ADAM menapak ke sebuah restoran sebagaimana yang dijanjikan tadi. Lelaki yang ditunggu masih belum kelihatan. Dia pesan minuman sementara menunggu di situ. Puas menunggu, Adam melayari laman sosial terkenal Facebook. Teringat kata-kata Benjamin tadi tentang Kamil yang masih berhubung dengan Sakinah. Nama Kamil cuba dicari.
"Hmmm... Betullah. Jadi, Sakinah ni guna nama samaran la." Adam senyum.
Adam buka pula Facebook milik Sakinah dengan nama samaran gadis itu. Dia senyum lagi. Memang akaun itu milik Sakinah. Banyak status gadis itu yang memberi nasihat dari segi hadis dan ayat-ayat al-Quran. Gambar profil pula hanya diletakkan sekuntum bunga daisi putih. Patutlah nama samaran di situ juga Daisi.
"Memang cantik... Patutlah Ben beria-ia nak tackle Kinah..." Adam tatap foto Sakinah yang dimuat naik di laman itu. Tidak banyak. Hanya beberapa keping gambar saja.
Ralit Adam melayari laman sosial itu. Apa jua status berkenaan Sakinah dibaca satu per satu. Matanya tertancap pada satu status yang cukup membuatnya tergamam.
"Adam, dah lama tunggu?"
Adam mendongak. Tak sedar dia begitu ralit menatap Facebook tadi, kawan yang ditunggu sudah tercongok di depannya.
"Tak juga... Duduklah. Nak minum apa?" Adam panggil pelayan restoran sekali lagi.
"Hmmm... Macam mana siasatan kau tu? Dah dapat klu?" Terus saja Razak bertanya pada Adam.
"Belum lagi. Kes ni rumit bagi aku. Aku pelik. Kesan darah dalam rumah tu macam masih baru. Aku syak ada sesuatu yang tidak kena. Daripada apa yang aku baca di keratan akhbar pasal kejadian misteri tu, aku rasa mereka sekeluarga bukan mati mengejut sebagaimana yang dilaporkan dalam laporan polis dan oleh pihak hospital."
"Aku rasa benda ni melibatkan benda mistik atau... Sihir... Entah. Masa aku jejak kaki ke rumah tu pagi tadi untuk ambil gambar, aku rasa semacam. Aku nampak kelibat hitam tiba-tiba melintas. Entahlah... Mungkin perasaan aku aje kut." Adam jongket bahu.
"Sebab itulah aku nak kau siasat pasal ni. Masa aku handle kes ni dulu, seorang demi seorang daripada ahli keluarga rumah banglo putih itu meninggal dengan cara pelik. Tiba-tiba sakit, badan jadi kurus kering, tak boleh tidur malam dan lumpuh. Lepas tu tak sampai tiga bulan sakit, terus meninggal. Laporan daripada pihak hospital juga tak dapat mengesan penyakit apa. Menurut doktor, semua simptom yang aku sebut tadi tu adalah simptom bagi penyakit kanser. Masalahnya tak ada kesimpulan daripada doktor sendiri, kanser apa yang menyerang keluarga tu." Panjang lebar Razak menjelaskan pada Adam.
Adam mengangguk-angguk. Razak, seorang pegawai polis yang juga pandai dalam hal-hal mistik ini adalah kawan satu kampusnya dulu. Masa di kampus dulu, mereka berdua bersama seorang lagi kawan, sering juga mengikuti kes seperti itu bila terdapat pelajar Malaysia diserang histeria. Bermula dari situlah, mereka bertiga mengambil keputusan untuk belajar ilmu perubatan tradisional dan kebetulan pula Razak sekarang ini sudah memilih kerjaya polis dan sudah bergelar Detektif Razak, mengendalikan kes jenayah berat. Setakat ini, tiada lagi kes melibatkan kes paranormal seperti ini. Dulu dia banyak membantu menyiasat kes pembunuhan nyata, tembak, tetak, tikam dan culik, bukan kes mistik.
"Berapa orang semua ahli keluarga tu?" Adam pandang Razak yang mula meneguk jus lemon yang sudah sampai di meja.
"Apa yang aku tahu, semuanya ada enam orang. Pasangan suami isteri tu ada empat orang anak. Tiga perempuan dan satu lelaki. Lelaki tu yang bongsu," terang Razak.
Itu yang dia tahu semasa mengendalikan kes itu dulu yang diketuai oleh Detektif Zamri. Kes itu terpaksa ditutup setelah lama disiasat. Tiada saksi dan tiada bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan.
YOU ARE READING
RAHSIA DIARI MERAH - IMAN FADIA
HorreurADAM, penyiasat persendirian separuh masa terjebak dengan kemunculan sebuah diari merah yang tiba-tiba dihulurkan kepadanya ketika satu kejadian di sebuah restoran. Perasaan ingin tahu yang membuak pada diari merah usang itu, telah mengheret Adam ke...