Sampailah sudah ke rumahku syurgaku. Cik Muna Montok versi zombie masih menjeling-jeling dekat aku seperti biasa. Bezanya, lepas dia jadi zombie, muka dia asyik tersenyum saja. Mungkin masa dijangkiti, dia sedang buat sesuatu yang menggembirakan. Untuk menambah geram di hati busuk Cik Muna Montok, aku menjulang tubuh yang ada atas bahu ini dan tunjuk ke dia. Aku patut berbangga dapat tangkap seorang manusia yang belum terjangkit. Bukan senang nak dapat. Barang rare.
"Baaa ... giiii ... siiii ... kiiitt!"
Wah, Cik Muna Montok berani-berani pula mahu meminta dengan aku? Huh, never! Aku menggelengkan kepala.
Cik Muna Montok masih tersenyum. Dia berpaling dan mengengsot masuk ke rumah. Sempat dia menggumam entah apa benda. Kedua-dua kakinya sudah lemah. Disebabkan dia gemuk dan terlebih montok, badan dia rosak dengan lebih cepat. Kaki dia sudah patah-riuk. Kesian.
Ini tangkapan pertama aku sebenarnya. Sebelum ini aku cuma dapat dengar dari mulut Sajati saja. Dia zombie yang pelik. Dia mahu mangsa yang berjantina lelaki saja. Kalau dia dapat jumpa mangsa perempuan, dia lagi suka gigit saja. Perwatakannya cantik gebu seperti wanita tapi suaranya garau seperti lelaki. Waktu dia belum jadi zombie pun aku tertanya-tanya sama ada dia perempuan atau pondan. Atau mungkin juga khunsa? Tapi tak kisah, aku tiada diskriminasi terhadap gender, semua pun aku buat kawan. Alah, aku pun apa kurangnya? Sekejap jadi lelaki, sekejap jadi perempuan. Lepas tu acah-acah berhijrah jadi lelaki balik. Rasa tak seronok, jadi perempuan balik. Aku buat macam tu, memanglah kena kecam. Tapi tak ada tindakan undang-undang atau apa pun. Buat apa nak takut? Lagipun aku ada duit.
Sekarang bila dah jadi zombie, aku lantakkan. Dah malas nak bersolek atau apa. Kulit aku pun sudah tidak secantik dulu. Dada aku pun sudah mengecut. Silikon yang disuntik dekat dahi untuk kasi dahi aku jendul pun, sudah meleper semula. Badan aku makin susut. Jadi sekarang ini, biarlah aku jadi lelaki saja. Senang.
Waktu malam tu, sepanjang malam Sajati bercerita tentang apa yang dia dapat waktu dia gigit, kunyah dan telan otak manusia. Aku jadi semakin teruja apabila mengingatkan semua kisah yang dia cerita.
Aku bawa mayat tadi ke belakang rumah, tempat letaknya stor. Rumah aku ni besar. Besar gila. Nak sampai ke stor, perlukan lima minit berjalan, waktu aku sihat. Apatah lagi waktu aku dah jadi zombie dengan kaki tempang macam ni. Waktu sihat dulu kalau malas, aku pakai hoverboard saja kalau nak berjalan-jalan dalam rumah. Waktu jadi zombie, aku ada cuba-cuba pakai hoverboard tu. Tapi aku asyik terlanggar dinding dan tertungging ke lantai saja, sebab tak dapat nak imbang badan dengan baik. Sampai di stor, aku letak dia duduk sebentar di atas kerusi warna merah. Kepalanya terlentok ke kiri, nampak macam tengah tidur. Muka dia sudah makin putih. Pucat. Sangat kontra dengan warna kerusi.
Aku ambil kapak dan letak sebelah kerusi. Kemudian, aku baringkan dia di lantai. Kepala dia aku tak tahu nak lapik pakai apa. Akhirnya aku biarkan saja. Malas. Biarlah kalau lantai rosak pun. Aku sudah tidak kisah. Yang aku tahu, aku nak belah kepala dia. Aku ambil semula kapak, aku angkat kapak itu tinggi, melebihi kepala aku. Aku hayunkan kapak ke bawah, ke arah kepala dia.
"WUUUUUAAAARGHHHH!!!"
Tak, bukan suara mayat. Mayat tu memang mati. Tu bunyi aku meraung. Aku tersalah kapak. Ibu jari kaki aku sudah putus. Terpotong serong pula tu. Rasa nak maki, tapi apa yang aku dapat kalau maki?
Setelah kering nanah yang keluar dari ibu jari kaki aku, aku angkat semula kapak. Kali ini tidak terlalu tinggi. Kena fokus! Dengan tangan yang tidak begitu stabil, aku hayun sekali lagi.
TAAAKK!! CHAAKK!!
Bunyi terbit waktu aku kapakkan kepala dia berkali-kali. Sampai aku dapat lihat kepala itu terbahagi kepada dua secara melintang. Darah meleleh perlahan dari kepala itu. Darahnya sudah banyak yang beku. Otaknya warna merah pucat. Nampak macam tak sedap. Tapi Sajati kata sedap. Belum cuba belum tahu, kan?
Aku berjalan ke dapur. Aku cuba jalan selaju yang boleh. Nak ambil sudu dengan pinggan. Aku dah biasa makan sopan-sopan. Dulu, mak aku marah kalau makan terus dari kuali atau periuk. Aku dapat pengajarannya lepas kena pelangkung pakai senduk. Tapi kepala sama dengan periuk ke? Entah. Tak apalah, dah separuh jalan dah ni nak ke dapur. Lima enam minit jugalah baru sampai.
Sekembalinya aku dari dapur, aku terus bersila di lantai. Di sebelah kepala yang terbelah itu.Aku paling suka duduk bersila. Lebih selesa. Rasa berangin. Berangin dekat mana? Yang faham tu fahamlah. Kepala di depan aku ini terbuka luas, bagaikan menjemput aku untuk mengorek semua isinya sampai tidak tinggal satu apa pun. Aku cedok semua otak pucat itu macam aku cedok aiskrim dari dalam bekasnya. Berkali-kali sudukan otak, otak jadi penuh satu pinggan.
Aku pegang pinggan dengan tangan kanan, aku berjalan menuju ke ruang tamu. Sepuluh minit baru sampai. Kau bayangkanlah betapa bersusah-payahnya aku untuk hidup di muka bumi yang satu ini.
Sampai di ruang tamu, aku labuhkan punggung atas sofa empuk berwarna putih yang aku beli dengan harga RM7000 tunai. Sofa yang amat empuk dan selesa. Bagaikan duduk di atas awan di kayangan. Setiap kali ada tetamu yang datang, aku akan menjemput mereka duduk sambil berkata, "murah je ni kita beli. RM7000 je satu set." Senyum mesra tidak lupa aku pamerkan.
Aku capai alat kawalan jauh yang terselit dekat hujung sofa, aku picit punat berwarna merah sambil menghala ke arah tivi. Tivi terbuka. Ada drama yang tersiar. Entah drama tahun bila. Sejak wabak zombie menyerang, tiada lagi drama-drama khurafat atau filem-filem tak sedap dikeluarkan. Kalau dah pelakon pun banyak jadi zombie, siapa nak berlakon? Itu belum lagi kira tenaga kerja yang lain. Pengarah, penulis skrip, tukang pegang lampu, tukang sedia baju, make up artist atau apa, kebanyakannya sudah jadi zombie.
Aku nak berterus-terang ni. Sebenarnya aku gementar. Sengaja aku buka tivi dan tengok drama sebab nak melengah-lengahkan makan otak. Sepinggan otak tadi aku letak saja di sebelah kiri, atas sofa. Mata fokus pada skrin tivi, tapi otak aku yang makin reput ni asyik kata, "makan otak ... makan otak ...." Kau jangan salah faham. Otak kami kalau berfikir, tak sama dengan bercakap. Kalau bercakap jadi lebih lembap.
Okey, nak makan otak ... atau simpan dalam peti ais?
YOU ARE READING
Zombie Tak Rela (COMPLETED)
De TodoAku tak nak pun jadi zombie. Tapi aku dah jadi. Jadi, apa boleh buat?