"Ini la punca dia! INI LA PUNCA DIAAA!!!" Aku hantuk tin sardin itu berkali-kali, sampai remuk redam. Sampaikan bocor tin itu. Kuah tomato dari dalam tin terpalit pada dahi aku. Sebahagiannya merecik ke lantai bersama darah yang menitik dari dahi. Kejap. Darah? Sebelum ni kalau aku luka, akan mengalir nanah saja. Sudah lama tidak tumpah sebarang cecair merah dari badan aku.Aku gesekkan tapak tangan pada dahi. Tapak tangan berpalit dengan cecair merah. Penuh! Aku lempar tin sardin ke sudut dinding. Aku berjalan mundar-mandir dari kiri ke kanan. Sesekali aku menggeleng kepala mengenangkan apa yang sudah aku lakukan sejak dari pasaraya sampailah ke rumah ini. Pandangan aku tiba-tiba terarah pada bilik stor. Aku menggeleng sekali lagi. Langkah kaki aku atur sampai ke depan peti ais. Aku buka pintunya, aku keluarkan rak dalam peti ais. Aku masuk dalam peti ais dan bertinggung. Pintunya aku tutup selepas itu. Aku pun tidak tahu apa yang aku sedang lakukan sekarang ini. Yang aku tahu, aku tak sanggup nak masuk semula ke dalam bilik stor. Aku tak sanggup nak hadap tubuh kaku milik Fi. Milik adik aku.
Di dalam peti ais ini, baru aku perasan. Tadi, aku sudah dapat berjalan lebih laju. Kaki aku tidak lagi tempang. Aku buka semula pintu peti ais. Aku keluar dari situ. Aku lihat seluruh tubuh aku tidak lagi pucat dan kebiruan. Tangan aku angkat ke muka, meraba-raba wajah sendiri. Tidak lagi terasa kasar dan merekah-rekah. Adakah aku sudah jadi manusia semula? Aku sudah sembuh? Tapi kenapa Sajati tak sembuh pun? Dia sudah dua kali makan otak. Bercakap fasal dia, tak semena-mena aku teringatkan sesuatu.
"Iiii ... kuuutt ... teee ... ooo ... riiii ... aaak ... kuuu ...." Aku tongkat dagu. Memang penat tunggu Sajati habis cakap. "Kiii ... taaa ... booool ... lelelelelele ...." Hah, otak Sajati sudah jem. Jem, sangkut-sangkut. Bukan jem nenas. Aku lempang dia sekuat yang mampu. Nanah tersembur keluar dari hidung dia, meleleh sampai ke dada. Lama juga dia bingung sebelum menyambung ayatnya.
"Kiii ... taaa ... boool ... leehh ... seem ... buuhh ... kaaa ... laaauu ... maaa ... kaaa ... nnn ... oooo ... taaakkk ..." Tak lama lepas itu, dia sambung sedikit lagi. "Haa ... puuss ... kaaa ... nnn ... aaa ... geee ... nnn ... daaa ... iiii ... luuu ... miii ... naaaa ... tiiiiiii!" Tangan kanannya perlahan-lahan diangkat ke udara.
Boleh sembuh kalau makan otak. Kemungkinan proses penyembuhan aku lebih pantas dari Sajati yang lebih lama jadi zombie berbanding aku. Sampaikan otak dia pun selalu jem. Aku tak tahu apa nasib dia sekarang. Sudah lama aku tidak lihat dia.
Sekejap aku fikirkan Fi dan mayatnya dalam stor, sekejap pula aku teringatkan segala perbualan panjang dengan Sajati. Aku mahu keluar dan kebumikan mayat Fi. Aku tak nak main humban saja mayat dia atas tanah, macam yang zombie lain buat. Tapi untuk aku keluar dan kebumikan dia, seakan mengundang zombie lain untuk bunuh dan makan otak aku pula. Aku sudah sihat. Pasti aku akan menjadi buruan zombie selepas ini. Mungkinkah aku patut hubungi Talian Bebas Zombie? Suruh mereka datang dan selamatkan aku?
Tapi, layakkah aku untuk hidup sihat sebegini selepas makan otak adik aku sendiri? Aku yang sebabkan dia berlari lintang-pukang dalam pasaraya. Aku yang buat kaki dia terseliuh lepas jatuh terpijak tomato. Disebabkan aku, dia mengengsot cari pisau dan tikam dada sendiri.
Aku terduduk di lantai. Aku pukul-pukul kepala sendiri. Darah di dahi yang sudah semakin kering tadi, kembali mengalir. Aku tahu aku tak layak untuk hidup. Tapi perlukah aku mati? Untuk hilangkan segala rasa bersalah yang bersarang dalam dada aku ini? Perlukah?
Pandangan aku segera diarah pada kaunter dapur. Ada deretan pisau yang berkilat matanya. Aku nak ambil pisau itu. Tapi entah apa yang berlaku, terasa pandangan aku jadi semakin malap. Aku rebah di lantai, terlentang. Sebab darah yang banyak hilang? Atau ajal aku sudah sampai? Baguslah. Aku sudah tidak mahu hidup lagi. Sebelum pandangan jadi gelap, aku sempat mengetuk kepala sendiri sekali lagi. Aku nampak bintang. Dan semuanya jadi gelap. Selamat malam, dunia.
***
"Malu-malu tapi mau
Kini baru ku tahu
Lama-lama jatuh cinta
Bersama akhirnya ....Beginikah rasanya?
Sakit asmara!
Awww! Nanananana ...."Aku terjaga apabila telinga terasa diganggu suara sumbang seseorang ... nak kata perempuan, macam bukan. Nak kata lelaki, macam lembut juga nadanya.
"Alhamdulillah. Bangun juga kau. Haa ... kau tak payah pening-pening mikir kau kat mana. Kau dekat Yayasan Anti Zombie Kebangsaan. Kami yang bawa kau ke sini." Sajati menunjuk ke arah beberapa manusia lain yang sedang merawat pesakit-pesakit macam aku.
Dengan mata yang terasa berpinar-pinar, aku cuba bangun dari katil tempat aku baring. Aku nampak bintang. Kepala rasa berpusing 360 darjah. Sakit!
"Tak payah bangun la, kawan. Baring je. Banyak darah dah hilang. Kau buat apa lepas kau sembuh? Ketuk kepala sendiri?"
"Fi ... adik aku. Aku bunuh adik aku, Sajati."
"Aku tahu ... semalam kami dah kebumikan dia. Sebenarnya waktu kami buat rondaan, kami nampak kau bawa mayat masuk rumah. Aku tahu itu kau, tapi masa tu aku tak sangka pula yang kau bawa tu Fi. Lepas itu rumah kau bunyi macam kena serang raksasa. Lepas semuanya reda, dah senyap, kami pecah masuk rumah kau. Selamatkan kau."
Tak semena-mena aku rasa sebak. Sekali lagi aku teringat akan Fi. Terhinggut-hinggut bahu menahan esakan. Sajati memeluk bahu aku. Aku rasa lain macam. Tapi kata-kata dia menenangkan hati aku.
"Bukan salah kau. Ingat tu. Kau bukan sengaja. Sebenarnya kau beruntung. Sebelum ni tak ada seorang pun yang sembuh dengan hanya memakan satu otak saja. Aku sendiri pun, lepas makan tiga otak baru aku sembuh. Tapi itulah, keberuntungan kau itu dibayar dengan harga yang cukup tinggi. Kau kehilangan adik kau sendiri. Tapi ... bukan sepenuhnya salah kau."
Aku mengongoi. Hidup apa macam ni? Kalau aku tidak tahu apa maknanya untuk terus hidup? Zombie di mana-mana. Dunia kian runtuh dan rosak. Untuk semuanya kembali pada keadaan asal, entah bila.
"Mungkin kau rasa kau tak layak hidup. Mungkin kau tidak nampak apa gunanya untuk terus hidup dalam dunia yang teruk sebegini. Tapi suatu hari, kau dan aku akan tahu, apa hikmahnya di sebalik semua ini. 'Dia' lebih tahu."
Nota :
1. Aku berjalan mundar-mandir dari kiri ke kanan. Sesekali aku menggeleng kepala mengenangkan apa yang sudah aku lakukan sejak dari pasaraya sampailah ke rumah ini = show don't tell (dia sedang gelabah).2. "Iiii ... kuuutt ... teee ... ooo ... riiii ... aaak ... kuuu ...." Aku tongkat dagu. Memang penat tunggu Sajati habis cakap. "Kiii ... taaa ... booool ... lelelelelele ...." Hah, otak Sajati sudah jem. Jem, sangkut-sangkut. Bukan jem nenas. Aku lempang dia sekuat yang mampu. Nanah tersembur keluar dari hidung dia, meleleh sampai ke dada. Lama juga dia bingung sebelum menyambung ayatnya. = flashback.
3. Kepala rasa berpusing 360 darjah = hiperbola.
P/s : Korang perasan tak, dari awal sampai habis, aku tak bagitahu pun siapa nama watak utama 'aku' aka zombie sardin ni. Hehehe...
YOU ARE READING
Zombie Tak Rela (COMPLETED)
RandomAku tak nak pun jadi zombie. Tapi aku dah jadi. Jadi, apa boleh buat?