Bab 12

7.4K 285 13
                                    

Beberapa tahun kemudian…
ARISSA tergesa-gesa menyiapkan Haizal ke sekolah. Anak sulungnya sudah berusia lima tahun manakala anak keduanya iaitu Haufa Iris sudah berusia dua tahun.

“Cepat sikit sayang. Pak Cik Man dah tunggu tu.” Geram Arissa. Haizal masih lagi terkial-kial untuk memakai kasut.

“Kejap. Hazel nak pakai kasut ni.” Petah Haizal menjawab.

Arissa menggeleng perlahan. Walaupun anaknya sudah petah bercakap, namun nama Hazel masih melekat di bibir si anak. Sudah puas mereka cuba menyuruh anaknya menggunakan gelaran Haizal tapi dibantah keras oleh si anak.

Selalunya, Haris yang menghantar anak mereka. Disebabkan Haris perlu ke Johor, terpaksalah Azman menghantar anak mereka ke sekolah.

Walaupun Arissa sudah mempunyai lesen kereta hampir setahun yang lepas, dia tidak dibenarkan memandu tanpa Haris di sisi. Oleh sebab itu, Haris telah mengupah Azman sebagai pemandu peribadi keluarganya.

Pak Tam dan Mak Nah pula sudah lama berhenti kerja dan pulang ke Terengganu kira-kira setahun yang lepas. Alasan yang diberi oleh Mak Nah kepada Haris, mereka mahu berehat di kampung.

Tanpa pengetahuan Haris, Arissa telah menyuruh Mak Nah dan Pak Tam untuk berhenti kerja. Lagipun wanita itu sudah tidak boleh menjaga Haizal dan Iris. Bagi Arissa, pasangan suami isteri itu hanya menyusahkan mereka sekeluarga.

Haizal yang paling bersedih ketika pemergian kedua-dua orang tua itu. Sejak dari kecil lagi Haizal sudah dimanjakan oleh mereka berdua. Kehilangan kedua-dua orang tua itu meninggalkan kesan mendalam di hati Haizal.

Selepas menghantar Haizal masuk ke dalam kereta, Arissa berehat di ruang tamu.

“Bibik!” laung Arissa.
Tidak lama kemudian muncul seorang wanita yang berbangsa Indonesia di ruang tamu.

“Ya, Bu Rissa.”

“Pergi tengok Iris. Kalau dia dah bangun, mandikan dia.”
Pembantu itu mengangguk faham. Arissa bersandar selesa di sofa. Hari ini dia sudah berjanji untuk berjumpa seseorang.

Hampir setengah jam menunggu, tetamu yang ditunggu sudah tiba. Arissa bergegas membuka pintu pagar. Kehadiran tetamu itu disambut mesra.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummusalam, Maria.”

Keduanya saling berpelukan. Hampir tiga tahun juga dia tidak berjumpa dengan Maria selepas gadis itu menyambung pelajarannya dalam bidang fesyen.

“Cantiknya kau sekarang. Dah anak dua orang pun, masih lagi pandai bergaya,” puji Maria dengan ikhlas.

Arissa kini semakin bijak bergaya demi menjaga penampilan suaminya. Namun dirinya masih lagi belum bersedia untuk berhijab. Rambutnya kini sudah dipotong pendek walaupun Haris kurang gemar gaya potongannya. Jika boleh, Haris mahu Arissa menyimpan rambut yang lebih panjang.

“Mestilah kena pandai bergaya Maria. Nanti silap-silap, ada pula yang nak caras suami aku tu.”

“Ke situ pula. Haris tu setia orangnya. Kau jangan risaulah.”

“Lelaki ni, kita kena jaga-jaga juga Maria. Sebab tu aku tak nak selekeh depan suami aku tu.” Arissa tidak mahu kalah.

Perbualan mereka terhenti apabila Bibik Sutinah menghantar minuman kepada mereka.

“Jemputlah minum, Maria,” pelawa Arissa setelah orang gajinya beredar.

Maria membasahkan tekaknya terlebih dahulu. Dia sebenarnya agak gementar untuk memberitahu tujuan kedatangannya ke sini.

Masihkah Ada Cinta Buat Aku? ( PBAKL 2023 )Where stories live. Discover now