HUH! Malaysia sekarang ini dah tak aman! Boleh tembak orang lain dengan sewenang wenangnya. Macam tembak anjing sahaja! Daryn mengomel dalam hati seraya memutar sudu kecil di dalam muk. Aroma Nescafe yang sedang dibancuh berkepul-kepul menerobos lubang hidung. Terus mata yang sedikit layu buntang membulat. Segar!
Telinga masih dapat menangkap suara dari pembaca berita di TV. Bibir manis menyisip muk berisi Nescafe panas yang agak pahit. Muk di bawa ke hadapan dan diletakkan di atas meja. Roti yang diambil dari toaster disapu peanut butter dan jem raspberi. Sarapan ringkas pada hujung minggu apabila dia malas untuk keluar membeli.
Sejak berpindah di kejiranan baru itu, dia jarang- jarang keluar. Lagipun kebanyakan rumah di situ kosong, masih belum diduduki orang. Dia adalah antara penduduk yang paling awal berpindah ke situ.
Sambil menggigit roti, jemarinya laju bermain di atas skrin Samsung. Pesanan daripada grup WhatsApp dilihat sekilas. Kemudian mata dilarikan ke pesanan lain. Dia mengimbas sebentar semua pesanan yang berlonggok di aplikasi itu. Ternampak pesanan daripada Munie, rakan sejawatnya.
Tolong ganti I minggu ni. Ada hal penting. Kena balik kampung.
Pesanan itu bermaksud dia terpaksa mengambil tugas Munie malam nanti, yang juga bermakna selama dua minggu berturut-turut dia akan pulang lambat. Langsung Daryn tidak kesah. Lagipun dia bukan ada perkara lain yang akan dilakukannya. Roti yang sudah ditelan separuh diletak tepi. Nescafe panas diteguk perlahan. Telefon bimbit yang berdering lagu Hymn for the Weekend itu diangkat.
"Hello?"
"Kau kat mana?" tanya Sue usai memberi salam. Suaranya ceria sekali.
"Kat rumah."
"Tak kerja hari ni?"
"Tak..." Daryn menjawab malas. Dia masih kepenatan.
"Jom kita keluar?Shopping?" Suara Sue berkumandang dalam nada tinggi, penuh keterujaan.
Membeli-belah! Namun dia tiada selera untuk itu.Daryn teguk Nescafe.
"Hmmm... Malaslah."
"Jomlah. Kalau tak nak shopping, kita tengok wayang."
"Aku penatlah." Daryn menjawab dengan malas.
"Kau baru balik ke?"
"Tak juga. Aku malas."
Dah agak dah itu jawapan gadis itu. Dia tahu kenapa.
"Reena, kau tak boleh macam ni."
"I'm okay..."
"Kau cakap kau okey, but you don't sound okay. Kalau kau okey kau tak akan terperuk kat rumah macam ni tau!" Sue mula membebel.
"Jom, ikut aku tengok wayang. Aku belanja kau Baskin-Robbins!"
Sue mula menawarkan umpan. Ingin Daryn tergelak namun dia menahan. Sue memujuknya seperti memujuk seorang kanak-kanak.
"Aku tahulah kau nak jadi Paed, tapi tak payahlah cakap dengan aku macam cakap dengan budak kecik!"
Sue ketawa mengekek.
"Habis tu?" Sue mengekek lagi.
"Kau nak makan apa? Aku belanja." Dia memujuk lagi.
Maaf Sue, umpan kau tak mengena. Dia benar- benar tidak berada dalam shopping mode atau apa-apa mode sekali pun. Daryn ini hanya ingin bersendirian di rumah.
"Kalau tak nak Baskin-Robbins kita makan New Zealand Ice Cream. Raspberry ice cream favourite kau tu macam mana?" Suara Sue semakin teruja, bersemangat memujuk.
Tak dapat menahan, Daryn akhirnya tergelak. Kuat letusan ketawa Daryn menerobos telefon.
"Apa-apa aje kau ni, Sue!"
"Jom... Dah lama kau tak keluar, kan? Tak elok macam ni... Jom kita gi makan pasta favourite kau. Atau... Apa-apa ajelah. Janji kita keluar. Pleaseee..."
"Mana ada... Aku selalu keluar apa."
"Ya... Kau keluar pagi, malam baru balik. Takpun, tak balik-balik. Kau berumah kat hospital tu!"
"Dah kerja aku macam tu."
"Dr. Daryn Areena..." Namanya diseru. Bersama gelaran doktor di hadapannya, bermaksud sesuatu di situ.
Daryn terdiam. Dia tahu dia perlu mendengar. Apabila Sue bercakap dalam nada itu, dengan memanggilnya begitu, Daryn tahu Sue sedang menyindirnya. Setelah pelbagai pujukan dan helah tidak berjaya, kawan baiknya itu terpaksa menggunakan cara tersebut.
"Aku pun doktor juga. Aku pun on call juga... Tapi aku tak berkampung kat hospital tau! Mana ada aku tidur kat hospital kecuali time on call!"
Kebelakangan ini, Daryn terlalu suka bekerja. Jika dia terpaksa berada di hospital merawat pesakit 24 jam setiap hari pun dia tidak kesah.
Sue terus membebel.
"Kau tak boleh macam ni... Kau pandai ubati orang, tolong orang... Cuba kau tolong diri kau tu."
"Aku tak apa-apa, Sue." Sekali lagi Daryn cuba meyakinkan kawan baiknya.
"Trust me. I'm okay."
"You can't do this to your self, babe. Let bygones be bygones...Kau kena move on."
"Aku dah move on, Sue."
"Tak. Kau boleh tipu diri sendiri. Bukan aku, Reena."
"Please... Move on. Jangan dikenang lagi. Jangan difikir lagi. Jeffrey..." Belum sempat Sue habiskan ayatnya, Daryn mencantas. Tergantung ayat Sue.
"Don't go there, Sue..." Pilu suara si gadis Daryn setiap kali nama itu disebut. Dia seperti sudah mati bersama lelaki itu.
Sue mematikan kata. Dia tidak sanggup meneruskan kata-kata. Hanya hatinya yang menyebut.
Jeff dah tak ada, Reena. Kau tak akan dapat bawanya kembali.
YOU ARE READING
#GHOST - ZURA RAHMAN
Mystery / ThrillerDia bagaikan seorang halimunan. Kewujudannya diakui, tetapi tidak kelihatan di mana-mana. Gerakannya tangkas dan cukup senyap. Kejam dengan senjatanya; dia membunuh tanpa belas kasihan. Dia bergerak di atas satu nama. Codenamenya - GHOST. Apabila Ge...