ANGIN bertiup agak kencang. Rona awan yang cerah dan biru di dada langit sudah mula berubah kelabu dan sedikit demi sedikit menjadi kelam. Daun-daun kering mula berterbangan ditiup angin. Rumah banglo putih dua tingkat itu diperhatikan. Pokok menjalar yang melilit di sepanjang pagar rumah sudah memenuhi dinding luar rumah yang turut dipenuhi lumut hijau.
Dari dalam kereta, cermin kereta diturunkan perlahan. Kaca mata hitam yang melekat di mata ditolak ke atas kepala. Lensa kamera difokuskan pada segenap ruang di halaman luar rumah itu.
Klik! klik! Klik!
Pintu kereta dibuka. Rokok yang masih bernyala yang diletakkan di atas dashboard kereta dicapai semula lalu disumbat ke mulut. Berkepul asap dihembus. Matanya masih menghala pada rumah putih itu. Senyuman kelat terukir di bibir. Sayang, rumah yang begitu besar dan cukup luas halaman itu ditinggalkan begitu sahaja. Cat yang sudah banyak tertanggal kesan berpanas hujan jelas kelihatan pada dinding. Kamera Canon EOS-1DX yang sentiasa di tangannya difokuskan lagi ke arah banglo putih.
Klik! Klik! Klik! Beberapa ruang sekitar laman dirakam sebanyak mungkin.
Perlahan Adam menapak ke anjung rumah. Pintu rumah cuba ditolak perlahan. Krikkkk... jelas bunyi pintu yang sudah lama tidak dibuka kedengaran di telinga. Nampak sangat rumah itu sudah lama tidak berpenghuni. Tercegat dia di muka pintu. Suasana di dalam rumah itu suram dengan hanya sedikit cahaya yang menerobos dari celah jendela kaca yang sudah pecah.
"Hmmm... Agak kemas..."
Kakinya diatur perlahan melangkah masuk ke dalam. Kain putih yang menutupi perabot rumah itu sudah lusuh dan berwarna kuning keperangan. Sekali lagi lensa kamera dihala ke segenap ruang dalam rumah itu.
Klik!Klik! Klik!
Adam mendongak ke tingkat atas. Berhati-hati dia menapak anak tangga menuju ke setiap bilik yang tidak berkunci. Lantas lensa kamera difokuskan sekali lagi.
Adam perhatikan di setiap ruang yang ada. Memang ada kesan merah yang seakan-akan melekat pada lantai dan memercik ke dinding. Warna merah itu cuba dihidu. Darah! Bau hanyir masih bersisa seolah-olah darah itu masih segar walaupun sudah agak kering. Dia menekup hidung.
"Takkan masih berbau? Apa yang aku tahu rumah ni sudah lama ditinggalkan..."
Adam meliar memerhati sekeliling. Keadaan di dalam bilik itu memang menyeramkan namun tiada tanda-tanda ada kes baru berlaku di situ.
Bebola matanya tertoleh sebentar ke arah cermin meja solek. Ternampak kelibat hitam dari dalam cermin. Cepat-cepat Adam pandang ke arah ruang di sebelah katil kayu lama berukir bunga raya. Tiada sesiapa di situ. Dia mengalih pandang pada cermin semula. Tiada apa-apa.
Adam segera menapak keluar dari situ dan kembali ke ruang tamu. Susunan perabot di ruang tamu kelihatan kemas. Tidak berselerak dan tidak ada tanda-tanda diceroboh. Sebelum dia melangkah keluar dari banglo, sekali lagi lensa kameranya difokuskan pada segenap ruang.
Dia menapak semula ke kereta. Kamera diletakkan di sebelah tempat duduk penumpang. Enjin kereta mula dihidupkan dan perlahan dia meninggalkan kawasan banglo putih. Dia berharap kes yang dikendalikannya kali ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin. Daripada apa yang dilihat tadi di banglo itu, dia boleh mengagak kes itu rumit. Kes sebelum ini tidak serumit ini. Pedal minyak ditolak semakin kuat dan menderum keretanya menuju ke arah bandar Kuala Lumpur semula.
ADAM memberhentikan keretanya di hadapan sebuah restoran. Dari pagi lagi dia tidak mengisi perut. Usai solat subuh tadi, dia terus memandu ke destinasi. Setelah menyimpan kamera di dalam beg, dia mula melangkah keluar dari perut kereta. Jarum jam tepat menunjukkan 10 pagi. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi sebuah meja makan yang terletak di kaki lima restoran itu. Dia mendongak ke dada langit. Cuaca yang mendung tadi sudah kembali cerah. Makanan mula dipesan. Pagi itu dia mengisi perutnya dengan dua keping roti canai dan dua biji telur separuh masak bersama kopi O pekat panas.
YOU ARE READING
RAHSIA DIARI MERAH - IMAN FADIA
HorrorADAM, penyiasat persendirian separuh masa terjebak dengan kemunculan sebuah diari merah yang tiba-tiba dihulurkan kepadanya ketika satu kejadian di sebuah restoran. Perasaan ingin tahu yang membuak pada diari merah usang itu, telah mengheret Adam ke...