Bisikan

11 0 0
                                    

"Eh, dah pukul berapa ni?"

Karina menggosok matanya lembut. Kelopak mata yang terasa berat dipaksa buka. Setelah berhempas pulas melawan kantuk, akhirnya mata dibuka. Membenarkan cahaya menerobos anak mata.

Gelap. Keadaan sekeliling suram, bertemankan cahaya bulan kelam. Karina hanya mampu melihat secara kasar, meja dan kerusi sekolah tidak berpenghuni. Bermakna hanya dia sendirian ketika ini. Mata segera dilirih ke arah jam tangan.

"Ya Allah... dah pukul 1 pagi!"

Hampir terbelalak biji matanya tatkala menyedari waktu ketika itu. Memori sebelum dia tidur cuba diimbas kembali.

Ah, baru dia teringat! Tadi, dia sedang berada di dalam kelas tambahan malam. Subjek Sejarah, sememangnya sinonim sebagai 'ubat tidur' pelajar. Tidak hairanlah Karina mampu tidur dengan lenanya, umpama dibacakan buku cerita dongeng.

Angin dingin menyapa tubuh. Ah, kesejukannya menyucuk sehingga ke tulang! Segera dikemas alat tulis dan buku latihan. Tidak sanggup rasanya mahu berlama-lama di situ sendirian! Kedinginan dan kesepian itu benar-benar membuatkannya takut akan kehadiran...

Kriuuuk!

Ah, selak pintu berbunyi perlahan. Sepertimana lazimnya didengari di dalam cerita seram. Karina menutup mata erat, manakala tangan rapat ke dada. Sungguh kencang jantungnya berbunyi, bagaikan baru selesai marathon 10 kilometer jaraknya!

Beberapa saat berlalu tanpa apa-apa berlaku. Karina memberanikan diri, mencelikkan mata. Tangan berada di dalam keadaan sedia dikepal, kalau-kalau ada 'sesuatu' berani main 'chak-chak' dengannya.

Tiada.

Tiada apa di hadapannya. Satu hembusan lega dilepaskan. Tangan kembali bergerak mengemas barang. Dia perlu segera beredar dari situ.

"Karina..."

Gulp! Sudah! Peluh dingin mula membasahi dahinya. Walaupun bisikan itu halus dan perlahan, namun cukup jelas untuk didengari. Bukanlah sekadar tiupan angin sepoi-sepoi bahasa. Bukan juga sekadar mainan rasa.

Karina kembali teringat akan perbualan rakan sekelasnya. Kisah mengenai lembaga yang mendiami kelasnya. Si lembaga diceritakan adalah seorang gadis yang membunuh diri di sekolah tersebut. Lebih malang, lokasi kejadian benar-benar di kelas itu!

"Karina... "

Ah, sekali lagi suara itu kedengaran! Walaupun kedinginan angin malam bertiupan, namun tetap tidak mampu menghalang peluh yang merembes keluar dari kulit Karina.

Takut. Sungguh Karina takut menghadapi situasi itu! Sudah terbayang adegan-adegan filem seram di mana si lembaga merintih kesakitan atau meminta tolong. Mata dikatup rapat apabila mendengar suara itu seakan kedengaran sekali lagi.

Suara itu berbisik perlahan, menyatakan sesuatu. Seuatu yang di luar jangkaan. Sesuatu yang mengerutkan kening Karina.

Karina membuka mata. Buku latihan segera diselak. Halaman yang dipelajari sewaktu kelas tambahan tadi dibuka.

"Eh... ini jawapan kerja sekolah tadi!"

Eh? Where stories live. Discover now