Keesokan harinya, aku menjejakkan kaki ke Tesco Mergong. Mencari keperluan dapur sendiri. Asyraf dari pagi tadi entah ke mana. Tidak aku ambil peduli halnya. Tidak mahu dicaci lagi.
Mataku yang sembab tidak berapa kelihatan kerana dilindungi cermin mataku. Tanpa sengaja, aku terlanggar seseorang.
Diriku melayang ke belakang dan akhirnya aku terjatuh.
“Buta ke apa?” sergah insan itu.
“Maafkan saya. Saya tak sengaja,” pohonku bertalu-talu. Aku mendongakkan wajahku dan akhirnya aku terpana! Suamiku dan seorang wanita yang langsung tidak aku kenali. Hatiku merintih sayu. Ini rupanya balasan yang aku dapat selama aku berjuang mempertahankan rumah tangga kami.
“Banyaklah kau sengaja. Kau ni memang tak berguna!” Lelaki itu menengkingku. Wajahku diserbu rasa malu. Ah! Lelaki ini memang begini.
Terus Asyraf dan wanita itu pergi meninggalkan aku.