Baru perasan semalam malam jumaat.
Semalam aku duduk seorang diri di rumah. Aku balik kerja lebih kurang jam 5 petang. Usai mandi aku habiskan masa di dalam bilik. Bersendirian. Aku ambil telefon dan menekan nombor kesayangan. Lega rasa dengar suara dia di corong telefon. Rasa hilang stress seharian.
Kami berbual tentang topik yang tak ada hala tuju dari jam6 petang sehingga lebih kurang jam 10 malam. Berhenti sebentar untuk waktu maghrib. Lama kan. Biasalah, bila dah sayang.
Lebih kurang jam10 malam aku terlelap. Terlelap tak sengaja. Telefon pun masih di telinga. Agaknya puas dia dengar aku berdengkur.
Tiba-tiba aku terjaga dalam bilik yang gelap. Aku pandang sekeliling. Cuma ada cahaya samar-samar dari luar. Aku jenis tidur buka lampu. Bukan takut tapi memang terbiasa dari kecil tidur macam tu. Oleh sebab bilik gelap, Aku bangun dan tiba-tiba aku sampai di bawah pokok mangga yang besar. Aku baring di bawah pokok itu sambil bermain dengan telefon.
Aku ingat lagi, jam pada skrin telefon waktu itu adalah jam 10.22 malam. Aku jadi pelik. Kenapa aku lepak di sini. Aku masuk semula dan menuju ke bilik. Aku cuba hidupkan lampu. Tapi lampu tak boleh menyala. Aku nampak susuk tubuh seorang perempuan terbaring di atas tilam. Aku kenal dia. Tapi aku rasa pelik kenapa dia ada di situ. Dia seperti baru lepas membongkar pakaian aku. Dia kata, baju yang ini dia nak ambil. Okey.. Tak apa. Aku letih. Nak tidur.Aku cuba lelapkan mata. Tapi tiba-tiba orang di sebelah menyeringai. Wajahnya garang. Kuku yang panjang dan merengus. Aku cuba bangun. Tapi tak dapat. Aku rasa berdebar. Dia cuba sentuh aku. Dengusan yang menakutkan. Aku sedaya upaya cuba bangun. Tapi tak dapat. Aku ucap Allahu Akbar berulang kali. Dada rasa di tekan. Tangan langsung tak dapat angkat. Tapi aku tak berhenti sebut. Allahu Akbar.
Aku cuba kuatkan suara sebut Allahu akbar walaupun lidah aku keras. Kedengaran seperti 'awoo wu a bar'. Tapi aku paksa sebut sampai tiba-tiba bilik aku terang dan aku terjaga sebab dengar suara aku sendiri menyebut Allahu akbar dengan sebutan dari lidah yang keras. Dada aku rasa dilepaskan dari satu beban yang berat. Tapi tangan kiri rasa berat. Aku masih berdebar. Telefon ada di sisi bantal.
Aku mimpi rupanya.
Aku lihat jam yang terpapar pada skrin telefon. Jam10.40 malam. Terus dail nombor kesayangan. Macam biasa. Dengar saja suara di hujung talian, terus rasa tenang.
Bangun pagi masih termenung. Mimpi semalam terlalu meletihkan. Macam real.