🌲035_

78 14 0
                                    

Sunyi dan sepi saja sekeliling kawasan rumah lama itu. Tidak kelihatan mana-mana kelibat adik-adik Aisy yang selalunya betkeliaran pada waktu petang. Dijenguk belakang rumah, tiada. Pintu depan dan dapur juga tertutup rapat.

"Keluar pergi mana pula." Memuncung bibir Clara saat berpaling ke sisi.

Kereta buruk Pak Akob yang tersadai sayu tanpa kedua-dua tayar belakang dipandang sekilas. Badan kereta model lama itu sudah hampir tinggal rangka. Clara berfikir sejenak. Jika kereta itu sudah tidak dapat digunakan, bagaimana mereka sekeluarga boleh keluar?

Bunyi pintu berkeriut dari dalam rumah menghentikan langkah Clara yang sudah mula bergerak pergi.

"Ashraf?" panggil Clara ketika wajah adik bongsu Aisy terjengul keluar. Kepalanya yang kecil seperti kacang hijau di balik pintu mengukir senyuman pada bibir Clara.

"Kak Ara. Sini. Mari sini," bisik Ashraf. Bersungguh tangannya memanggil Clara.

"Mana yang lain? Mak Leha ada kat dalam?" Leher dipanjangkan mahu mengintip ke dalam rumah.

Ashraf menggeleng. "Mak tak ada. Ada orang bawa pergi mak dengan abah. Mak suruh kami kunci pintu rumah semua. Mak pesan jangan keluar kalau ada orang datang. Kami pun duduk senyap-senyap je dalam bilik," panjang Ashraf berceloteh.

"Habis tu kenapa Ashraf keluar juga? Tak baik tau. Mak sudah bagi amanah tu. Jangan keluar. Kenapa degil?"

"Ashraf budak baik. Asraf tak degillah. Ashraf cuma nak tanya Kak Ara sesuatu. Nampak je Kak Ara datang terus keluar."

"Nak tanya apa?"

Ashraf menyeluk poketnya lalu mengeluarkan sekeping gambar. "Pak cik dalam gambar ni abah Kak Ara, kan?"

Kepingan gambar bertukar tangan. Ashraf betul. Itu merupakan gambar papanya, dalam kot putih makmalnya sambil tersenyum. Di sisi lelaki itu pula ada seorang gadis yang turut bermanis muka.

Aisy.

Apa yang menghentak benak Clara adalah tentang tanda pangkah berdakwat merah yang dilukis tepat pada wajah papanya. Ada juga kesan tebukan pen hitam yang mencacatkan gambar itu.

"Dari mana Ashraf dapat gambar ni?"

"Dalam bilik Kak Long. Pak cik inilah yang datang tadi. Bawak mak dan abah keluar. Mak yang bagitahu pak cik ini abah Kak Ara. Lepas tu mak cakap pak cik ni orang jahat."

Clara terdiam seketika. Apa sebenarnya yang dah berlaku?

"Bila dia orang keluar? Dah lama?"

"Dia orang baru je keluar sebelum Kak Ara sampai."

Clara mengangguk laju. Dahi Ashraf dicium pantas. Gambar tadi diselit masuk ke dalam poket seluarnya. "Kak Ara nak pinjam gambar ni. Nanti Kak Ara bagitahu Kak Long, ya. Dah. Ashraf masuk cepat. Nanti orang jahat datang. Kunci pintu tau!"

Ashraf sekadar mampu mengangguk. Lama dia hendak proses apa yang Clara perkatakan.

"Kak Long dah lama tak balik. Kalau Kak Ara jumpa dia nanti, peluk Kak Long untuk Ashraf, ya," pesan Ashraf sebelum berlari masuk ke dalam rumah.

Jujur dia rindukan kakak sulungnya itu.

* * *

Dalam masa berbelas minit saja Clara sudah tiba di hospital. Sudah dia memecut habis-habisan untuk tiba segera di situ. Langkah juga lebih lebar daripada kebiasaan. Wad yang menempatkan Aisy dituju.

Masih bingit benaknya cuba menyambung setiap input yang ada. Semuanya dimulakan daripada kes pembunuhan Zea dan perubahan sikap mendadak Aisy.

Apa yang aku terlepas pandang? Tidak. Apa yang aku buat-buat tidak nampak sebenarnya?

Sesungguhnya rezeki itu datang tanpa diduga. Clara untung apabila dia berjaya menyelit masuk ke dalam wad Aisy secara sembunyi dan menyorok di belakang sofa yang berada berdekatan pintu wad.

Dia siap merangkak kerana tidak mahu dipandang sesiapa. Mujur juga ada beberapa susuk tubuh lelaki tegap yang membelakangkan pintu membantu menghadang perlakuannya itu.

"Kenapa anak aku yang kau pergunakan, Fi? Kita dah lama kenal. Sampai hati kau tikam belakang aku macam ni. Mungkin aku ni tak cukuo kenal siapa kau sebenarnya. Ini anak aku. Anak aku, Fi," ujar Pak Akob perlahan. Suara tuanya kedengaran sebak.

Dia menyangka persahabatan 20 tahun itu kekal utuh meski dirinya lebih tua 5 tahun berbanding Dafi, rakan sekampungnya dulu. Mungkin dia yang salah menilai. Pak Akob kesal.

"Anak kau juga yang bersetuju. Pilihan ada di tangannya. Dan dia yang pilih jalan ini. Kau tak boleh salahkan aku. Kami ada perjanjian yang sah."

"Tapi kalau bukan kau yang memberi tawaran bodoh tu, dia takkan jadi macam ni! Nyawa anak aku kau buat macam mainan. Macam tak ada harga!" Pak Akob mula menengking.

Mak Leha disebelah hanya mampu tunduk mencium dan memeluk Aisy yang kaku atas katil. Sudah lama tidak bersua muka. Selepas tidak dapat berhubung dengan Aisy selama dua hari, segera hal ini dilaporkan kepada pihak polis.

Namun, laporan itu tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak berkuasa. Bila didesak, mereka kata tidak mahu memberi kerjasama. Merayu juga tidak ada gunanya lagi. Mak Leha hanya mampu tawakkal sehingga dia mendapat tahu berkenaan bantuan Dato' Bandar Zaihan kepada pesakit bernama Aisy di Hospital Utama Delaila.

"Bila anak kau dah meninggal nanti, serahkan mayat dia pada aku. Banyak kajian yang kami boleh buat setelah dia menerima suntikan racun tu. Kalau kau setuju, aku boleh bagi kau ganjaran istimewa. Macam ... jawatan ketua kedutaan bandar bersekutu? Atau kau nak yang lebih tinggi tarafnya? Ya. Aku boleh bagi. Tapi selepas kajian ini berjalan lancar. Setuju?"

Kata-kata Encik Dafi semakin lama semakin mencucuk-cucuk naluri kebapaannya. Sakit dan pedih rasanya. Tubir mata yang bergenang diseka tanpa sempat pecah empangannya.

"Manusia bodoh macam kau ni akan tetap bodoh rupanya." Rahang diketap geram. Tangkas kolar baju Encik Dafi ditarik. Mudah kerjanya. Lelaki itu hanya mampu duduk di atas kerusi roda dan pergerakannya terbatas.

"Anak aku, darah daging aku. Kau jangan sentuh dia. Langkah mayat aku dulu! Amanah Allah ini untuk aku jaga, bukan untuk jadi bahan ujikaji bangang kau tu!"

Dua lelaki yang bertindak sebagai pengawal pada mulanya cuba menghalang tindakan tak terkawal Pak Akob. Tapi isyarat dari Encik Dafi yang bermaksud, jangan mampir, itu menghentikan langkah mereka.

Pak Akob menguatkan cengkaman. Sakit dalam hatinya tidak mampu memudar malah bertambah parah. Mak Leha diam tak berkutik di sisi Aisy. Tidak berani masuk campur.

Di belakang sofa, Clara bersandar lemah pada sofa. Pandangannya yang kosong dilemparkan ke dinding. Dia tewas dalam menahan air mata daripada jatuh bercucuran.

Ya Allah... kenapa sakit sangat dada aku ni. Macam nak pecah dah rasanya.

Dadanya ditumbuk berkali-kali. Sakit.



.

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now