Bab 4

9.4K 338 6
                                    

SUDAH hampir dua minggu Arissa dan Haris bergelar pasangan suami isteri. Kini mereka sedang berbulan madu di Bali. Penginapan bulan madu mereka ini adalah hadiah perkahwinan yang diberikan oleh ibu bapa Haris. Sepanjang mereka di Bali, Arissa terasa disayangi oleh Haris.

Arissa tersenyum melihat pemandangan pantai dari balkoni hotel tempat mereka menginap. Mata terpejam rapat sambil menghirup udara yang segar. Ini kali pertama dia berkunjung ke luar negara.

Hampir terjerit Arissa. Tiba-tiba saja lelaki itu memeluk tubuhnya dari belakang.

“Abang dari mana?” soal Arissa sambil menoleh sedikit ke belakang.

“Abang joging sekejap. Sayang lapar tak?”

“Lapar juga.”

“Nanti abang pesan room service. Abang malas nak turun. Lebih baik luangkan masa dengan bidadari abang ni.”

Arissa menunduk malu. Tahu sangat apa yang dimaksudkan oleh si suami.

“Sayang buat apa dekat sini? Sampai abang panggil pun Rissa tak sedar.” Bahu isterinya yang terdedah itu dicium lama. Arissa ketawa kegelian.

Arissa berpaling menghadap suaminya. Leher lelaki itu dirangkul mesra.

“Abang ada panggil Rissa ke? Rissa tak perasan.”

“Ya. Banyak kali abang panggil tapi sayang langsung tak menyahut.” Hidung isterinya dicium sekilas.

“Sorry. Mungkin Rissa terlalu menghayati pemandangan di sini. Kalau abang nak tahu, seumur hidup Rissa, ini kali pertama Rissa dapat pergi ke luar negara. Terima kasih abang sudi bawa Rissa ke sini,” luah Arissa.

Tersenyum Haris dengan ucapan ikhlas isterinya.

“Sama-sama sayang. Abang cuma bawa Rissa ke sini, yang belanja kita, daddy dan mommy.” Sempat lagi Haris bergurau.

Arissa turut sama tergelak. Esok mereka akan pulang ke Malaysia. Menurut suaminya, buat sementara waktu ini, Arissa akan tinggal di rumah keluarganya.

Haris juga akan mula bekerja menggantikan tempat Dato’ Irfan. Jika ditanya pendapat dia, Arissa lebih selesa tinggal bersama mak long. Namun dia tak mampu menolak permintaan suaminya. Nanti apa pula kata ibu bapa mentuanya.

“Jom kita masuk ke dalam. Cuaca makin sejuk ni.”

Tubuh kecil isterinya dicempung dan dibawa masuk ke dalam bilik. Gurau senda dan gelak ketawa mereka memenuhi bilik tidur mereka.

❤️

TERSENYUM LEBAR Datin Heliza saat menerima hadiah yang diberi oleh menantu tunggalnya.

“Cantiknya kain ni. Pandai menantu mommy pilih,” puji Datin Heliza. Dia benar-benar berkenan dengan kain sulam yang dihadiahkan oleh Arissa.

“Rissa cuma pilih aje mommy, tapi yang bayarkan Abang Haris.” Arissa melirik ke arah si suami. Sengaja dia ulang ayat yang sama seperti Haris tempoh hari.

Tergelak mereka yang berada di ruang tamu itu.

“Duit abang, duit isteri abang juga.” Haris memaut bahu si isteri.

Arissa hanya menjeling manja mendengar kata-kata manis Haris. Gembira Dato’ Irfan melihat anak dan menantunya kelihatan bahagia.

“Bila Haris cadang nak masuk kerja? Daddy sebenarnya rasa tak sabar sangat nak berehat ni.”

Dato’ Irfan sudah lama ingin melihat anak tunggalnya menerajui perniagaan hotel mereka. Hanya Haris sahaja warisnya yang ada.

“Insya-Allah, minggu depan Haris masuk kerja. Ada beberapa urusan Haris yang belum selesai. Sebenarnya Haris bercadang nak bawa Rissa pindah ke rumah kami,” cadang Haris.

Terkejut Arissa mendengar cadangan Haris. Wajah Datin Heliza turut berubah.

“Pindah?” soal wanita itu.

“Ya, mommy. Haris nak tinggal dekat rumah sendiri bersama Rissa.”

“Mommy baru nak bermanja dengan Rissa. Cepatnya Haris nak bawa Rissa berpindah. Tak boleh ke duduk dengan kami sebulan dua dulu?” pujuk Datin Heliza.

“Biarlah mereka nak berdikari. Mereka tentu nakkan privacy,” celah Dato’ Irfan.

Sebagai orang tua, dia hanya akan menyokong keputusan anak tunggalnya. Mungkin lebih baik mereka tinggal berasingan supaya Haris lebih bertanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Mommy janganlah sedih. Haris janji akan bawa Rissa ke sini bila ada masa terluang.”

“Yalah. Jangan pula tak datang,” pesan Datin Heliza.

“Kami naik ke bilik dulu. Mata pun dah mengantuk ni. Jom sayang.” Tangan isterinya diraih. Arissa hanya menurut langkah suaminya ke tingkat atas.

Tersenyum Datin Heliza melihat cara Haris melayani Arissa. Sebelum ini, dia susah hati memikirkan penerimaan Haris terhadap Arissa. Syukur lelaki itu bersetuju dengan pilihannya. Sebagai seorang ibu, dia hanya mahukan yang terbaik buat anaknya.

🌹🌹🌹

ARISSA MASIH berdiam diri. Haris duduk di sisi isterinya. Bukan dia tidak sedar wajah Arissa berubah mendadak ketika dia menyebut tentang rancangannya berpindah.

“Sayang marah abang?”

Arissa menoleh ke sebelah.

“Kenapa abang tak beritahu Rissa tentang rancangan abang? Nasib baik mommy dan daddy tak tanya Rissa apa-apa,” luah Arissa dengan perasaan kecewa.

Haris tersenyum nipis. Pertama kali isterinya merajuk. Bahu Arissa dirangkul mesra.

“Abang sebenarnya nak buat kejutan. Tak sangka abang terlepas cakap.”

“Betul?”

“Ya, sayang. Abang minta maaf tentang hal tadi. Sebelum berkahwin lagi, abang memang dah rancang nak tinggal sendiri. Abang tak nak bergantung dengan orang tua. Umur abang dah 27 tahun. Dah tentu abang nak hidup berdikari.”

Kagum Arissa. Walaupun suaminya dari keluarga berada, lelaki itu tidak suka mengambil kesempatan terhadap orang tuanya. Pinggang lelaki itu dirangkul erat.

“Sayang marahkan abang lagi?” sakat Haris sambil menunduk mencari wajah isterinya.

“Tak. Rissa tak marah.” Malu-malu Arissa menjawab.

Keduanya saling tersenyum.

💕

Masihkah Ada Cinta Buat Aku? ( PBAKL 2023 )Where stories live. Discover now