Kesempurnaan Yang Membunuh

109 7 0
                                    

Bunyi bising dari tingkat atas mengejutkan aku yang sedang tidur. Terkejut dengan bunyi itu, aku bingkas bangun lalu mencari isteri kesayanganku, Dee. Aku berlari mencari Dee di merata tempat. Di dapur, ruang tamu, bilik air, bilik tetamu, halaman serta kolam renang. Dee tiada dan aku lelah. Benar kata Dee dulu, rumah ini terlalu besar untuk kami, terlalu selesa tapi sayangnya rumah ini sepi.

Aku memanggil isteriku sekuat hati di setiap ruang rumah, tidak disambut. Yang ada hanya suara gema milik aku sendiri. Aku cemas, Dee tidak pernah begini. Aku kenal isteriku, merisaukan hati orang bukanlah sifatnya malah aku sebenarnya yang gemar buat dia gelisah.

Aku cuba bertenang dan berfikir secara waras.    Lama aku memejamkan mata sambil berharap tuhan memberikan aku petunjuk. Tiba-tiba jantung aku berdebar, bilik bacaan masih belum aku periksa, di tingkat atas. Bilik yang tadinya mengejutkan aku dari lena. Tanpa berlengah, aku bergegas. Pantas.

Aku cuba buka pintunya, tapi berkunci dari dalam. Aku menjerit nama isteriku, tiada balasan. Aku takut, bermacam hal buruk masuk di kepala. Dia satu-satunya harta paling berharga buat aku, segala yang aku usahakan hanya untuk kesenangannya. Dee ialah seorang pemaisuri dan wajib dilayan seperti itu.

Berbekalkan tenaga yang ada, aku merempuh masuk bilik bacaan itu. Terpaku, aku melihat Dee yang sudah kaku tergantung. Air mata aku tumpah, hati aku pecah! Aku bingung. Fikiranku kosong, tubuhku lemah lalu aku rebah. Masih, air mata ini tumpah.

Usai jenazah dikebumikan, aku kembali ke bilik bacaan. Mata sudah tidak lagi berair, barangkali sudah habis semua aku tumpahkan. Badan juga sudah tidak berdaya namun demi mencari kepuasan tetap jua ke sini. Aku memandang sekeliling, harum Dee masih ada. Mungkin rohnya juga masih ada. Ada dekat dengan aku. Iya, aku dapat merasainya.

Aku duduk di kerusi milik Dee, pejam mata dan berkata,"kenapa tinggalkan saya? kenapa harus begini? kenapa perlu cabut nyawamu sendiri, sayang? Apa yang kurang?

Persoalan demi persoalan aku lontarkan. Aku berharap, dinding, syiling, meja, kerusi, buku, lampu dan seluruh benda yang ada dalam bilik ini mampu memberikan aku jawapan. Bodoh, semuanya bisu seribu bahasa.

"Awak tak salah, yang salah itu saya. Saya tertekan hidup begini. Awak buat hidup saya terlalu sempurna. Sehinggakan saya tidak tahu memasak, tidak tahu memandu dan tidak pernah merasai hidup susah. Saya mahu, awak merasakan kasih sayang saya melalui masakkan. Saya mahu awak bangga memakai pakaian yang saya sendiri cuci serta gosokkan. Saya cuma mahu jadi suri rumah yang biasa, bukan pemaisuri. Awak, saya minta maaf. Ampunkan segala dosa saya. Tenanglah awak, terima kematian saya dengan redo. Sayang awak selalu."

Aku tersentak, bunyi bising dari tingkat atas mengejutkan aku.

                                   TAMAT

Cerita-Cerita JasadWhere stories live. Discover now