Bab 2
Bang, bang, bang, bang, bang, bang, bang!
Tujuh kali tembakan meriam dilepaskan ke udara.
Sauh dilabuhkan. Layar kapal dibuka. Maka, bermulalah satu pelayaran panjang yang tidak diketahui bentuk cabaran yang bakal menerpa. Bunyi bingit yang memecahkan riuh rendah pelabuhan Melaka. Bau belerang dan air laut bercampur di udara untuk seketika dan kemudiannya hilanglah bau belerang itu dibawa bayu laut.
Pelabuhan Melaka memang terkenal dengan kesibukannya. Dalam satu-satu masa terhadap lebih 3000 buah kapal yang datang berlabuh. Lokasi Melaka di Selat Melaka menjadikannya tempat yang amat strategik, iaitu di pertengahan laluan perdagangan antara Timur dengan Barat. Tidak hairanlah, apabila disebut "Maka segala dagang atas angin dan bawah angin sekaliannya datang ke Melaka; terlalu ramai bandar Melaka pada zaman ini". Terdapat lebih 70 bahasa dipertuturkan di Melaka. Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pertuturan dan bahasa komunikasi antara pedagang-pedagang yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Pada zaman ini, orang yang tidak pandai bertutur dalam Bahasa Melayu dianggap ketinggalan zaman kerana tidak menguasai bahasa pertuturan antarabangsa.
Rakyat Melaka tidak kira yang muda atau yang tua datang menyaksikan pelayaran Kapal Mendam Berahi yang megah itu. Di hati masing masing tidak kiralah yang di daratan mahupun di atas kapal-kapal ketika itu mendoakan keselamatan dan keberkatan pelayaran itu daripada Tuhan.
Di kepala pemuda-pemuda yang memandang dari daratan, masing-masing menyiringkan tengkoloknya ke kanan, menunjukkan kegembiraan pemergian Hang Tuah ke negeri atas angin
itu. Ramai antara mereka menyembunyikan rasa sedih dan pilu tidak dapat bersama Laksamana Hang Tuah dalam misi itu. Hanya doa dan harapan yang dapat mereka kirimkan.
Rakyat-rakyat Melaka tidak menahukan sebab sebenar pengembaraan itu. Berita disampaikan hanyalah perutusan Melaka menjalinkan hubungan dengan kesultanan Empayar Turki Uthmaniyyah, selain mahu menjalinkan misi diplomatik. Pemergian ini juga mahu mengiktiraf Empayar Turki Uthmaniyah sebagai khilafah umat Islam. Melaka selaku wakil pemerintahan di Nusantara, menghantar wakil-wakil ke situ.
Berdiri dan bersandar pada penghadang pembahagi antara geladak kapal dengan lautan yang setinggi paras perut hulu adalah salah seorang dari pembesar 4 Lipatan Kesultanan Melayu Melaka iaitu Laksamana Hang Tuah. Wajah dan susuk tubuh menampakkan seorang yang gagah perkasa dan cukup tampan, tidak memadani langsung umurnya yang hampir mencecah 40-an. Tanjak dan persalinan baju Melayu berwarna biru terang berkilau oleh pancaran matahari. Taming Sari; keris tersohor kurniaan Sultan Melaka kepadanya terselit di kanan pinggang pada ikatan sampinnya. Janggutnya yang panjang sejengkal dan rambutnya yang panjang mencecah bahu itu lembut dialun bayu laut.
Tidak jauh di kemudi kapal adalah pembantunya, Maharaja Dewa Setia yang rendah sedikit dari Hang Tuah. Rambut panjangnya juga sudah mencecah ke bahu. Walaupun muka tampak sedikit ganas tetapi sebenarnya orangnya itu lembut dan berbudi bicara. Jarang mendengar suara garau Dewa Setia mengherdik atau menengking orang lain. Di kala masih awal pelayaran ini, orang tua yang sedikit beruban itu menyibukkan dirinya berbincang bersama pengemudi kapal tentang arah perjalanan kapal itu. Setiap inci peta itu diteliti dengan baik agar kesejahteraan pelayaran itu terjamin.
YOU ARE READING
Sang Pemikir: Menyekat Kemaraan Tentera Salib Jesuit Di Nusantara 1450-1700M
Historical FictionSinopsis novel ini secara ringkas, mengisahkan seorang pemuda bernama Aryan Surya yang ikut berkelana dalam misi Hang Tuah ke bumi Turki. Merupakan murid Hang Tuah, di sana beliau dilatih untuk menjadi seorang pemikir strategis dunia Islam dalam mer...