"Aaaaa! Aaaarghhhh!!"
Perempuan itu asyik menjerit-jerit sambil kelam-kabut berlari. Dia keseorangan. Tiada sesiapa yang menemaninya di kiri dan kanan. Aku kejar dia dengan muka malas. Muka macam itu saja aku tahu buat. Sempat juga aku menyumpah kaki kanan sendiri kerana kaki ini sedikit tempang. Menyukarkan aku untuk mempercepatkan larian.
Di tangan perempuan itu masih tergenggam erat satu beg plastik lutsinar berisi tiga bungkusan biskut. Aku terleka memerhati beg plastik itu tergoyang laju ke sana ke sini disebabkan momentum lariannya. Tak semena-mena, beg plastik yang berisi biskut itu melayang, mendarat tepat di muka aku.
"Wuarghh!" Aku menderam. Aku dapat dengar bunyi beg plastik berisi biskut jatuh ke lantai.
Agak sakit juga muka aku. Tapi rasa sakit itu hilang sebaik saja aku lihat perempuan itu tersembam ke lantai akibat terpijak sebiji tomato yang tergolek di lantai. Aku mahu ketawa. Tapi aku tak boleh ketawa. Aku lupa macam mana mahu ketawa.
Aku lihat dia cuba mengangkat badannya supaya berdiri. Namun dia terjelepuk kembali ke lantai. Kakinya kelihatan lembik. Aku hayunkan kaki dengan lebih cepat, hingga aku sampai dekat dengan perempuan itu. Tangan aku juga ikut terhayun, seakan teruja. Melihatkan aku yang semakin hampir, dia sedaya-upaya mengengsot menuju lorong peralatan dapur. Setakat ini dia masih mendahului aku. Aku perlu berusaha lebih keras untuk sampai dekat dia. Ingat senang jadi aku?
Waktu aku sampai dekat lorong itu, aku lihat dia menangis semahu-mahunya. Di tangan kirinya ada sebilah pisau yang agak panjang, yang dia ambil dari atas rak pasaraya ini. Dia pegang pisau guna tangan kiri? Mungkin dia kidal. Aku tahu, dia mesti mahu baling pisau itu dekat aku.
"WAAAARRGHHHH!!!"
Itu bukan bunyi aku menjerit. Bukan. Itu bunyi perempuan tadi. Dia meraung kuat sebelum dia tikam pisau itu dekat tengah dadanya sendiri. Okey, tekaan aku tadi silap. Baguslah dia bunuh diri. Senang sikit kerja aku. Mungkin rezeki aku dapat makan dengan senang hari ini setelah berhempas-pulas mengejar dia. Aku mahu senyum. Tapi tak boleh. Aku lupa bagaimana caranya mahu senyum. Sudah banyak juga benda yang aku lupa sebenarnya.
Dengan mulut yang sedikit ternganga dan kepala yang terteleng ke kiri, aku perhati saja perempuan tadi. Hampir-hampir saja liur aku meleleh membayangkan sedapnya otak dia. Dia rebah terlentang dan menggeletik. Cecair merah membasahi pakaiannya yang berwarna kuning dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Waktu darah bergenang dan meleleh sampai ke bawah rak, aku lihat pergerakan dia makin perlahan. Aku duduk bersila atas lantai, menunggu sampai dia tidak bergerak langsung.
"Ughhhh ...."
Kepala aku tertoleh ke kanan sebaik aku dengar suara itu. Aku lihat ada seorang budak kecil lingkungan umur lima tahun, yang matanya sudah hilang sebelah, dengan warna kulit yang sama macam aku. Ya, dia pun mayat hidup juga. Atau dalam bahasa yang lebih urban, zombie. Kakinya melangkah mendekati perempuan yang sudah jadi mayat itu.
"Naaakkkk ...."
Belum sempat dia habiskan kata-kata, aku bangun dan terajang budak itu. Walaupun pergerakan aku agak perlahan, tapi cukup padu untuk aku jatuhkan dia ke lantai, sampai membuatkan dia menangis keluar air mata nanah. Biar dia. Nak makan pergilah cari sendiri. Otak perempuan itu aku yang punya. Sebenarnya kalau dah jadi zombie macam aku, kalau tak makan tak mati pun. Cuma kalau dapat makan otak manusia yang belum terjangkit, kami akan dapat sesuatu. Memang susah nak dapat makan otak. Bukan apa, kami kena betul-betul tahan rasa nak menggigit orang itu, dalam erti kata lain, kena cuba untuk tidak menjangkitkan orang itu dengan virus zombie. Kalau dia tak bunuh diri tadi, maka makin susahlah aku. Kena tahan rasa nak menggigit sambil cuba bunuh orang dan kopak kepala dia sampai terbuka. Sekarang aku cuma perlu kopak kepala dia saja.
YOU ARE READING
Zombie Tak Rela (COMPLETED)
RandomAku tak nak pun jadi zombie. Tapi aku dah jadi. Jadi, apa boleh buat?