HARI-HARI yang dilalui dirasakan terlalu cepat. Terasa tidak pernah cukup masa. Terkejar-kejar Adam menyiapkan projek pelan bangunannya yang akan dibawa ke mesyuarat nanti. Sebelah malam pula sibuk dengan siasatan kes banglo putih itu sehingga terlupa untuk mengikuti catatan yang ada dalam diari merah itu.
"Adam, sibuk aku tengok kau akhir-akhir ni." Zizan menegur Adam yang leka melukis pelan bangunan.
Adam menoleh. Dia senyum.
"Yalah... Sampai aku rasa tak cukup tangan ni. Projek kau macam mana?"
"Aku dah nak habis dah..."
"Aku ada sikit lagi ni... Nak siapkan pelan atur dan reka bentuk ciri-ciri seni bina luar bangunan ni. Esok, pagi lagi aku kena pergi site visit. Tengok tapak projek. Aku kena bincang dengan beberapa kontraktor pasal spesifikasi untuk pemasangan elektrik, air." Adam sandar di kerusi. Lehernya diurut seketika. Terasa lenguh sejak tadi, asyik tunduk menghadap kertas pelan itu.
Zizan angguk-angguk.
"Ni, bila kau nak nikah?"
Adam jeling seketika. Dia faham riak Zizan yang sebaya dengannya dan kini sudah pun mempunyai dua cahaya mata. Baginya dia tidak terdesak untuk bernikah. Biarlah masa yang menentukan segalanya.
"Kat ofis kita ni, hanya ada dua orang aje perempuan. Itupun dah jadi hak orang. Sorang dah jadi isteri, yang sorang lagi baru saja bertunang..." Zizan pandang pada teman sekerjanya di sudut meja hujung pejabat itu.
Adam sekali lagi senyum dan menggeleng. Tak kuasa dia hendak bercinta dan bernikah dengan teman sepejabat jika ada yang bujang sekalipun. Hari-hari menghadap muka yang sama. Balik rumah pun asyik muka sama juga. Bosan!
"Apa yang kau senyum-senyum ni?" Zizan pula penasaran melihat Adam tersenyum sendiri.
"Tak ada apalah..."
"Ke kau dah ada calon? Tu la... Aku nak kenalkan dengan adik sepupu aku, kau banyak alasan." Zizan senyum lebar.
Adam hanya diam. Wajah Sakinah mula bermain di mata. Entah kenapa tiba-tiba muncul wajah gadis itu bila Zizan mengungkit soal itu.
Zizan dilihat sudah menapak ke meja kerjanya semula. Dia pula menyambung semula kerja yang tergendala tadi. Habis kerja nanti, dia perlu pulang ke rumah orang tuanya. Hujung minggu selalunya dia akan bermalam di sana tetapi terasa canggung pula bila Hawa ada sekali di rumah itu.
"Ah... Aku pergi aje dulu. Lagipun aku kena tanya pasal diari merah tu." Adam berkira-kira sendiri.
KERETA diparkir di laman rumah. Adam melangkah perlahan ke pintu depan rumah orang tuanya. Dia jeling di laman rumah itu. Kereta waja ayahnya tidak ada di situ. Salam diberi. Tiada jawapan. Sekali dia memberi salam. Juga tidak berjawab. Adam keluarkan kunci rumah yang dibawa bersama dan mula membuka pintu utama yang berkunci.
"Hmmm... Memang tak ada orang..." Adam mula melangkah masuk.
Dia rebahkan tubuhnya di sofa. Beg kerja diletakkan atas meja sofa. Adam melihat sekitar ruang tamu. Tiada sesiapa. Dia bingkas bangun dan menapak ke dapur mengambil segelas air dan kembali semula ke ruang tamu.
"Mana semua orang ni? Tadi aku call, ibu cakap ada kat rumah..." Adam teguk jus oren seketika. Mata masih melihat sekitar ruang tamu.
Habis satu gelas jus oren diteguk. Dia kemudian menapak ke biliknya di tingkat atas. Tiba di muka pintu bilik tengah, dia terdengar suara teresak-esak dari dalam bilik itu. Adam menekap telinganya ke daun pintu. Jelas dia mendengar suara perempuan menangis.
"Hawa tidur bilik ni ke?" Adam diam sebentar di muka pintu. Serba salah sebenarnya untuk dia buka pintu bilik itu.
Lama dia termenung memikirkan apa yang patut dia lakukan. Mundar-mandir dia di muka pintu bilik tengah itu. Biliknya pula di hujung sekali, di sebelah kiri. Bilik orang tuanya di hujung sebelah kanan.
YOU ARE READING
RAHSIA DIARI MERAH - IMAN FADIA
HorrorADAM, penyiasat persendirian separuh masa terjebak dengan kemunculan sebuah diari merah yang tiba-tiba dihulurkan kepadanya ketika satu kejadian di sebuah restoran. Perasaan ingin tahu yang membuak pada diari merah usang itu, telah mengheret Adam ke...