kita tahu ginsberg nampak minda terbaik generasinya sewel ditelan kegilaan, bogel dalam kelaparan...jadi
aku nak tahu apa yang azizan 'afi nampak melihat generasi twitter dan instagram menyanyikan puisi di bawah lampu kuning kafe malap; disimbah suluh neon damansara membelah gelap diam.
aku nak tahu apa yang meor hailree nampak melihat distorsi gitarnya meraung kedalam gaung kepala otak hantu-hantu yang merasuk masuk susuk tubuh kurusnya; membuat dia mengetikkan kata-kata menjadi sajak dalam bahasa telegram dari jako mengamuk macam mat solo.
aku nak tahu apa yang tulangkata nampak melihat termometer masyarakat disukat oleh penyair penyair berbakat dan punya berkat; maafkan aku teman, sebab tak reti sangat macam mana nak baca simptom bara neraka dan mencari apa khawtar ubatnya.
aku nak tahu apa yang umar azizi nampak dalam dia bergasak dengan kata-kata tanpa berlagak; ingin bersajak melalui pesanan suara, yumcha dan jiwa yang dijerang menggelegak jadi mahluki seni
aku nak tahu apa yang peaches nampak dalam aku; moga suatu hari dikurniakan lensa berkuasa penglihatannya supaya aku tak meraba-raba rabun tak jumpa apa benda nak dilabun lagi untuk menjadi puisi.
aku nak tahu apa yang bang jamal nampak bila dia kata "oel ngati kameie—aku nampak kau"
aku nampak kau sebagai syair; kau sebagai penyair; dan kau sebagai kepenyairan engkau tersendiri berdiri yang tak ada sesiapa pun boleh rampas dibawak lari.
aku nak tahu apa yang ayah agi nampak bila melihat mendengar menunjukkan verbal-vokal-visualnya yang berber dan yanyang beryang berghafaran beragi-agian berdekad lamanya berada dekat bersama-sama ayah.
aku nak tahu apa yang bang jay nampak melihat generasi buddiesnya ditelan sasau dalam keseronokan telanjang rabak, gila kelaparan untuk kenyang dengan kehidupan.
aku nak tahu apa yang aku nampak sekarang—sebab jujur aku sendiri tak tahu apa aku nampak.
tapi aku tahu aku dah tengok:
matahari jawa terbenam di ufuk muar;
kejadian big bang berskala gitar kapok pecah gelombangnya terus berkembang;
mimpi-mimpi rusak di pasakkan pada nyenyak celik rap-resentasi;
makhluk seni one-two-som dengan puisi;
kronut telur asin menjumpai diri sendiri;
suku kaum sajak berkulit biru;
gagak-gagak bukan nak berlagak;
sastra pun boleh melepak di mcdodo malam raya:
aku nampak generasi aku kepala-kepala otak terbaik dulu, sekarang, dan akan datang sama-sama barai melambai-lambai:
mereka adalah salakan lantang bergema panjang
*******
Ogos 2017