Tahun 221 S.M, Lembah Hwang Ho, Zaman Dinasti Chin,
Tangisan seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan itu memecah hening di malam hari. Pulau tempat bersalinnya bayi itu menjadi saksi kepada keajaiban yang telah berlaku pada malam itu. Angin bertiup kencang, lautan semakin mengganas, petir mulai sambar menyambar sebaik sahaja bayi kedua selamat dilahirkan.
Kembar. Ya, bayi itu kembar seiras.
Namun, kelahiran bayi kedua itu ke atas muka bumi ini merupakan satu ancaman kepada dirinya sendiri. Mungkin juga sumpahan, tetapi, ianya salah satu keajaiban misteri yang wujud di atas muka bumi ini.
Bukan darah yang mengiringi kelahiran kedua-dua bayi tersebut, sebaliknya air. Tangisan si ibu yang separuh mati melahirkan anaknya, bertukar menjadi mutiara pada setiap titisan yang mengalir menyentuh lantai.
Tiada kata-kata yang mampu menerangkan situasi ini. Nenek kepada kedua-kedua bayi ini juga tergamam sebaik sahaja menyambut kelahiran cucunya. Adakah ini sumpahan? Atau keajaiban semata-mata?
"Chae, Chae gyung...Anak kamu.." tiada kata-kata yang mampu terungkap dari bibir Sen Tzu, wanita yang berumur dalam lingkungan 40 tahun itu. Dia menggendong lembut kedua cucunya itu lalu diletaknya seorang di sebelah sisi kanan Chae gyung, dan seorang lagi di sisi kiri. Agar Chae gyung dapat membelai kedua anaknya itu.
Chae gyung mengukir senyuman dalam dia tercungap-cungap kepenatan. Jauh di sudut hatinya, rasa risau serta gundah menguasai diri. Bagaimana dia mahu membesarkan kedua-dua anaknya yang dalam keadaan sebegini tanpa ada ancaman daripada orang kampung? Kenapa semua ini harus berlaku kepada anak-anaknya? Mengapa anak-anaknya juga perlu menderita seperti dirinya?
Chae gyung membelai lembut kedua-dua anak kembarnya itu. Keajaiban yang ada pada anaknya yang seorang itu tidak lagi asing baginya, dia juga pernah melihatnya sebelum ini. Separuh hidupnya juga, sudah bersama dengan keajaiban ini.
Anak perempuannya yang pertama, cukup sempurna sebagai seorang manusia dari hujung rambut hingga hujung kaki. Tetapi, ada insang di kedua-dua bahagian lehernya iaitu di kiri dan kanan.
Manakala, anak perempuannya yang kedua....Air mata berguguran laju membasahi pipi Chae gyung.Bahagian atas tubuhnya sudah sempurna sebagai makhluk bernama manusia, namun, tidak berkaki. Sebaliknya, bersisik keemas-emasan, sedikit kebiru-biruan serta berkilau-kilau dan dihujungnya seperti kain satin berheret cantik di atas lantai cuma seperti ekor ikan. Bahkan, lebih cantik dari ekor ikan yang ada di lautan.
Rambutnya mengurai indah. Panjang dan lebat sehingga hampir mencecah pinggangnya. Kelopak matanya berkelip-kelip seperti bintang di langit malam serta bebola matanya memantulkan cahaya pelangi sebaik sahaja matanya terkena biasan cahaya. Sungguh indah, sebagai seekor Duyung!
"Mama..." belum sempat Chae gyung menghabiskan ayatnya, Sen Tzu sudah bersuara.
"Kita harus rahsiakan perkara ini daripada pengetahuan orang kampung. Nyawa anak kamu pasti dalam bahaya jika mereka tahu yang anak kamu seorang ada insang, dan seorang lagi duyung."
"Orang kampung pasti mahu membunuh anak kamu. Mereka akan beranggapan yang kelahiran anak-anak kamu sebagai satu malapetaka dan pembawa nasib malang kepada semua penduduk." Tambah Sen Xia, adik Sen Tzu dan merangkap Mak Cik kepada Chae gyung.
Sen Tzu mengangguk tanda mengiakan kata-kata adiknya sebentar tadi.
Chae gyung melepas nafas perlahan. "Saya masih boleh jaga kedua-dua anak saya."
"Tapi macam mana, salah seorang anak kamu itu, dunianya bukan di sini tapi di lautan. Dia tak boleh hidup di darat seperti kita. Dia perlukan air." Beritahu Sen Tzu, risau.
Chae gyung seakan dihenyak dengan kata-kata Mamanya. Itu memang benar, dunia mereka berbeza. Tapi, dia akan fikirkan sesuatu.
"Bagaimana pula dengan anak kamu yang lagi seorang itu? Dia juga perlu tinggal di lautan? Dia ada insang." Soal Mak Ciknya.
"Tidak. Dia boleh tinggal di darat, dengan kita semua. Hanya kerana dia mempunyai insang, tapi dia memiliki sepasang kaki. Insangnya itu, membolehkan dia untuk bernafas di dalam air. Ini bermakna, dia ada dua dunia." Lantas Chae gyung berkata.
Matanya dikalih ke arah Sen Tzu yang duduk bersebelahan sisi kirinya.
"Mama, boleh saya minta tolong sesuatu?"
"Apa dia? Katakan saja, Mama akan buat sedaya yang mampu." Diusap lembut rambut Chae gyung. Satu-satu anak yang dia ada. Sungguh memilukan, Chae gyung juga membesar tanpa seorang bapa. Kini, cucunya juga membesar tanpa dapat merasa kasih sayang daripada seorang bapa.
"Saya mahu, Mama buatkan satu kolam kecil didalam rumah kita. Dimana saya boleh tempatkan, Se-yeong."
Bibirnya menguntum senyuman sebaik sahaja menghabiskan ayatnya.
"Se-yeong? Kamu maksudkan, anak kamu? Kamu sudah memberikannya nama?" Soal Sen Tzu. Hairan dengan nama yang disebutkan Chae gyung sebentar tadi.
"Ya, saya sudah memikirkannya. Mmm, maksud saya, Sowon dan saya sudah fikirkannya bersama-sama. Kami mahu menamakan anak kami Se-Yeong."
Matanya memberat, menahan tangis yang bertakung di mata. Rindunya dia pada suami tercinta yang sudah pergi meninggalkannya di saat dia betul-betul memerlukan. Begitu tragis keadaan yang menimpa suaminya.
"Se-yeong nama untuk si adik, yang kakak pula, kamu mahu menamakan apa?" Soal Mak ciknya. Menyedarkan Chae gyung dari lamunannya.
Dia berpaling menghadap Mak Ciknya.
"Saya sudah ada nama buatnya. Saya akan panggilnya, Se-jeong. Se-yeong dan Se-jeong."
Senyumnya semakin melebar dan manisnya tidak luntur walau sesaat pun. Diciumnya lembut kedua-dua dahi Se-yeong dan Se-jeong. Ditatap sayang wajah kedua anaknya itu, mirip benar seperti wajah suaminya.
YOU ARE READING
[OG] Air Mata Duyung
FantasyKisah sepasang adik-beradik kembar, yang memiliki paras rupa yang sama, dan mencintai lelaki yang sama. Cuma ada satu perkara sahaja untuk membezakan yang mana kakak dan yang mana adik antara mereka berdua iaitu "Ekor" dan "Kaki". Se-yeong nekad un...