🌲036_

75 14 0
                                    

"Tunggu. Papa belum habis cakap lagi."

Dafi menarik tangan Clara yang sudah beria bangun dari tempat duduk. Entah kenapa saat tangan digenggam papanya, menjalar amarah dalam diri Clara. Secara automatik, tangannya direntap sedikit kasar. Mahu tak mahu, Clara terpaksa duduk kembali.

Dafi tersentak sedikit. Riak wajahnya masih cuba dikawal. Tak mahu membalas kekasaran terhadap seorang anak yang sedang memberontak. Namun, apa yang Clara tak puas hati pun dia tak pasti. Sejak akhir ini Clara asyik mengkuarantinkan dirinya dalam bilik. Mahu bertemu empat mata pun susah dengan anak tunggalnya itu.

"Peperiksaan Clara bila?"

"Minggu depan."

"Macam mana sekolah? Okey?"

"OK."

"Kawan-kawan? Ada yang buli anak papa lagi ke? Clara masih berkawan dengan Aisy? Dia macam mana? Dah lama tak nampak Aisy," masih bernada lembut dan memujuk, Dafi menyoal.

Hati Clara bagai disiat-siat pisau belati. Tak cukup dengan itu, direndam pula dalam air panas yang mendidih sebelum ditumbuk lumat. Dah kenapa papa buat-buat bodoh pula ni? Amuk Clara bengang.

"Aisy. Masuk hospital."

Terbeliak mata Dafi. Dia mengurut dadanya berkali-kali. "Betul ke? Sejak bila? Patutlah anak papa pelik semacam. Risaukan Aisy, ya?"

Dalam keterpaksaan, Clara mengangguk kecil.

Jikalau itulah permainan papanya, Clara akan turut serta. Dia mahu tahu sejauh mana lakonan papanya bertahan. Dan apa motif lelaki itu memperlakukan Aisy sebegitu perlu disiasat dengan lebih terperinci. Clara nekad.

* * *

"Aku setuju. Aku setuju. Aku setuju," tegas Clara dengan penuh yakin.

"Jadi?" Kening Ilham dijongket sebelah. Dia memandang Clara sekilas sebelum kembali membelek novel di tangan.

"Aku nak sertai kumpulan kau orang. Terimalah aku. Aku sanggup buat apa saja. Janji." Clara siap mengangkat tangannya gaya seperti sedang bersumpah.

"Tengoklah dulu. Apa yang kau boleh bagi untuk kami?" Ilham menguji reaksi Clara. Jari telunjuknya menolak tangan Clara ke tepi.

"Aku ... aku tak pasti apa yang aku boleh sumbangkan untuk kumpulan kau orang." Bola mata menjuling ke atas dan mulut memggerenyot sedikit apabila Clara cuba mencari apakah kegunaan dirinya kelak.

Kembali menatap Ilham, Clara menjadi sedikit gusar. Mungkin dia sudah hilang lima markah daripada penilaian si Ilham.

"Tapi, akan aku usahakan. Janji." Clara terdiam seketika. Masih berusaha keras mencari alasan paling kukuh supaya diterima oleh Ilham. Terfikirkan sesuatu, Clara pantas memetik jari. Dia tersengih. Bahu Ilham ditampar menzahirkan rasa teruja dalam diri.

"Sakitlah, cerdik!"

"Aku ialah orang yang paling dekat dengan papa aku. Ah! Di rumah, aku boleh korek rahsia papa yang mungkin kau orang tak tahu. Manalah tahu ada informasi yang berguna pada masa hadapan nanti?" Clara memancing perhatian Ilham.

Novel di tangan ditutup Ilham sebelum diletakkan atas meja. Jemarinya ditautkan bersama. Dan satu jari telunjuk naik menggaru pelipisnya yang langsung tidak gatal.

"Apa kaitan papa kau dalam hal ini?" Wajah seperti sedang keliru ditayangkan kepada Clara.

Kali ini Clara terdiam seribu bahasa. Rusuhan hormon adrenaline mula bergiat aktif dalam tubuhnya. Dia menyoal diri sendiri, salah ke apa yang aku cakap?

"Kenapa dengan papa aku?" Entah bagaimana soalan yang tidak mencapai tahap kecemerlangan itu jugalah yang meluncur laju dari bibir Clara.

"Manalah aku tahu. Tiba-tiba je kau bangkitkan soal papa kau dalam hal ni. Bila aku tanya apa kaitan dengan papa kau, kau tanya aku balik. Tidak ke pelik itu?" Kesimpulan Ilham kena tepat atas muka Clara.

Gadis itu hanya mampu menggigit bibir. Ilham tersenyum sinis. Masa bagaikan terhenti buat mereka berdua memikirkan perihal yang mula berbelit dalam kepala.

Namun diam mereka tidak lama apabila kedengaran suara riuh-rendah daripada luar kelas.

"Sedap sangatlah bihun mak cik kantin tu buat. Makan tiap hari pun tak rasa muak langsung."

"Tapi kalau dia letak lagi banyak ayam racik lagi sedap."

"Tak bukan itu masalahnya. Kalau dia letak sayur-sayuran macam rebung, sawi dan tomato lagi berdesup kesedapan bihun sup tu!"

Sekumpulan pelajar perempuan mula menapak masuk ke dalam kelas. Keriuhan suara dan gelak tawa mereka bersatu menggegarkan kelas. Berkenaan bihun sup saja mereka boleh tulis tiga buah novel. Terlalu banyak isu yang boleh dibangkitkan berkenaan bihun sup barangkali.

"Apakah semua ini!" jerit Aira tiba-tiba sambil jari telunjuk menghala ke arah Ilham dan Clara. Serentak dengan itu, semua mata memandang mereka berdua.

Mereka yang lain hanya ketawa sambil berbisik sesama sendiri. Clara tidak pasti sama ada mereka menganggap situasi itu sebagai hal yang serius atau hanya sebagai bahan jenaka.

"Oh, tidak! Suspek utama kes pembunuhan Zea dah pandai nak bereksprimentasi dengan cinta. Aku ingatkan dengan pisau pemotong daging je. Dah tukar skop kerja, ya? Dah tak nak main bunuh-bunuh orang?" Maya mencelah.

Kata-kata Maya serta-merta membisukan bisikan dan mematikan sengihan kerang busuk mereka yang lain. Clara turut menjadi kaku. Matanya dikunci manggakan di lantai.

Dia fikir perkara itu sudah berkubur lama dalam ingatan masing-masing memandangkan Aira dan Maya sudah tidak lagi mengganggu ugutnya. Tidak sangka ia dilontarkan kembali dan kali ini di hadapan pelajar lain.

"Maya, apa yang kau merepek ni. Tak lawaklah. Jangan sebut nama Zea lagi. Agak sensitif bagi kita sebagai rakan sekelas arwah. Dan tuduhan itu sudah melampau untuk Clara. Kes tu masih dalam siasatan polis, kan?" Hadira bersuara bagi meredakan suasana tegang.

"Rilekslah. Aku gurau je pun."

"Tak. Masalahnya, kenapa nama Clara juga yang kau nak sebut? Dan seperti yang Hadira cakap, hal ini hal yang sensitif. Kes bunuh, okey. Bukannya benda main-main," sampuk Zati turut bernada tegas.

"Okey! Aku minta maaf." Maya memandang tepat ke arah Clara. Keningnya diangkat tinggi. "Puas hati?"

Ilham menghela nafas panjang. Dia bingkas berdiri. Sebelum berlalu pergi, Ilham sempat berpesan kepada Clara, "petang nanti kau datang ke tempat kami. Aku tunggu."

Di muka pintu kelas, Ilham berselisihan dengan Syifa'. Kelat saja wajah gadis itu.

Dalam tempoh dua saat, mata mereka bertembung sebelum masing-masing memalingkan muka.


* * *

Seperti apa yang diminta Ilham, petang itu Clara selamat tiba di rumah Uncle Lewis. Spesifiknya, dia sudah pun duduk dengan selesa di ruangan tengah bilik kerja mereka. Dia sudah bersedia untuk apa saja soalan yang bakal diajukan.

"Clara dah bersedia untuk sertai kami?" soal Uncle Lewis tenang.

"Ya. Bersedia."

"Baik. Kamu diterima."

"Hah?"

"Clara Arianna, penyertaan kamu diterima," ulang Uncle Lewis.

"Tahniah, Clara! Tahniah." Hans dan Feyya beria-ia mengucapkan selamat datang kepada ahli baru mereka. Sama seperti Uncle Lewis, melebar sahaja senyuman mereka.

Ilham hanya menepuk tangannya. Tidak melebih-lebih membuang air liur sendiri. Dia memandang Syifa' yang asyik memejamkan mata. Masih belum berubah dan entah bila gadis itu hendak berubah, Ilham kurang pasti.

"Terima kasih semua!" ucap Clara sambil menjeling Ilham tajam.

Ilham lantas menggerakkan mulut menyebut 'apa'. Dia buat tidak tahu sahaja ketika Clara terkumat-kamit yang jelas memaki dirinya.

Rupanya agenda tersembunyi kau je yang acah nak uji aku tadi. Dasar!

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now