Bunyi nada dering telefon pintarku itu membingitkan telinga. Menyedarkan aku dari lena yang baru bertamu. Dalam kegelapan, tangan meraba-raba. Nampak telefonku bercahaya. Baru nak tengok siapa pemanggil, panggilan itu mati. Tak sempat nak jawab.
Beberapa saat kemudian, telefonku kembali berdering. Aku melihat nama si pemanggil.
Lucca? Ada apa dia telefon aku malam-malam macam ni? Bukan malam dah ni. Dah pagi. Jam satu pagi. Janganlah dia cakap Dheo buat kerja gila suruh aku pergi kemas rumah dia. Maklumlah... Perjanjianku dan Dheo menyatakan kerjaku merangkumi housekeeping whatever, whenever and wherever dia nak.
Walaupun bermacam soalan menggasak kepala, ikon hijau tetap kugesek. Telefon dilekapkan di telinga.
"Helo. Salam satu pagi." Dalam mamai, aku masih menyapa. Sempat juga aku kenakan Lucca. Mohon dia sedar dan tengok jam berapa dia telefon aku ni.
"Signora, please open the door." Suara Lucca bagaikan tergesa-gesa. Macam tengah semput pun ada.
"Open the door? Door mana? Rumah saya?" soalku. Mataku dah luas. Alert. Dah hilang segala rasa kantukku tadi.
"Si, signora. Open the door. We are outside."
Dan talian diputuskan. Aku tenung telefonku.
We? Siapa lagi yang ada bersama Lucca? Yang penting, kenapa datang rumah aku awal pagi macam ni?
Tanpa menghiraukan soalan yang tak berjawab, aku tetap menggeliat bangun. Capai kardigan hitam dan selendang hitam untuk menutup auratku. Lepas siap, aku menapak turun ke bawah.
Tangan capai segugus kunci yang tersangkut di tepi tangga. Aku mencari-cari kunci pintu utama rumah. Bila dah jumpa, aku masukkan ke lubang kunci sebelum tombol pintu rumah ditarik. Daun pintu aku kuak perlahan.
Hampir terbeliak mataku bila melihat Lucca dan Dheo yang berada di depan rumahku. Bukan itu yang buatkan aku terkejut. Tapi keadaan mereka berdua. Peluh jelas di dahi masing-masing. Rambut kedua-duanya macam baru lepas bergaduh. Berserabai. Dahi Lucca pun aku nampak sedikit berdarah.
Lucca sedang memapah Dheo. Dan bila mataku melorot pada tubuh Dheo, tangan Lucca yang mendarat di situ jelas kemerahan. Apa tu? Darah? Rasa macam nak putus nyawa aku melihatnya. Reaksi spontanku, aku mahu menjerit.
"Don't scream." Amaran keras dari Dheo. Dia bagaikan tahu apa yang aku mahu lakukan.
Terus aku tekup mulut dengan tapak tangan. Cuba kawal nafas yang dah mula tak teratur. Yalah... Kita tak selalunya terima tetamu yang berlumuran darah. Pukul satu pagi pula tu.
Wajah Dheo berkerut kesakitan. Dheo sakit! Tapi aku masih kaku. Tak tahu nak buat apa.
"Please help me." Kata-kata Lucca itu buatkan aku tersedar dari fasa pegunku. Laju aku angguk.
Daun pintu aku kuak makin luas. Memberi ruang kepada mereka berdua untuk masuk. Lucca memapah tubuh tinggi Dheo ke sofa. Bila tiba di sofa, perlahan-lahan Dheo didudukkan. Wajah Dheo sesekali berkerut kesakitan.
"Apa jadi?"
Lucca tidak mempedulikan pertanyaanku. Dia hanya fokus kepada Dheo. Bagaikan aku tak wujud. Aku tengok Lucca pantas bertindak. Baju kameja Dheo yang dah tak nampak warna itu dikoyak dengan rakus, mendedahkan kawasan tepi perut Dheo.
Sekali lagi aku tekup tangan ke mulut. Mata melihat darah merah masih mengalir keluar dari tempat itu. Lucca pula tekap tempat itu dengan baju Dheo. Menghalang Dheo dari hilang darah.
Nak pengsan!
"Dia kena tembak!" kataku.
"Correct. You get ten mark, tesoro." Dalam kesakitannya, sempat lagi Dheo menyindirku.

ANDA SEDANG MEMBACA
DHEO'S
General FictionTajuk: DHEO'S Penulis: Anjell Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-090-8 Muka Surat : 672 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Julai 2018