PROLOG

795 25 1
                                    


Ranking: #201 THRILLER  #54 PSIKO


"CIK! Tunggu aku, cik! Jangan tinggalkan aku!"

Dia boleh sahaja memekakkan telinganya dan berlari pergi meninggalkan segala kekalutan yang tercetus di situ tapi entah mengapa dia menghentikan langkahnya lalu menoleh ke belakang. Dia memandang lurus ke arah lelaki bongkok yang terhinggut-hinggut cuba mengejar langkahnya. Walaupun lelaki cacat itulah yang telah banyak menolongnya selama ini tapi dia masih jijik memandang wajahnya yang hodoh.

"Lembaplah kau ni! Kau nak kita mati rentung ke? Sekarang kau bagitahu aku, lorong mana yang betul, ni? Mana jalan keluar???" Dia memekik sekuat-kuat hatinya ke arah Si Bongkok.

Di atas sana, situasi huru-hara. Api makin menggila. Marak memamah apa sahaja yang menghalang laluannya. Sedangkan di sini, di lorong bawah tanah ini, dia dan Si Bongkok yang cuba lari daripada kebakaran itu pula terperangkap dalam laluan berselirat yang mengelirukan. Celaka!

Tiba-tiba...

Bammm!!!

Dia terdengar satu bunyi letupan yang kuat di atas sana. Mungkin tong gas di dapur sudah meletup dimamah api. Lorong bawah tanah itu turut bergegar membuatkan dia dan Si Bongkok terhoyong-hayang. Ianya tak ubah seperti satu gempa bumi.

Kemudian, apa yang dibimbangkannya menjadi kenyataan. Hidungnya mula tersedut asap.

Dia menerpa ke arah Si Bongkok.

"Mana jalan keluar? Mana? Cakap cepat. Hoi, cakaplah! Aku tak nak mati hangus dalam rumah ni!" jerkahnya sambil menggugat bahu Si Bongkok.

Dia langsung tidak bersedia menghadapi situasi seterusnya. Tanpa dia duga, Si Bongkok menusukkan jarum suntikan ke lengan kanannya. Cecair jernih yang disuntik ke venanya itu memberi kesan hampir serta-merta. Tangan kanannya mula terasa kebas. Kemudian, rasa kebas itu menjalar ke seluruh tubuhnya bermula daripada bahagian sebelah kanan.

Terbelalak matanya merenung Si Bongkok.

"Hey, apa yang kau buat pada aku, hah?" Dia menyergah.

Si Bongkok tidak menjawab. Dia hanya memandang lurus ke arah perempuan yang semakin lemah di depannya.

"Bongkok..." Dia bersuara lemah sebelum jatuh terjelepok ke lantai.

Seluruh tubuhnya longlai. Dia langsung tidak dapat menggerakkan jari-jemarinya. Dia hanya terbaring di situ, mungkin menunggu maut bersama Si Bongkok yang tanpa diduga telah mengkhianatinya.

Segala penat lelahnya selama ini sia-sia sahaja. Ye, sia-sia! Dia akan mati berkubur di bawah rumah agam itu. Air matanya meleleh.

Inilah kesudahannya. Aku akan menurut jejak Puan Chempaka dengan berkubur di rumah ini, bisik hatinya. Seterusnya aku akan menjadi penunggu di sini!

Tiba-tiba berlaku satu perkara yang sangat mengejutkan. Lelaki yang disangka cacat serta lemah itu telah menaikkan dia ke belakangnya. Kemudian, Si Bongkok terhinggut-hinggut meninggalkan tempat itu dengan memikul dia di belakangnya...


----------------------- bersambung ---------------------

PEMBACA BUDIMAN: UNTUK MAKLUMAN SEMUA, NOVEL INI SUDAHPUN DITERBITKAN OLEH PENULISAN2U. 


Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
PSIKOWhere stories live. Discover now