BAB 20 - MAYANG

354 35 3
                                    

1540,
HUTAN TANPA NAMA

Sepertiga malam menjelmakan diri lantas mengejutkan Tajuddin dari tidur semalaman. Dia mengosok-gosok mata yang belum cerah penglihatannya. Bahu yang sedikit lenguh akibat tidur dengan posisi yang kurang menyenangkan kini diurut perlahan. Tajuddin menguap sekali. Air matanya bergenang namun dia sedaya upaya melawan kantuk yang mahu beraja. Dia bingkas duduk lantas merenggang-renggangkan otot supaya lebih selesa.

Pada pengamatan Tajuddin, waktu subuh masih jauh. Dia mengerling ke arah Sakti yang masih nyenyak dalam tidur. Dengkuran halusnya jelas kedengaran. Dia memanjangkan tangan menyentuh bahu remaja itu.

"Sakti," Panggilan pertamanya dibiar sepi. Mata Sakti pula masih terpejam rapat.

"Lekas bangun, Sakti." Tajuddin menaikkan suara. Melihat wajah Sakti yang penuh dengan percikan peluh di muka, dia terpanggil untuk menyentuh dahi Sakti dengan menggunakan belakang tangan.

"Badanmu panas sekali. Sebentar," sambung Tajuddin seperti berbicara dengan tunggul kayu. Dia mulai gabrah melihat Sakti masih diam tidak berganjak.

Langkah mula diaturkan menuju ke sungai yang berdekatan. Hari yang gelap sebegini sememangnya menjejaskan penglihatan. Dia membuka baju yang dipakai lalu di celupkan ke dalam sungai. Diangkat, kemudian dicelupkan lagi beberapa kali. Begitulah seterusnya sehingga Tajuddin berpuas hati dengan kerjanya.

Selepas itu Tajuddin mula mengambil air wudhu' dengan permulaan kalimah suci. Air sungai yang dingin terasa mencengkam hingga ke tulang hitam. Tajuddin Sudah terbiasa. Baju yang sudah basah cuma diperahkan ala kadar. Harapannya cuma satu. Dia sangat berharap agar usahanya itu akan berhasil mengurangkan suhu badan Sakti yang tiba-tiba menggila.

Tajuddin kaget apabila melihat Sakti sudah membuka mata. Juga bangun dari perbaringan seperti tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Dia naik ke atas lantai pondok.

"Seseorang telah datang dalam mimpiku bang." Sekonyong-konyong Sakti memulakan mukadimah menjadikan kening Tajuddin bertaut rapat.

"Wajahnya molek. Senyumannya juga manis." tambah Sakti lagi dengan wajah yang mendatar. Detak pada jantung Tajuddin mula berombak mendadak.

Sakti bermimpi tentang seorang perempuan. Siapa? Adakah mimpi itu sama dengan mimpinya?

Lambat-lambat, Tajuddin berkata, "Mimpi itukan cuma mainan tidur. Barangkali kau terlalu letih, Sakti."

Tajuddin cuba menyedapkan hati lalu memberikan baju basah tadi.

"Mungkin juga." balas Sakti yang nampak kebingungan selepas di berikan baju tersebut.

Suasana sepi sebentar. Irama dari cengkerik pula berdendang. Melihat Tajuddin berdiri menghadap kiblat mahu mengangkat takbir, Sakti lekas bangun dan lompat turun ke tanah.

"Tunggu aku bang, Tajuddin. Aku juga mahu tahajjud." Terkocoh-kocoh Sakti berlari anak menuju ke sungai. Tajuddin cuma menggelengkan kepala perlahan. Sebentar tadi suhu tubuh badan budak lelaki itu tinggi. Namun demamnya seperti sudah surut. Tajuddin berpusing ke belakang lantas menyidai baju basah yang ditinggalkan oleh Sakti. 

Selang beberapa minit, Sakti sudah pun mengambil tempat menjadi makmum. Mereka mengambil kesempatan untuk mendirikan beberapa solat sunat memandangkan subuh masih malu menjenguk. Kebiasaannya, Tajuddin akan memulakan solat sunat taubat terlebih dahulu. Mendahulukan taubat, baru hajat. Barangkali di sepanjang permohonan doa ada dosa yang menjadi batu penghalang. Kemudian barulah diikuti dengan solat sunat yang lain.

Manusia itu ibarat seorang musafir yang cuma singgah di bumi. Mencari bekalan yang baik untuk digalas supaya bisa 'pulang' semula ke rumah.

Hutan nan indah pada subuh itu kelihatan tenang. Isinya pula seakan memberi haluan kepada mereka berdua agar dapat beribadah dengan khusyu'.

Hikayat Melur Jelita [ON GOING]Where stories live. Discover now