Ceritera 4: Pemikir Istana

225 7 1
                                    

Datuk Laksamana Hang Tuah tersenyum.

Dalam senyuman beliau jelas terpancar wajah seorang pejuang yang mengabdikan dirinya siang dan malam untuk menegakkan agama tercinta. Walau sudah memasuki usia hampir separuh abad, beliau tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam menabur bakti. Separuh usianya dihabiskan di atas kapal dalam memastikan misinya yang satu terlaksana, memastikan kekuasaan Allah s.w.t. tertegak tinggi di atas muka bumi ini!

Aryan Surya pelik, melihat Laksamana Hang Tuah dengan ragamnya sebegitu.

"Kenapa Datuk Laksamana tersenyum lebar?" ujar Aryan kehairanan.

"Bukankah sepatutnya Datuk memarahiku."

"Aryan, Aryan, Aryan.  Sudah kujangka engkau akan mencari jalan untuk menyelinap masuk ke dalam rombongan ini. Aku sengaja membiarkan engkau menyelinap masuk. Perajurit Istana sudah kumaklumkan sehari lebih awal sebelum perancanganmu menyelinap masuk ke dalam kapal."

"Lalu, bonda dan ayahandaku?"

"Iya, benar. Aku juga turut memberitahu mereka, dan menyuruh mereka jangan bimbang. Aku akan mendidik dan menjagamu sepanjang perjalanan kita yang jauh ini."

Ohhh...

Aryan termenung panjang. "Licik juga Datuk Laksamana ini. Patutlah bonda mengirimkan kepadaku sambal ini, seolah-olah mengetahui aku akan pergi jauh," bisik hati Aryan.

Jauh Aryan cuba menghubungkan kembali segala cantuman peristiwa yang dihadapinya sebelum beliau menyelinap masuk ke kapal.

"Aryan, kau hendak tahu bagaimana aku mengetahui niatmu itu?"

Aryan mengangguk.

"Ini dia."

Kelihatan Datuk Laksamana Hang Tuah memegang diari yang diperbuat dari kulit binatang. Diari berwarna coklat keemas-emasan itu diangkat tinggi-tinggi.

Aryan terpaku. Tangan beliau meraba-raba baju dan begnya. Beliau mengeluarkan diari itu dari begnya. Benar telahannya. Diari yang dipegang oleh Datuk Laksamana Hang Tuah itu serupa seperti diari yang dipegangnya sekarang.

Hang Tuah tersenyum memandang Aryan yang terlopong melihat diarinya di tangan Hang Tuah. Dia kemudiannya membaca satu persatu pelan tindakan yang terulis di dalam buku itu.

Satu persatu dibaca pelan dengan separa kuat. Aryan mengurut-urut kepalanya yang tidak pening.

"Engkau ingin tahu bagaimana aku boleh memperoleh diari yang serupa sepertimu?" soal Hang Tuah. Berdekah-dekah Datuk Laksamana Hang Tuah gelak sehingga memenuhi ruangan udara.

"Aku akan memberikan jawapannya usai kita tiba di Aceh kelak. Segala-gala persoalan engkau tentang bacaan dan pola dunia itu akan aku terangkan kepada engkau. Ada banyak lagi perkara engkau perlu belajar, anak muda. Pertembungan ini lebih luas dari apa yang engkau jangkakan!"

Arya terdiam.

Kali ini dia benar-benar keliru. Apa maksud Hang Tuah itu?

******

"Assalamualaikum dan selamat datang, Datuk Laksamana Hang Tuah."

Salam daripada seorang peemuda yang kacak, janggut panjang segenggam yang hitam pekat dan berbaju mewah dipenuhi lintasan warna merah dan kuning.

"Waalaikumussalam, terima kasih Tuanku Sultan, kerana sudi menerima rombongan permusafiran patik ini. " Badan Hang Tuah tertunduk, secara terang menampakkan kerendahan dirinya di hadapan lelaki yang bergelar Sultan ini.

"Tidak mengapa Datuk Laksamana," ujar Sultan Salahuddin.

"Beta kira, Datuk Laksamana perlu melanjutkan persinggahan di Aceh sedikit lama, kerana kita mendapat maklumat baru tentang bala tentera yang sedang disiapkan oleh Feringgi. Barisan pemikir istana sudah siap menunggu Datuk Laksamana, kita akan mengadakan perbincangan tergempar sebentar lagi."

Sang Pemikir: Menyekat Kemaraan Tentera Salib Jesuit Di Nusantara 1450-1700MWhere stories live. Discover now