BAB 6
HAFIZ memandu Viva hijau pucuk pisang miliknya menuju ke Restoran Bismillah, restoran mamak yang biasa dikunjungi setiap kali hendak bertemu Razman. Dia memandu ke sana dengan tenang kerana keadaan jalanraya yang sudah tidak sesak seperti halnya pada waktu siang. Dalam pada itu, hatinya tertanya-tanya juga siapakah yang akan ditemuinya nanti selain daripada Razman?
Lebih kurang 20 minit kemudian, dia semakin menghampiri destinasi yang sedang dituju. Dia membelokkan keretanya ke kanan lalu memasuki sederet kawasan kedai. Dia terpaksa memarkir keretanya agak jauh sedikit kerana kesemua petak parkir di depan restoran itu sudahpun penuh.
Sebaik sahaja keluar dari kereta, dia nampak Razman sedang berdiri tegak di depan restoran seolah-olah sedang menunggu seseorang. Man tengah tunggu aku agaknya, bisik hati Hafiz. Dia melangkah pantas menuju ke arah kawan satu sekolahnya itu.
"Sampai pun kau!" desis Razman. Hafiz ketawa.
"Kan aku dah cakap nak datang."
"Kau masuklah dulu. Aku dah 'cop' meja biasa, yang kat hujung, tu." Arah Razman.
"Kau? Tak masuk sama?" soal Hafiz.
"Aku tengah tunggu dia orang sampai, ni. Dia orang tak biasa dengan restoran ni." Beritahu Razman.
"Siapa yang kau tunggu, ni?" Hafiz tertanya-tanya. Tetapi Razman tidak mengendahkannya sebaik ternampak kemunculan sebuah Honda Accord berwarna hitam menghampiri kawasan restoran itu.
Mata Hafiz cuba mengintai siapakah gerangannya yang berada di dalam kereta itu tetapi gagal kerana terlindung dek cermin hitamnya. Dia mengambil keputusan untuk menunggu bersama-sama Razman di depan restoran itu. Seperti juga dia, pemandu Honda Accord hitam itu terpaksa memarkir keretanya agak jauh sedikit daripada restoran.
Kemudian, Hafiz nampak dua orang perempuan melangkah keluar dari perut kereta lalu menuju ke arah mereka. Dari tempatnya berdiri dia tidak dapat mengecam wajah mereka.
"Siapa perempuan dua orang tu, Man?" soalnya ke arah Razman.
Razman menoleh ke arahnya sambil tersenyum sumbing.
"Heh, kalau iye pun sabarlah sikit. Tunggu sampai dia orang datang dekat. Kalau tak kenal jugak, tak tahulah nak cakap." Kata Razman yang kelihatan ceria amat.
"Hey, Man! Kita orang dah sampai!" sapa perempuan bertubuh langsing yang kelihatan ayu dengan baju kurung polos rona biru cair.
"Lama ke kau tunggu kita orang, Man? Maaflah, ye." Teman di sisinya pula bersuara.
"Ah, kau orang berdua punya pasal, sampai esokpun aku sanggup tunggu!" sahut Razman sambil berdekah. Kemudian, dia menoleh ke arah Hafiz di sisinya.
"Kau orang kenal tak 'mamat' ni?" kata Razman sambil menepuk bahu Hafiz.
Dua pasang mata serentak menjunam ke wajah Hafiz.
"Macam kenal! Awak... Hafiz, kan?" teka Hanna Hanani, ceria.
Hafiz mengangguk. Dia tidak sangka rupa-rupanya malam itu dia akan bertemu dengan dua orang teman satu sekolahnya dahulu yang telah lama tidak ditemuinya iaitu Hanna Hanani dan Baizura.
"Hey, Hafiz! Dah lama kita tak jumpa, kan? Tak sangka malam ni dapat jumpa awak dan Man kat sini." Baizura memakukan matanya ke arah Hafiz.
Hafiz ketawa kecil.
"Ye, memang dah lama tak jumpa. Sejak habis SPM, masing-masing bawa haluan sendiri." Hafiz bersetuju.
"Takkan kita nak tercegat aje kat depan restoran, ni? Jom!" Razman mendahului teman-temannya melangkah masuk ke dalam restoran.
YOU ARE READING
PSIKO
Mystery / ThrillerMENGISAHKAN TENTANG DENDAM KESUMAT SEORANG GADIS OBES TERHADAP KAWAN-KAWAN YANG TELAH MENCELA DAN MENGHINANYA. MEREKA SEMUA TIDAK DAPAT MELEPASKAN DIRI DARI DENDAMNYA. NAMUN, ADAKAH DI ANTARA MEREKA YANG TERSELAMAT? JEMPUT BACA...