BAB 10

738 22 2
                                    

HUD pegang perut sendiri. Tengah berkeroncong sebenarnya. Makanan yang ada di sudut bilik diintai dengan hujung mata. Kemudian dia kerling pula jam di tangannya. Baru pukul dua. Alahai.

Dia mengeluh. Apa yang dia tengah buat sebenarnya ni? Eh! Kalau Izwan boleh buat. Takkan dia tak boleh?

"Kau tak penat ke puasa?" Itu soalan yang diajukan kepada Izwan pagi tadi sebaik saja kereta yang dipandu Izwan membelah jalan raya menuju ke tapak projek.

"Tak lapar?" Dia ajukan soalan seterusnya.

"Kalau aku cakap tak penat, tak lapar, nampak sangat aku menipu kan? Ala kau ni, macamlah kau tak pernah puasa masa kecil-kecil dulu." Izwan kerling pandang dia dengan senyuman senget di bibir.

"Jangan ungkit hal dulu-dulu tu boleh tak?" Marah dia. Malas nak menggamit memori zaman kanak-kanak. Buat dia ingat semula 'perempuan' tu aje.

"Kau cuba la dulu puasa. Kau takkan tahu kemampuan kau selagi tak cuba. Orang kata alah bisa tegal biasa. Mula-mula memanglah kau akan rasa penat. Rasa lapar. Tak tahan. Tapi lama-lama kau akan biasa. Tambah-tambah kalau kau tanam kat dalam hati kau tu, yang puasa ni wajib untuk kita sebagai umat Islam. Jangan tak tahu, puasa ni termasuk dalam rukun Islam yang ketiga tau."

Terhenyak dia seketika mendengar bait bicara Izwan. Lama dia tenung sahabat yang sedang tenang memandu di sebelah. Siap senyum lagi. Izwan dah benar-benar berubah ni!

"Aku pun macam kau juga Hud mula-mula tu. Aku serba-salah. Aku tak yakin. Aku rasa macam aku tak mampu. Sungguh, dugaan nak buat kebaikan ni sebenarnya jauh lebih hebat berbanding dengan apa-apa dugaan yang ada dalam dunia ni. Setiap kali kita nak buat kebaikan, pasti akan ada halangan. Kalau tak kuat, sampai bila-bilalah kita takkan berubah."

Dia diam. Sekali-sekala mengeluh.

"Kau tahu tak, mula-mula bila unclesuruh aku teman kau ke sini, aku rasa macam nak melompat. Happy,lepas tu lega sangat-sangat."

"Sebab?" Berkerut dahi dia mendengar kenyataan tersebut.

Takkanlah sampai macam tu sekali Izwan teruja nak ke sini? Patutlah dari awal lagi dia tengok Izwan sikit pun tak kisah bila daddykeluarkan arahan.

"Sebab aku tengah duk fikir, macam mana aku nak puasa penuh kalau terus duduk KL sepanjang Ramadan. Jadi aku anggap arahan uncletu jalan keluar untuk aku jayakan misi aku tahun ni."

"Misi apa? Puasa?"

"Yup."

"Kau ok ke tak sebenarnya ni? Pelik sangat dah kau ni! Nak macam orang buang tabiat pun ada." Nah! Sekali terus dia ajukan soalan yang kedengaran agak pelik.

Terus mengundang tawa sahabat karibnya itu.

"Haih kau ni! Aku ni tengah nak berubah ke arah kebaikan. Bukan dia nak bersyukur ke apa. Lagi dia kata aku ni buang tabiat. Bagus betul ada kawan macam kau ni!" Marah Izwan.

"Dah tu mendadak sangat!"

"Mana ada mendadak. Cuba ingat betul-betul apa yang aku buat yang kau rasa lain daripada biasa. Rasanya dah lama kut aku cuba kawal diri aku dari terus hidup macam dulu. Kalau kau tu kawan aku. Dah macam kembar aku dah pun. Tentu kau perasan kan?"

Dia termangu sejenak.

"Ada. Kau dah tak sentuh minuman tu. Kau teman aku tapi kau tak minum."

Dia nampak Izwan senyum. Ok! Itu maknanya telahannya betul.

"Lagi?" Tanya Izwan. Seakan-akan sedang menguji dia.

"Kau dah kurang keluar malam. Kecuali waktu kau kena teman aku entertain client. Oh lagi satu, kau dah tak keluar dengan semua girlfriendkau yang pakai baju tak cukup kain tu. Dan ada sekali, siapa nama perempuan tu ya? Aku dah lupa. Ramai sangat. Dia ada tanya aku. Ke mana kau menghilang sebab dia dah lama tak nampak kau kat night club."

Senyuman Izwan semakin lebar.

"Tapi aku pelik. Kalau kau tak pergi night club,kau pergi mana? Setahu aku walaupun jarang, kau ada juga keluar malam kan?"

"Lepak kedai mamak layan bola."

"Kau serius?" Terbeliak mata dia mendengar jawapan ringkas Izwan. Sejak bila Izwan layan bola?

"Sebab aku nekad nak berubah. Jadi aku kena cari jalan macam mana nak pastikan aku berubah. Lebih baik aku lepak kat kedai mamak yang ramai orang tapi sah-sah tak hidang arak daripada aku habiskan masa di kelab malam dengan minuman haram tu depan hidung aku aje."

Sekali lagi dia tersentak. Meremang juga bulu roma buat sesaat. Siap telan liur lagi.

"Aku tak kata kedai mamak tu tempat terbaik buat aku untuk pastikan aku berubah. Tapi macam aku cakap sebelum ni lah. Perlahan-lahan. Sekurang-kurangnya tempat tu tak ada arak. Tapi aku mengaku, waktu tu solat aku masih tak cukup. Kadang-kadang tu malas. Terutama Subuh. Perrhhh...Subuh memang dugaan paling hebat kalau kau nak solat weh! Waktu tu kau rasa tidur adalah perkara yang paling nikmat dalam dunia ni." Izwan ketawa kecil. Mungkin lucu dengan kenyataan sendiri.

"Kenapa kau tak beritahu aku kau nak berubah?"

Kali ini Izwan terdiam agak lama. Soalan dia hanya dibiarkan sepi. Bila dia tenung Izwan, lelaki itu lebih fokus ke arah jalan raya di hadapannya.

"Aku bukan tak nak beritahu. Tapi...entahlah, Hud. Waktu tu aku sendiri tak yakin dengan diri aku. Aku bersungguh-sungguh ke nak berubah? Ataupun aku sekadar hangat-hangat tahi ayam? Kalau aku beritahu kau, ajak kau...tiba-tiba aku kembali semula kepada tabiat lama, macam mana? Jujur aku beritahu kau, aku sendiri takut kalau aku ni tak kuat seperti yang diharapkan." Akhirnya Izwan bersuara.

"Kau bayangkan, bro. Masa mula-mula aku belajar lepak kat kedai mamak. Aku tengok orang teguk teh tarik pun aku terbayang orang teguk arak tau. Betapa teringinnya aku nak teguk air kencing setan tu walaupun seteguk. Betapa sebatinya aku dengan minuman haram tu. Tapi alhamdulillah, lama-lama aku boleh biasakan diri tanpa minuman tu. Teringin tu masih ada, tapi setakat hari ni aku masih mampu bertahan. Harap-harap lepas ni, aku boleh buang terus apa saja berkaitan dengan minuman tu dalam kepala aku ni."

Lidah Hud kelu. Saat ini tidak ada sepatah kata lagi yang mampu dia ungkapkan. Dia seakan-akan tertelan suara sendiri. Akhirnya dia diam sehingga sampai ke tapak projek. Dan selepas itu dia berkurung dalam pejabat kabin sampailah sekarang.

"Ahh! Laparr!" Sekali lagi Hud tekan perut sendiri.

Betul ke apa yang dia buat ni? Tapi bila ingat kata-kata Izwan, betullah apa yang sedang dia usahakan sekarang ini. Kalau tak cuba mana nak tahu!

Hud kembali tegapkan badannya. Satu saja jalan yang boleh buat dia lupa pasal makan. Kerja!

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 06, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

ORKED BUAT HUD - SHA IBRAHIMWhere stories live. Discover now