BAB 11

475 55 12
                                    

1522,
ISTANA ONGOMANI KAGENDRA

Puteri Puspa mula menyarungkan kantung anak panah di badannya. Di awal pagi dia sudah ada di lapang sasar yang luas yang terletak di dalam istana. Dari kecil, kerabat Diraja sudah terlatih dan dididik menggunakan senjata ini. Teknik membidik anak panah sangat berbeza mengikut jarak pada sasaran. Puteri Puspa hanya bertemankan pengawal yang memegang iram-iram khas untuknya. Puteri sudah handal dan tidak perlu ditemankan satu lagi pengawal selaku pelatih membidik. Busur panah dipegang dan segera diluruskan selari dengan sasaran.

Kemarahannya masih belum cukup terluah dengan melepaskan anak panah. Dia mendengus kasar biarpun anak panah tepat mengenai titik sasaran. Titah ayahanda semalam sudah benar-benar keterlaluan.

Baginya, mana ada enggang terbang bersama burung pipit. Dia lupa  bahawa bondanya juga bukan dari golongan bangsawan.

Tiba-tibq, Anak hulubalang Jumantara, Hang Nadim datang selepas dimaklumkan bahawa Puteri Puspa mahu menemuinya tanpa mengetahuan Raja Mahesa. Hang Nadim segera merafakkan sembah. Memberi kehormatan kepada kerabat Diraja yang sedikit angkuh.

Puteri Puspa amat dikenalinya. Seorang puteri yang sangat lokek untuk memberi senyuman. Raut wajahnya sentiasa tegang biarpun rupawan.

"Aku tahu kau menyukai Melur Jelita." titah Puteri Puspa sambil meluruskan lagi busur panah. Langsung tidak menoleh ke arah Hang Nadim yang seumur dengan Putera Indra. Hang Nadim terkejut dengan panggilan kasar daripada kerabat Diraja itu lantas hatinya ditiup rasa berdebar.

"Ampunkan patik, tuanku. Patik tidak mengerti." Sebelum ini Puteri Puspa tidak pernah bertitah dengannya. Bukan hanya sekali, malah tidak pernah!

"Tidak perlu bersandiwara, Hang Nadim. Aku tahu kau menyukainya. Aku mahu membantumu untuk mendapatkan Melur. Dekati Melur Jelita." sambung Puteri Puspa lagi. Pengawal yang setia memegang iram-iram tadi sudah pun disuruh pergi. Kini hanya tinggal mereka berdua di tengah lapang sasar panah.

"Ampun tuanku. Tetapi Melur Jelita bukanlah seorang perempuan yang senang didekati. Ampun tuanku." ujar Hang Nadim. Saat dia memacu kuda membawa Melur Jelita ke istana, sepatah perkataan pun tidak keluar daripada mulut Melur biarpun sudah ditanya berulang kali.

Muka Puteri Puspa sudah menyinga dengan sikap Hang Nadim yang mudah berputus asa. Kalau cinta, lakukan sahaja apa yang dititah!

"Kau pengecut Hang Nadim! Sepatutnya kau perjuangkan cintamu." Puteri Puspa jadi marah. Anak panah sudah dibidik berkali-kali. Semakin kasar pula rentaknya. Hang Nadim diam apabila diherdik. Kalaulah di hadapannya ini bukan seorang puteri raja, sudah pasti dilumatkan mulutnya. Hang Nadim seorang yang panas baran dan sukar dicabar!

Puteri Puspa menjeling ke arah Hang Nadim lantas berkata, "Aku punya rancangan. Jikalau kau benar mahukan Melur Jelita. Kau harus lakukan apa yang aku perintah. Segeralah bawa Putera Indra berburu pada keesokan hari."

Busur panah diberikan kepada Hang Nadim. Orang kanan putera itu hanya akur menyambut busur panah dan kantungnya.

"Aku akan membunuh ayahanda sebelum baginda mengkahwinkan Melur bersama Putera Indra. Selepas itu, aku akan melepaskan Melur jelita kepadamu." Puteri yang berhidung tinggi itu terus menerus memberitahu agendanya. Dalam diam dia hanya memberitahu separuh rancangannya yang betul. Separuh lagi tersisip kemas di sebalik lidahnya. Licik.

Hanya kerana mahukan tahkta dia sanggup membunuh. Rasa hormat pada tuan puteri semakin terhakis. Bukan sahaja bengis tetapi juga busuk hati.

Namun begitu, Hang Nadim sudah mula menunjukkan reaksi suka tatkala nama Melur Jelita dipetik dan dikaitkan dengannya. Dia mula tertarik.

Hikayat Melur Jelita [ON GOING]Where stories live. Discover now