawan, Pedalaman Ranau

TOK PAWANG terbangun apabila cucunya Paduka bermain-main di sisinya. Lelaki dekat separuh abad itu terasa berat benar hendak membuka matanya. Kelelahan meredah hutan Nusawungu semalam masih berbaki dalam tubuh. Hatta, nyawa mereka hampir tergadai dek usaha mencari Jairon dan Paloi yang dipercayai sesat jauh ke lubuk hutan belantara itu.

"Atuk, bapa di mana?" Tanya Paduka.

Tok Pawang menjadi kaku tatkala mendengar pertanyaan cucunya itu. Hendak dijawab, dia masih tidak pasti kebenarannya. Hendak berdiam, Paduka tertanya-tanya. Maka jalan terbaiknya ialah mengalihkan cerita. Biarlah Paduka faham sendiri tentang kisah hitam itu apabila besar nanti.

Bidadari Pencabut NyawaTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang